Jumlah ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana saban tahun masalah sama berulang kali berlaku, malangnya jumlah pembaziran semakin bertambah tahun ke tahun.

Berdasarkan peratusan, sisa makanan merupakan komponen tertinggi dalam skala komposisi pepejal iaitu pada kadar 45 peratus.

Secara puratanya, seorang rakyat Malaysia membazirkan makanan sebanyak setengah kilogram sehari pada hal bagi negara yang berhadapan masalah kebuluran seperti di negara-negara Afrika, dikatakan 10 orang mati akibat masalah itu pada saat rakyat kita terlebih makan.

Walhal jumlah pembaziran makanan sebanyak 8,000 tan sehari jika dikumpulkan selama setahun menjadikan jumlahnya 2.92 bilion kilogram, mampu memberi makan kepada 2.2 bilion manusia untuk tempoh sama.

Sudah tentu ada banyak pendapat yang akan diperdengarkan kenapa rakyat Malaysia begitu mudah membazirkan makanan.

Hakikatnya sebagai umat Islam, kita wajib melaksanakan ibadah puasa sebagai cara untuk mengingati kesusahan yang dilalui oleh mereka yang kurang berkemampuan. Namun sebaik-baik sahaja azan Maghrib dilaungkan kita boleh lihat sendiri berapa banyak makanan yang dihidangkan secara keterlaluan walaupun kita hanya berpuasa lebih kurang setengah hari.

Tindakan seolah-olah mahu 'mengqada' sarapan pagi dan makan tengah hari kerana berpuasa dengan menjamah secara keterlaluan sehingga membazir - menunjukkan secara jelas mentaliti sebahagian besar masyarakat negara ini.

Malah mereka inilah dalam soal membela rakyat Palestin yang diseksa rejim Zionis - adalah yang paling ke hadapan malah sanggup 'mengikat perut' dan memboikot beberapa restoran atau premis yang mempunyai kaitan dengan rejim itu kerana tidak mahu bersekongkol.

Malangnya kita juga secara terang-terangan sama ada disedari atau tidak bersekongkol dengan syaitan seperti mana yang dikatakan di dalam al-Quran: "Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

Malah lebih menakutkan pembaziran ini semakin galak berlaku setiap kali tiba musim perayaan, majlis perkahwinan atau pelbagai kenduri-kendara lain berikutan kelemahan perancangan selain kehadiran tetamu yang tidak seperti dijangka.

Kalau diperhatikan pada setiap majlis kenduri atau keraian berlangsung, kita akan lihat sikap dan mentaliti buruk rakyat Malaysia yang mempunyai tabiat suka memenuhkan pinggan dengan pelbagai jenis lauk-pauk tetapi tidak berupaya menghabiskannya.

Sikap hodoh dan tamak inilah yang menjadi faktor pembaziran makanan semakin hari semakin menyesakkan selain menyebabkan penyakit seperti obesiti tidak terkawal.

Oleh itu setiap individu di negara ini tanpa mengira kaum dan jantina perlu memainkan peranan penting supaya lebih bertanggungjawab dalam soal pembaziran makanan. Ibu bapa pula mesti memupuk anak-anak dengan nilai murni terutama mengelak pembaziran supaya mereka menghargai setiap cebisan makanan bermula diperingkat kanak-kanak lagi.

Sebagai bangsa yang berbangga dengan kepelbagaian dan limpahan makanan yang wujud di negara berbilang kaum, ini bukanlah alasan untuk kita membazir seolah-olah esok tidak wujud lagi.

Ihsan

Adalah diharapkan rakyat negara ini dapat menyemai sikap mencintai makanan dan membenci pembaziran kerana hakikatnya masih ada mereka yang hidup umpama kais pagi makan pagi serta terpaksa berharap pada ihsan orang lain untuk meneruskan hidup.

Hakikatnya di luar sana masih ramai mengharapkan bantuan kita semua terutama di luar bandar dan di kampung-kampung mahupun di kota yang gah dengan pembangunan kerana tiada siapa yang peduli dan mahu mengambil tahu kisah penderitaan yang ditempuhi mereka.

Malah setiap malam jika kita melalui kawasan sekitar Jalan Chow Kit dan sekitarnya serta di beberapa kawasan lain, akan ada mereka yang beratur mahu mendapatkan bantuan yang diberikan oleh pihak yang berjiwa murni.

Mereka inilah yang sewajarnya mendapat makanan yang cukup dan kehidupan lebih baik, malangnya terpaksa mengharapkan ihsan masyarakat yang lebih gemar membazir demi untuk sesuap nasi.

Suasana akan menjadi lebih sesak dan menghibakan tatkala hujung minggu kerana bukan sahaja orang dewasa malah kelibat kanak-kanak yang masih belum mengerti apa-apa turut sama beratur mengharapkan ihsan.

Hasil daripada kemuliaan hati si penderma inilah yang memberi mereka peluang untuk meneruskan hidup sebelum hilang di sebalik lorong-lorong gelap bersama kedinginan dan kepekatan malam.

Adakalanya kita terfikir supaya mereka yang gemar membazir ini perlu dijatuhkan hukuman yang bersesuaian supaya lebih menginsafi akan kekurangan golongan yang memerlukan. Namun itu tidak begitu membantu kerana hakikatnya kesedaran perlu bermula daripada diri sendiri.

Oleh itu sudah sampai masanya untuk kita berubah menjadi lebih baik apatah lagi menjelang tahun 2020, dikatakan rakyat Malaysia akan menjana 31,500 tan metrik sisa pepejal setiap hari. Ini akan menjadikan anggaran sampah yang akan dibuang dalam setahun meningkat lima juta tan metrik bila 2020 menjelma.

Maka sudah tiba masanya kita memerangi atau berjihad dalam menangani pembaziran makanan kerana ia satu cara paling mudah untuk mendidik masyarakat selain memastikan masa depan anak cucu kita tidak dihurung sampah dan lalat.