Sifat remaja berada dalam satu fasa di mana golongan ini gemar bereksplorasi, mencuba sesuatu yang baharu, sukakan cabaran dan mempunyai sifat daya saing yang tinggi. Dalam fasa ini, pembentukan personaliti dan penampilan bakat golongan remaja ini adalah penting supaya elemen-elemen positif ini kekal berterusan dalam jati diri mereka.

Oleh itu, amat merugikan sekiranya sifat-sifat positif ini gagal dicorakkan dan hanya dibiarkan tanpa diketengahkan dalam aktiviti-aktiviti bersifat akademik atau latihan kemahiran. Sedangkan pada peringkat umur seperti ini, remaja memerlukan galakan dan hala tuju yang difikirkan sesuai oleh ibu bapa mengikut keinginan dan minat mereka dalam bidang-bidang tertentu.

Kita sedar ibu bapa hari ini ramai yang bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi sehingga terpaksa melakukan kerja-kerja sambilan di luar waktu pejabat yang sepatutnya masa tersebut diluangkan bersama anak-anak.

Kita sedar keadaan ini dan ia berada di luar kawalan kita. Remaja yang kurang mendapat perhatian ibu bapa cenderung untuk menghabiskan masa berpeleseran di luar dan mencuba aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah.

Oleh itu, remaja-remaja ini perlu diorientasikan dengan pelbagai kemahiran yang boleh ­menempatkan diri mereka dengan industri dan seterusnya memberi sumbangan kepada masyarakat dan mampu menjana pendapatan sendiri.

Justeru, pembukaan kolej-kolej vokasional adalah satu langkah tepat yang diambil kerajaan untuk ­memenuhi tuntutan ini.

Keterbukaan terhadap peluang-peluang bersifat kemahiran perlu diperluas dan dipergiat dengan memberi peluang kepada remaja yang keciciran akademik dan terlibat dalam masalah salah laku. Peluang-peluang dalam bentuk latihan teknikal dan vokasional akan membuka ruang kepada mereka menceburi bidang-bidang kemahiran dan perniagaan melalui usaha membentuk bakat-bakat sedia ada dalam kalangan remaja.

Percambahan bilangan institusi-institusi pendidikan teknik dan vokasional (PTV) di negara ini dilihat satu usaha kerajaan dalam membantu golongan remaja untuk menceburi bidang-bidang teknikal dan vokasional.

Peluang ini sekali gus menjadi pemangkin kepada daya saing golongan ini untuk menceburi bidang perniagaan dan memperoleh pendapatan mereka sendiri.

Akan tetapi, kebanyakan remaja yang terlibat dengan gejala-gejala kurang sihat seolah-olah tidak mendapat panduan, galakan mahupun strategi untuk mencorakkan kehidupan dewasa mereka melalui laluan PTV.

Remaja kita pada hari ini perlu diberikan pendedahan dengan peluang-peluang sama ada berbentuk kemahiran dan pembinaan modal insan. Kursus kemahiran berbentuk mekanikal dan elektrikal sepe­r­ti pendawaian elektrik domestik, mekanik enjin, jahitan dan kulinari adalah antara kursus yang mendapat tempat dalam sektor pekerjaan dan perniagaan. Semuanya terpulang kepada minat dan bakat remaja dalam memilih bidang yang sesuai.

PTV di Malaysia perlu diperluaskan dengan menambah bilangan kuota golongan sasaran ­terutama remaja-remaja yang keciciran dalam akademik. Remaja-remaja khususnya yang berminat dari segi ilmu-ilmu kemahiran boleh diketengahkan dan dibantu melalui kursus-kursus jangka pendek selain diberikan insentif tertentu.

Penstrukturan semula dari segi syarat kemasukan pelajar ke kolej-kolej vokasional, institusi-institusi latihan teknikal dan vokasional perlu lebih bersifat terbuka bukan hanya menumpukan kepada aspek akademik pelajar semata-mata. Walaupun bakat pelajar terhadap beberapa kemahiran tertentu boleh dipupuk, ada sebilangan kecil pelajar mengikuti kursus-kursus tertentu disebabkan oleh desakan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya dan prospektif kerjaya.

Sebaik-baiknya, pelajar-pelajar perlu didedahkan dengan kemahiran asas perniagaan yang boleh menjana pendapatan sendiri seterusnya melonjakkan ekonomi keluarga dan negara ke fasa yang lebih baik.

Pengenalan kepada konsep digital ekonomi yang diper­kenalkan oleh kerajaan baru-baru ini memperlihatkan kesungguhan negara untuk menggalakkan rakyatnya menceburi bidang perniagaan dan perkhidmatan atas talian. Galakan dan ilmu perlu diberi dan didedahkan kepada remaja ini untuk mencipta inovasi dan rekacipta produk sama ada dalam bentuk fizikal mahupun idea-idea yang boleh dikomersialkan ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Justeru, penglibatan remaja boleh dipergiat melalui aktiviti-aktiviti rekacipta tanpa perlu melalui sekolah-sekolah dan institusi pendidikan sebaliknya bersifat terbuka dan diiklankan di media-media masa.

Pembinaan modal insan dalam kalangan remaja perlu dititik­beratkan bagi menghasilkan generasi mapan dan berada di landasan yang tepat. Strategi-strategi berkaitan PTV bagi pelajar-pelajar keciciran akademik ini perlu diperhalusi oleh pemegang taruh yang berkepentingan dalam penggubalan polisi dan dasar pendidikan.

Antara cadangan yang boleh diambil kira adalah berikut:

l Memperkenalkan skim-skim biasiswa berasaskan kemahiran teknikal dan vokasional dalam membentuk bakat dalam kalangan remaja

l Mengetengahkan potensi-potensi dalam kalangan remaja yang mempunyai bakat dalam kemahiran tertentu khusus­nya yang mempunyai masalah akademik

l Membuat jaringan dan hubung jalin di antara pihak industri dan masyarakat setempat tentang peluang-peluang kerjaya yang boleh diberi kepada remaja-remaja keciciran akademik dan latihan internship

l Mencakna peluang-peluang kemahiran dengan kos-kos yang berpatutan di institusi-institusi PTV melibatkan pelajar-pelajar yang keciciran akademik.

DR. MUHD. KHAIZER OMAR ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia.