Penulis hanya tersenyum membaca ulasan itu kerana adalah jelas ia bagaikan komentar terdesak ketika kedua-dua ­negeri tersebut baru-baru ini berada dalam genggaman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Satu kes melibatkan operasi kilang haram manakala satu lagi membabitkan isu Unisel. Kedua-­dua kes itu kini masih dalam ­siasatan. Sama-samalah kita tung­­gu kesudahannya.

Tetapi apa yang penulis mahu ulas ialah kalau benar mereka komited memerangi rasuah dan salah guna kuasa, pemimpin dan konco-konco mereka tidak akan ‘menyerang’ SPRM dengan pelbagai tuduhan.

Tindakan SPRM dituduh bermotifkan politik dan apa yang dilakukan oleh agensi itu ditohmah bertujuan memburuk-burukkan imej kerajaan negeri.

Sepatutnya mereka mengalu-alukan tindakan SPRM memandangkan tindakan yang diambil adalah berdasarkan bukti. SPRM tidak ada masa untuk bermain politik. Apakah kerana ia melibatkan pemimpin dan negeri yang diperintah parti pembangkang segalanya mahu didiamkan begitu sahaja?

Oleh itu, pemimpin-pemimpin dan penyokong mereka tidak perlu bersikap hipokrit. Mereka perlu menunjukkan kejujuran dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa. Sebelum ini kita sudah menyaksikan bagaimana mereka seolah-olah berpesta apabila ada pemimpin Barisan Nasional (BN) disiasat atau ditahan.

Mereka terpekik terlolong si­ang dan malam mendesak supaya pemimpin yang terlibat meletakkan jawatan kononnya bagi memastikan siasatan dan membuktikan ketelusan.

Mereka menjatuhkan hukuman lebih awal walaupun kes belum lagi dibawa ke mahkamah. Tetapi apabila ada pemimpin mereka bukan sahaja disiasat malah sudah didakwa dan sedang dibicarakan, mereka mahu individu itu kekal dengan pelbagai alasan.

Bagi pembangkang, kalau kena kepada pemimpin BN itu betul, kalau pemimpin mereka yang kena maka bertempiklah mereka mengatakan ia bermotifkan politik dan satu konspirasi.

Kita juga tidak harus lupa bagaimana Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad ‘diserang’ dalam isu Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Walaupun akhirnya Pulau Pinang menandatangani­nya namun ini boleh dianggap terpaksa selepas dikritik hebat oleh pelbagai pihak.

Malah masihkah kita ingat bagaimana seorang pemimpin pembangkang bertanya kepada Dzulkifli mahu menjadi selebriti atau ahli politik? Segala-galanya hanya kerana Dzulkifli mendesak Pulau Pinang menandatangani IBR.

Apa yang berlaku di Selangor ‘lebih klasik’ apabila sehingga ke hari ini kerajaan negeri enggan menandatangani IBR dengan pelbagai alasan. Mereka mendakwa telus dan penuh integriti tetapi takut kepada IBR.

Oleh itu, wajarkah kita bersetuju dengan hujah kononnya dua kerajaan negeri itu menunjukkan prestasi yang baik dalam memerangi rasuah?

Malang sekali dalam kalangan penyokong pembangkang mereka gagal melihat fakta sebenar hanya disebabkan kepala sudah berulat dengan sentimen politik yang tidak matang.

Bagi kelompok ini, segala kejahatan termasuklah rasuah dan salah guna kuasa hanya dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN. Apa yang aneh apabila SPRM melakukan tindakan ke atas pemimpin kerajaan, mereka bukan memuji sebaliknya membangkitkan pula soal ‘jerung’ dan ‘ikan bilis’.

Inilah kualiti dan standard pembangkang di negara kita. Mereka cuba menggambarkan kepada rakyat kononnya merekalah paling bersih, tidak ada antara mereka terlibat dengan rasuah dan tidak mungkin dalam kala­ngan mereka menyalahgunakan kuasa.

Tetapi tindak tanduk dan apa yang berlaku kepada sesetengah pemimpin mereka sudah membuktikan, puak-puak ini tidaklah sebersih mana. Namun oleh ­kerana mereka di pihak pembangkang, maka sandiwara politik yang mereka tonjolkan berjaya menutupi kebatilan.

Sememangnya cukup hebat apabila ada antara pemimpin mereka tetap disanjung walaupun integritinya boleh dipertikaikan. Semua itu berlaku kerana kebijaksanaan bermain politik dan boleh berhujah sehingga mampu meyakinkan sesetengah rakyat terhadap lakonan mereka.

Tetapi bayangkan kalaulah pemimpin BN yang dikaitkan dengan sesuatu isu rasuah atau salah guna kuasa, siang malam mereka akan memainkan kes tersebut walaupun ia baru di pe­ringkat siasatan.

Itu belum lagi mengambil kira bagaimana penyokong mereka seolah-olah mempunyai kekebalan untuk menghina mahkamah seperti mana berlaku dalam kes Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Media mereka khususnya Malaysiakini membuka ruang komen kepada orang ramai mengkritik hukuman yang dijatuhkan de­ngan berselindung di sebalik ayat ‘kami tidak bertanggungjawab...”.

Bayangkan apa akan jadi jika pihak berkuasa bertindak, sudah pasti pelbagai tuduhan mereka lemparkan kerana kita mempunyai segerombolan pakatan pembangkang yang merasakan mereka berhak melakukan apa sahaja biarpun hakikatnya, mereka bagaikan sekujur tubuh yang penuh dengan penyakit.

Oleh itu, kepada penyokong pembangkang teruslah hujah dangkal anda demi ketaksuban membuta tuli kalian terhadap parti yang anda sokong tetapi ­percayalah dalam kalangan rakyat dari semasa ke semasa, mereka semakin memahami wajah sebenar pakatan yang diwujudkan kerana nafsu politik kemaruk kuasa.