Beliau yang juga Ketua Pembangkang negeri dengan penuh yakin menyampaikan hasrat Pakatan Harapan yang diketuai partinya akan merampas sebanyak lapan lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membentuk kerajaan negeri.

Ketika ini, kerusi DUN di Melaka yang dimiliki pembangkang adalah sebanyak tujuh iaitu tiga daripadanya - Kota Laksamana, Banda Hilir dan Ayer Keroh disandang oleh DAP. Tiga lagi pemimpin DAP sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Kesidang dan Bachang telah mengumumkan keluar daripada parti pada Februari 2017 dan menjadi ahli Bebas.

Pas pula menguasai kerusi DUN Bukit Baru manakala dua kerusi Parlimen yang dikuasai pembangkang adalah Bukit Katil (PKR) dan Kota Melaka (juga pemimpinnya dari DAP mengumumkan keluar parti dan menjadi ahli Bebas).

Keyakinan Poay Tiong iaitu ADUN Ayer Keroh adalah mereka mahu merampas lapan kerusi DUN menjadikan jumlah 15 milik pembangkang bagi menumpaskan parti Barisan Nasional (BN) di Melaka.

Beliau bagaimanapun dalam sidang akhbar selepas ceramah itu tidak menyatakan lapan kerusi yang disasarkan parti itu tetapi mengikut kiraan para pemerhati politik, antara kerusi DUN yang mungkin diimpikan oleh parti pakatan itu adalah DUN Machap, Bemban, Merlimau, Paya Rumput dan Durian Tunggal.

DAP yang mengepalai Pakatan Harapan begitu yakin untuk menguasai Melaka sedangkan rakyat di negeri ini sendiri boleh menilai sejak diberi mandat menguasai sebahagian daripada kerusi DUN dan Parlimen iaitu tujuh kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen, tiada apa pembangunan atau pembaharuan yang dilaksanakan di kawasan masing-masing, kecuali pembangunan yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Persoalannya, jika Pakatan Harapan mampu menakluki Melaka, siapakah yang akan memperoleh keuntungan daripada penguasaan ini? Adakah parti komponen mereka iaitu PPBM, PKR dan PAN atau DAP sendiri.

Bagi memastikan pengundi tidak berat hati untuk memilih Pakatan Harapan, Poay Tiong awal-awal lagi sudah memberikan ‘gula-gula’ kepada 300 penduduk Taman Gadong Perdana yang hadir pada majlis malam itu iaitu DAP akan memberi laluan kepada pemimpin pakatan daripada parti lain untuk menjadi Ketua Menteri di Melaka.

Katanya, DAP Melaka bukan parti yang tamak untuk tidak memberi laluan jawatan Ketua Menteri kepada parti lain. Adakah senario yang sama akan berlaku seperti di Perak suatu ketika dahulu apabila Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar tetapi yang dominannya adalah DAP.

Sekiranya pemimpin daripada parti komponen lain dalam Pakatan Harapan dilantik sebagai Ketua Menteri di Melaka, tetapi sedarkah rakyat negeri ini bahawa pihak yang akan menguasai pucuk pimpinan dan melaksanakan agenda serta ideologi perjuangan sebenarnya adalah DAP?

Tetapi peduli apa semua itu, sebab pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Harapan terutamanya PPBM sudah mula memasang impian untuk menjadi Ketua Menteri dan mereka tidak akan mempedulikan nasib rakyat walaupun yang menguasainya adalah DAP, kerana apa yang penting mereka mahu merebut jawatan sekiranya pembangkang dapat menguasai negeri itu kelak.

DAP memberi janji kepada rakyat dan pengundi Melaka untuk memilih mereka tetapi menggunakan platform Pakatan Harapan, kerana mereka sedar tanpa gabungan parti-parti lain dalam pakatan, hasrat itu mustahil akan tercapai.

PPBM dan parti-parti lain seperti PKR dan PAN juga sedar mereka perlu bersekongkol dengan DAP sekiranya mahu menang di Melaka jadi mereka sanggup mengetepikan nasib pengundi selepas ini, ditambah dengan bonus janji DAP iaitu memberi laluan kepada parti itu untuk menjadi Ketua Menteri.

Jadi, siapa yang untung sebenarnya sekiranya pembangkang berkuasa di Melaka?