Konteks ini sesuai diadaptasikan dengan soal pemilihan dalam setiap Pilihan Raya Umum (PRU). Ini kerana, apa pun bentuk pemilihan yang dibuat melalui proses PRU berpandukan Sistem Demokrasi Berparlimen, akan menentukan kuasa untuk mana-mana parti atau gabungan parti politik membentuk kerajaan.

Lalu, ada pihak mula tertanya-tanya, apa sebenarnya pengharapan rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang baru lalu? Apakah sekadar bertujuan untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mendominasi pemerintahan negara sejak lebih enam dekad lalu? Jika demikian, apa pula sebab­nya? Mungkin kerana dikatakan gagal membawa kebaikan dan kemajuan kepada rakyat dan negara? Benarkah?

Atau, apakah benar rakyat memilih gagasan parti Pakatan Harapan kerana yakin dan tertarik de­ngan janji dalam manifesto PRU-14 Pakatan Harapan, yang dianggap sebagai alternatif terbaik menggantikan BN? Pendek kata, ketika itu rakyat memiliki ‘kuasa’ untuk membuat pilihan. Apa yang terlintas di benak fikiran, diterjemah melalui undian.

Namun, apa yang penting ketika ini bukan lagi soal pemilihan. Tetapi rakyat sedang mengukur dan menilai sejauh mana janji yang tertunai. Maksudnya janji-janji semasa pilihan raya. Se­perti biasa, mereka tidak berminat mendengar apa jua alasan, kerana yang utama bagi mereka adalah pelaksanaan. Apatah lagi ada sesetengah daripada janji itu dikatakan boleh dilaksanakan dalam tempoh 24 jam setelah berjaya ‘menawan Putrajaya’.

Kini sudah kira-kira dua bulan PRU-14 berlalu. Sudah terbentuk kerajaan baharu dengan barisan Kabinet baharu. Pengharapan tinggi rakyat tentulah untuk melihat sesuatu yang baharu, termasuk dari segi perancangan, program dan pendekatan tadbir urus negara yang boleh menjanjikan suasana kehidupan lebih selesa, lebih mudah serta lebih maju dan membangun.

Istilah ‘pembaharuan’ bermakna bukan lagi bersandarkan pada struktur dan kerangka yang lama. Bukan juga sekadar ‘menukar jenama’ sedangkan isinya sama. Rakyat mengharapkan makna sebenar kepada sebuah pembaharuan. Dan tentunya ke arah yang lebih baik.

Lain ceritanya jika pengharapan rakyat Malaysia yang memilih sebuah kerajan baharu pada PRU-14 lalu semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan BN atau mana-mana individu pemimpin tertentu. Mungkin sehingga kini, mereka yang dimaksudkan ini tidak berminat pun untuk melihat prospek pembangunan ekonomi dan sosial negara, mahu pun soal imej negara di mata dunia. Lebih penting barangkali, asalkan ‘sentimen benci dan marah’ mereka dapat dilunaskan. Apa pun, terpulanglah kepada mereka.

Kenyataannya, Malaysia sudah berada di bawah pemerintahan baharu. Gabungan parti politik yang dahulunya sebagai pembangkang kini sudah menggalas amanah mentadbir negara. Dalam masa kerajaan baharu sedia mengatur pengurusan, rakyat berhak pula menilai, menegur dan berkongsi pandangan demi kebaikan.

Pengharapan lain bagi rakyat adalah untuk melihat aspek perpaduan dan perhubungan dalam kalangan rakyat lebih erat dan harmoni. Tidak wajar membiarkan ‘gemercik api’ sensitiviti antara kaum dan anutan agama sehingga boleh menghuru-harakan keadaan. Tidak sihat jika kehadiran kerajaan baharu diambil kesempatan oleh sesetengah pihak untuk cuba-cuba membuat tafsiran di luar konteks sebenar Perlembagaan Persekutuan.

Tidak mungkin ditemukan penyelesaian jika orang Melayu merasakan hak dan keistimewaan mereka cuba dipersoal dan diganggu. Demikian juga dengan kedudukan agama Islam dan kedaulatan Raja-raja Melayu. Segalanya terpasak kukuh di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tidak sepatutnya lagi ada mana-mana pihak cuba merungkai dan mempersenda asas yang sedia ada ini.

Kehidupan perlu diteruskan. Sebarang agenda pembangunan dan kemajuan negara adalah untuk seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, keturunan atau sempadan daerah dan ne­geri. Tidak perlu timbul sebarang prasangka. Perubahan landskap politik tanah air tidak bermakna turut merubah toleransi dan sikap saling membantu dan bersefahaman dalam kalangan war­ganya.

Alangkah indahnya jika kerajaan dan rakyat dapat melangkah sederap segandingan melihat masa depan yang lebih terjamin dari aspek kemajuan dan survival bangsa tanpa seolah-olah memaksa mereka menoleh kepada adegan-adegan ‘hodoh’ di institusi-institusi siasatan dan pendakwaan.

Semoga Malaysia terus harmoni, maju membangun!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.