Namun, di sebalik ‘kemacetan’ yang dihadapi, sisi positifnya penganjuran Sukan Asia 2018 bagaikan ‘durian runtuh’ buat Jakarta yang kini mengejar jadual pembangunan demi pemba­ngunan bagi menyambut tetamu ‘olahraga’ nanti.

Bermula dengan pembinaan Terminal Tiga Bandar Udara (Lapangan Terbang) Antarabangsa Soekarno-Hatta (kini sudah mula beroperasi secara berpe­ringkat-peringkat), Jakarta bakal memperkenalkan sistem transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) selain jajaran kereta api yang menghubungkan lapangan terbang ke pusat bandar.

Memang benar bak kata khalayak umum, pengenalan sistem transit tersebut dilihat terlalu lambat dan terkebelakang bagi kota besar seperti Jakarta. Tetapi, pada kedudukan pemerintah, mungkin ada alasan-alasan tersendiri yang menjadi faktor penghalang.

Ketika ini, Jakarta amat bergantung kepada sistem komuter dan bas rapid transit (BRT) iaitu nadi kepada pengangkutan kota. Walau bagaimanapun, semuanya itu tidak menjadi ‘ubat’ untuk menyembuhkan kesesakan lalu lintas yang amat luar biasa.

Ditambah dengan pengangkutan lama seperti bajaj yang masih mendapat tempat di kawasan-kawasan tertentu di Jakarta. Begitulah kehidupan di Jakarta yang ‘bersulam’ pembangunan berskala besar termasuk kewujudan deretan pusat beli-belah mewah serta bangunan-bangunan ­komersial lain.

Walau bagaimanapun, ketika sibuk meniti erti sebenar pembangunan yang bersifat material, menariknya, kota metropolitan yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Sunda Kelapa itu tidak lupa atau leka ‘menyelitkan’ ­usaha-usaha tinggi iaitu merancakkan pembangunan budaya serta semangat cintakan negara melibatkan penduduknya terutama generasi muda.

Pembangunan sosial juga mendapat perhatian pemerintah melalui penyediaan taman-taman awam dengan dilengkapi pelbagai kemudahan rekreasi serta sukan. Memetik kenyataan pemerintah, sebanyak 150 buah taman awam akan dibuka tahun ini untuk rakyat.

Contoh paling ‘mendapat perhatian’ warga kota adalah di Kalijodo, Jakarta Barat dengan pembinaan Ruang Publik Terpadu Ramah Anak (RPTRA). Umum mengetahui iaitu RPTRA Kalijodo dibina di atas lokasi bekas kawasan pelacuran.

Amat menakjubkan, melalui RPTRA, Kalijodo berubah wajah dan dikunjungi ribuan orang pada setiap hujung minggu. Ini jelas membuktikan masyarakat memerlukan ruang untuk beraktiviti. Pembinaan taman-taman awam itu juga bukan hanya melibatkan dana kerajaan sebaliknya mendapat dukungan sektor swasta melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menyebut tentang CSR, Indra Diwangkara dari Dewan Pimpinan Daerah Himpunan Pemandu Pelancong Indonesia (Bahagian Jakarta) banyak menceritakan perkara tersebut khususnya melibatkan pembangunan kebudayaan di kota Jakarta melalui pembabitan swasta.

Tambah beliau, penyertaan swasta dalam CSR, baik pembangunan pusat-pusat rekreasi mahupun kebudayaan adalah ‘diwajibkan’ oleh pemerintah bagi membina Jakarta yang seimbang dari pelbagai segi.

Di Galeri Indonesia Kaya, contohnya, ruang ‘edutainment’ yang dibangunkan oleh sebuah yayasan milik swasta di pusat beli-belah Grand Indonesia itu menawarkan alternatif mempelajari budaya Indonesia dengan cara lebih moden, mudah dan percuma.

Galeri tersebut dilengkapi auditorium yang aktif dengan ­pelbagai aktiviti kebudayaan selain menyediakan ruang mencanting batik Indonesia melalui skrin sesentuh. Kemodenan yang disediakan galeri itu amat dekat dengan hati golongan remaja dan menyaksikan kesungguhan ­swasta untuk mempertahankan nilai-nilai budaya bangsa.

Selain Galeri Indonesia Kaya, taman tema Dunia Fantasi di Ancol, Jakarta Utara yang persis taman tema Sunway Lagoon juga menyediakan ruang untuk merapatkan warisan budaya kepada pengunjung. Inilah kekuatan Jakarta.

Kenyataan tersebut disokong oleh Indra yang menegaskan Jakarta tidak mengetepikan sektor kebudayaan yang antara lain menjadi nadi utama ekonomi kota. Perkara itu termasuk mempertahankan warisan-warisan sejarah, monumen, bangunan-ba­ngunan lama dan tugu-tugu yang merupakan ikon Jakarta.

Kekuatan tersebut seharusnya dipelajari kota-kota utama dunia khususnya Kuala Lumpur bagi memberi nilai tambah kepada keistimewaan sektor pelan­congan.

Dengan gabungan pembangunan material dan budaya yang jalan seiring dan giat dilaksanakan, Jakarta pastinya mampu memperbaiki kedudukan sektor pelancongannya dan mengaut pertambahan jumlah pelancong.

‘Amaran’ jelas itu sudah bergema sejak Jakarta terpilih menjadi tuan rumah Sukan Asia 2018. Cuma ‘kemacetan’ yang menjadi faktor banyak ‘buang masa’ di atas jalan raya perlu ditangani sewajarnya.