Cara mengenalinya, Raudah mempunyai permaidani warna hijau sedangkan permaidani masjid di bahagian yang lain semuanya berwarna merah. Ia juga dikenali dengan tiang-tiang berwarna putih. Raudah adalah kawasan yang dianugerahkan Allah sebagai tempat yang sangat makbul berdoa. Walaupun benar, berdoa itu boleh di mana-mana. Allah Maha Mendengar. Namun, berdoa di Raudah mempunyai kelebihan tersendiri kerana ia tapak asal Masjid Nabawi. Semasa hayatnya, baginda SAW mengimami solat, menerima wahyu dan menyampaikan ilmu kepada para sahabat di situ.

Isnin lalu, Sheikh Abdullah Abdulrahman Al-Baijan mengimamkan solat zuhur di dalam Raudah iaitu berdekatan mihrab Nabi SAW. Pemindahan tempat imam solat untuk solat fardu dan solat Jumaat itu adalah selepas 25 tahun para imam solat di bahagian hadapan berdekatan dinding hadapan Masjid Nabawi.

Difahamkan, tindakan itu bagi memberi peluang para jemaah menziarahi makam Rasulullah SAW dan dua sahabat baginda iaitu Abu Bakar al-Siddiq serta Umar al-Khattab selepas solat fardu. Biasanya jemaah akan ma­suk melalui Babus Salam (pintu Salam) melalui makam baginda SAW dan keluar melalui pintu Baqi’.

Sememangnya Raudah adalah tempat yang ‘wajib’ dikunjungi oleh setiap jemaah umrah. Sekurang-kurangnya untuk solat tahiyatul masjid atau solat sunat mutlak dan bermunajat sebelum bergerak memberi salam menziarahi makam nabi SAW.

Langkah terbaharu ini bakal menyaksikan ‘persaing­an’ ke Raudah lebih sengit. Bagaimanapun, jemaah Asia Tenggara termasuk Malaysia sering dinasihatkan agar tidak berebut sehingga menyakiti orang lain untuk masuk ke Raudah. Banyakkan bersabar, insya-Allah ada laluan untuk solat dan bermunajat di situ. Apabila berpeluang masuk ke situ, jangan pula terus ‘berakar’ sehinggakan tidak mahu beralih memberi peluang kepada jemaah lain bermunajat di Raudah.

Di Raudah juga terdapat lapan tiang yang mempunyai sejarah tersendiri. Diceritakan ia dibina semasa pemerintahan Sultan Abdul Majid al-Othmani. Antara tiang-tiang tersebut adalah ustuwanah al-mukhallaqah iaitu tiang yang sentiasa dijaga keharumannya. Musalmah al-Akwa dikatakan sentiasa solat di situ kerana beliau melihat Nabi SAW pernah solat di situ. Lain-lain tiang adalah tiang Saidatina Aisyah, tiang al-taubah atau tiang Abu Lababah yang pernah mengikat dirinya di situ selama berbelas malam selepas menyedari kesalahan yang dilakukannya.

Satu lagi perkembangan terbaharu yang barangkali akan dimasukkan dalam senarai ziarah luar di Madinah adalah Al-Baida Park atau Wadi Jinn yang bermaksud ‘Lembah Jin’ kini menjadi destinasi yang harus dikunjungi oleh orang ramai. Kawasan yang terletak kira-kira 40 kilometer ke barat laut Madinah itu menjadi tumpuan khususnya peminat paranormal selain pilihan keluarga bersantai.

Kebanyakan pengunjung datang ke Al-Baida Park bagi merasai keindahan pemandangan ter­utamanya pada waktu pagi. Pengunjung juga tidak melepaskan peluang mengambil gambar pemandangan, melihat unta dan menikmati keindahan gunung-ganang mengasyikkan yang diliputi pasir putih serta berwarna keemasan selain pokok-pokok liar.

Dikatakan, beberapa feno­mena pelik sering berlaku di Al-Baida Park terutamanya melibatkan struktur geografi serta bentuk muka buminya hingga menyebabkan kawasan itu mudah menjadi tarikan ziarah selepas mengerjakan umrah.

Semoga perubahan dan destinasi baharu ini menambah keinginan kita untuk menziarahi makam Nabi SAW dan berkunjung ke Mekah. Jangan pula disia-siakan peluang solat di masjid Quba’ kerana ia mempunyai ke­lebihan yang amat besar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa berwuduk di rumahnya, kemudian pergi ke Masjid Quba’, lalu ia solat di dalamnya, maka baginya pahala seperti pahala umrah.” (Riwayat Tirmizi)