PAUL WOLFOWITZ

Ini bukan pertama kali. Bahkan sudah berkali-kali pihak pembangkang dikaitkan dan diketahui berunding dengan tangan-tangan asing yang dijemput mereka untuk mencampuri urusan politik dalaman Malaysia.

Sebelum ini sudah banyak cerita yang kita dengar bagaimana ada pemimpin atau parti pembangkang yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak asing. Apabila perbuatan mereka dibantah atau didedahkan mereka cuba ‘mengugut’ untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas orang yang membuat dakwaan, tetapi sampai ke sudah tidak apa yang berlaku.

Contoh paling baik adalah bagaimana Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hubungan baik dengan beberapa pemimpin tertinggi Amerika Syarikat, seperti Paul Wolfowitz dan Al Gore. Bukan lagi menjadi satu rahsia bahawa Anwar juga bertemu dengan mereka meminta sokongan terhadap gerakan reformasinya (yang kini sudah mati) dan untuk memberi tekanan terhadap kerajaan BN ketika itu.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dulunya begitu lantang menghentam agensi-agensi berita Barat yang mengkritik pentadbirannya, dan mendakwa mereka berniat jahat dan tidak boleh dipercayai, hari ini secara peliknya bekerjasama dengan Sarawak Report. Beliau menjadikan laporan palsu akhbar tersebut berhubung isu RM2.6 bilion dan 1MDB sebagai senjata menyerang kerajaan BN, pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

AL GORE
AL GORE

Media sama menyerangnya dulu dan dianggap tidak boleh dipercayai, kini berpusing menjadi akhbar yang paling dipercayai bagi beliau dalam mendakyahkan isu RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menimbulkan persepsi dan syak wasangka buruk rakyat terhadap kerajaan, khususnya UMNO dan Najib.

Semua itu berlaku kerana Dr. Mahathir berjaya ‘mengheret’ pemimpin-pemimpin pembangkang untuk bersama-sama beliau melaksanakan politik ‘pusingan u’ yang bukan sahaja memeningkan dirinya bahkan rakyat.

Apa maknanya bagi rakyat Malaysia jika sesebuah parti politik itu menjalinkan kerjasama dengan tangan-tangan asing, yang kita ketahui keikhlasan mereka menolong tanpa balasan amat-amat diragui?

Tidakkah sikap seperti itu seperti lagaknya seorang pengkhianat? Tidakkah tindakan seperti itu akan membuka pintu yang lebih luas untuk tangan-tangan asing mencampuri dan mencaturi politik serta ekonomi negara? Buktikan negara mana yang aman dan makmur apabila ada campur tangan asing? Tidak ada! Yang ada hanya kucar-kacir dan kekacauan.

Bagi penulis, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan tidak boleh melenting jika ada mentafsirkan perbuatan mereka sama seperti mahu menjual negara. Istilah menjual negara, bukanlah seperti yang pemimpin pembangkang momokkan kononnya pelaburan dari China, Arab Saudi, India, Singapura dan lain-lain lagi akan menyebabkan kedaulatan negara tergadai.

Bukan juga menjual negara itu adalah dengan jalinan kerjasama ekonomi, pembangunan infrastruktur dan lain-lain, seperti mana yang pembangkang cuba memperbodohkan rakyat seolah-olah rakyat di negara ini buta, pekak dan tuli.

Tetapi hakikat sebenar menjual negara adalah tindakan yang dilakukan oleh pihak pembangkang yang pada setiap masa sentiasa mengharapkan tangan-tangan asing untuk membantu mereka semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan BN dan UMNO. Tindakan pembangkang itu lebih besar risikonya untuk tergadai kedaulatan sebuah negara.

Oleh itu, rakyat harus menolak politik bahaya yang sedang dimainkan oleh Pakatan Harapan. Tindakan mereka meminta campur tangan asing termasuklah dalam soal pelaksanaan pilihan raya bukan sahaja satu langkah ter­desak malah membuktikan mereka sebenarnya tidak ya­kin mampu menumbangkan BN dengan kekuatan sendiri.

Kenapa baru sekarang mahu membangkitkan soal ­ketelusan pilihan raya? Kalaulah pilihan raya di negara ini tidak telus bagaimana pembangkang boleh mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya umum (PRU) 1999, 2008 dan 2013? Sehingga ke hari ini, BN masih gagal mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat manakala Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor berada dalam tangan pembangkang?

Penulis melihat dalam keadaan ketandusan modal untuk menjatuhkan kerajaan BN dan ditambah pula dengan kemelut berkaitan pembahagian kerusi antara mereka, Pakatan Harapan terpaksa mencari apa juga ‘senjata’ bagi mencapai misi mereka menawan Putrajaya.

Sebenarnya kita tidak kisah jika mereka menggunakan pendekatan politik matang untuk menentang BN dalam PRU, tetapi apa yang kita lihat Pakatan Harapan bukan sahaja mempraktikkan politik kebencian, fitnah dan tohmahan malah mereka sanggup meminta bantuan pihak asing.

Pemimpin-pemimpin pakatan itu boleh memberi apa juga alasan, tetapi Dr. Mahathir yang kini menjadi pemimpin utama mereka sendiri pernah mengingatkan berkali-kali mengenai bahaya meminta pertolongan asing­ dalam urusan negara ini. Bagaimanapun mungkin amaran tersebut tidak berguna lagi kerana Dr. Mahathir kini sudah ‘menghalalkan’ perkara itu, bukan disebabkan negara ini berada dalam kucar-kacir atau rakyatnya dizalimi tetapi hanya mahu melunaskan dendam politik peribadinya ke atas Perdana Menteri.

Penulis percaya selepas ini banyak tindakan politik akan dilakukan oleh Pakatan Harapan, namun pada sama penulis juga yakin rakyat tidak akan mudah menerima corak politik matlamat menghalalkan cara dan tidak berprinsip pakatan tersebut.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.