Tangisan si kecil ini menceritakan sebuah kisah yang menyedihkan. Di sesetengah tempat, ada Muslim yang berjuang untuk hidup dalam keadaan sukar, tanpa makanan dan minuman, tiada jaminan keselamatan, pakaian compang-camping, keselamatan diri terancam serta berkemungkinan sukar melaksanakan ibadah se­perti solat dan puasa.

Pendek kata, mereka hidup serba kedaifan.

Namun, di sudut yang berbeza, masyarakat Muslim di Malaysia amat bertuah kerana masih diizinkan menikmati kehidupan aman dan selesa, dilimpahi pelbagai rezeki dan dapat bersama keluarga tercinta. Malah, mereka dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim terma­suklah bersolat, menunaikan haji serta berpuasa dengan tenang.

Kisah di atas membawa penulis kepada kemeriahan suasana ber­puasa di Malaysia. Salah satu perkara yang sinonim dengan amalan berpuasa di sini ialah limpahan makanan yang banyak sehingga berlakunya pembaziran.

Hakikatnya, ini bertentangan dengan tuntutan berpuasa itu sendiri.

Data yang dikongsikan oleh SWCorp bagi 2015, menunjukkan sepanjang 30 hari Ramadan, sisa makanan yang terbuang adalah 270,000 tan setiap tahun atau lebih kurang 9,000 tan sehari. Makanan yang terbuang itu sebenarnya cukup untuk memberi makan kepada 180 juta orang iaitu enam kali ganda jumlah penduduk Malaysia yang kini berjumlah 32 juta orang.

Selain itu, Alam Flora me­laporkan pada Ramadan 2017, empat kategori makanan yang dibuang atau sering dikutip ialah terdiri daripada sayur-sayuran, makanan di dalam tin yang tamat tarikh luput, sisa makanan yang dihasilkan pengguna dan peniaga serta pembungkusan (plastik) yang digunakan untuk membungkus makanan.

Dikatakan bahawa peningkatan sisa makanan ini antara lainnya di­sebabkan oleh persediaan makanan yang melampau. Ini bermaksud, semasa Ramadan ramai yang memasak dalam jumlah yang banyak serta memasak pelbagai jenis makanan hinggakan makanan tersebut tidak dapat dihabiskan.

Dalam masa yang sama, di bulan Ramadan ini, di mana-mana sahaja ada makanan baik ketika bersahur, ketika berbuka mahupun ketika moreh. Seolah-olah satu pesta makanan.

Tawaran berbuka puasa di hotel dan restoran juga meningkat dan persediaan makanan di tempat-tempat begini sudah pasti lebih pelbagai.

Di bulan ini juga, ramai yang bermurah hati memberi makan kepada orang lain. Memberi makan untuk orang berbuka puasa amat baik sepertimana yang di­sebut dalam sebuah hadis bahawa: “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa (iftar), maka baginya (pemberi) pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut”-Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah.

Tapi, tahukah anda bahawa amalan baik ini kadang kala tidak mencapai matlamatnya apabila berlaku banyak pembaziran makanan? Ini terjadi apabila terlalu banyak makanan yang disediakan sehingga tidak dapat diagihkan kepada yang memerlukan seperti golongan tidak mampu atau gelandangan.

Kadang kala boleh dilihat ba­nyak makanan terbiar di jalanan mungkin kerana makanan tersebut tidak sempat diagihkan atau tidak mampu dihabiskan si penerima.

Jadi, tidak hairanlah terlalu banyak makanan terbuang di bulan mulia ini. Sangat sedih apabila pembaziran ini berlaku di bulan Ramadan iaitu bulan yang seharusnya kita meningkatkan amalan dan memperoleh pelbagai ganjaran daripada-Nya. Inilah yang dikatakan sebagai ‘Ramadan yang tercemar’.

Isu pembaziran makanan ini juga menjadi bukti wujudnya golongan yang disebut dalam al-Quran sebagai al-musrifun (pemboros), al-mu’tadin (orang yang melampui batas) dan al-mubazzirin (pemboros). Hal ini boleh dirujuk dalam surah al-A’raf (7:31), surah al-Baqarah (2:190) dan surah al-Isra’ (17:27). Golongan inilah yang juga diperingatkan sebagai ‘saudara-saudara syaitan’ sepertimana yang disebut dalam ayat 21, surah al-Isra’.

Di dalam al-Quran telah ditunjukkan betapa Allah SWT telah menyediakan alam ini seperti tumbuhan dan haiwan agar manusia boleh memperoleh makanan untuk dimakan, misalnya yang dinyatakan dalam surah Ibrahim (14:32); al-An’am (6:99); an-Nahl (16:11) dan al-Maidah (5:96).

Antara ayat itu juga ada yang menyebut bahawa Allah SWT menyediakan sumber air bagi memastikan bumi ini subur dan dapat menyediakan makanan untuk manusia. Lihatlah betapa indah dan sempurnanya aturan Allah SWT. Namun, adakah kita menghargainya?

Selain yang dinyatakan di dalam al-Quran, ajaran Rasulullah SAW berkaitan makanan juga amat penting. Selain menyatakan tentang adab-adab makan, Rasulullah SAW turut mendidik umatnya agar bersederhana dalam soal makan, misalnya makan sedikit, menghabiskan makanan (menjilat jari), tidak membazirkan makanan (mengutip makanan yang jatuh), bersyukur terhadap makanan (ucap alhamdulillah selepas makan) dan memberi makan kepada orang lain (mampu melembutkan hati yang keras).

Nasihat Rasulullah SAW ini jika diamalkan boleh membantu mengelakkan pembaziran makanan. Oleh itu, berhati-hatilah dengan pembaziran makanan agar amalan berpuasa pada Ramadan ini kekal suci dan terus membawa manfaat kepada setiap umat Islam.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).