Sebelum ini di Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilapor­kan sebagai berkata: “Grab me­rugikan pemandu teksi biasa, perkara ini akan dikaji supaya servis teksi yang adil kepada semua pihak, ini akan dilakukan apabila kita ambil alih kerajaan nanti.” Janji itu kini ditunaikan. Mulai 12 Julai lalu, perkhidmatan e-hailing dikawal selia melalui Akta Pe­ngangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdaga­ngan (LPKP) (Pindaan) 2017.

Syarikat e-hailing wajib berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Empat syarat utama juga perlu dipatuhi yang meliputi kelayakan permohonan lesen, kenderaan, kelayakan pemandu dan syarat operasi. Tempoh moratorium selama setahun dari tarikh kuat kuasa akan diberikan bagi memenuhi semua syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan Lesen Perniagaan Pengantaraan. Sistem e-hailing yang melibatkan 10 syarikat juga perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Syarat kenderaan pula terbuka kepada semua jenama yang mempunyai sekurang-kurangnya taraf tiga bintang tahap piawaian Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN CAP) atau setara dengannya dan menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sekali setahun apabila kenderaan didaftarkan itu melebihi usia tiga tahun dari tarikh pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Pemandu juga antara lain perlu memperoleh Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), me­lakukan saringan rekod jenayah dan pemeriksaan kesihatan, sama seperti pemandu teksi.

Adakah dengan syarat-syarat baharu yang ‘menaik taraf’ pemandu akan menyebabkan tambang Grab meningkat? Atau kadar tambang teksi dikaji semula supaya selaras dengan Grab? Ketika ini, tambang yang ditawarkan oleh Grab lebih murah. Sesuai dengan hasrat memberi pilihan kepada penumpang, Grab juga menggalakkan pengguna me­ninggalkan kenderaan mereka di rumah dan memilih pengangkutan itu sama ada untuk ke tempat kerja atau stesen pengangkutan awam seperti LRT, MRT, Monorel atau Komuter. Grab juga menyediakan pilihan kepada mereka yang mungkin sebelum ini me­lakukan pelbagai pekerjaan untuk menambah pendapatan sama ada sebagai peniaga di pasar malam, penjual burger, memandu teksi dan pelbagai lagi. Disebabkan pemandu teksi perlu memenuhi pelbagai syarat dan dikenakan kadar sewa teksi yang tinggi, kebanyakannya tidak mampu berbuat demikian. Pilihan atau peluang yang ada hanyalah Grab. Bagi yang bekerja, mereka boleh menggunakan kereta mereka itu untuk membawa penumpang ke tempat kerja dan mencari wang tambahan selepas waktu pejabat atau ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Akhirnya Grab menjadi salah satu sumber pendapatan kepada rakyat walaupun hasilnya tidaklah seperti yang digembar-gemburkan.

Pelbagai pandangan diberi ber­ikutan peraturan baharu yang melibatkan Grab. Tetapi kesimpulannya Selak mendapat jawapan daripada seorang pemandu Grab yang sebelum ini berpe­ngalaman membawa teksi. Katanya, dengan syarat yang sama dengan pemandu teksi, adalah lebih baik dia kembali membawa teksi. Terdapat beberapa alasan yang mewajarkan pendirian pemandu itu. Isu pertama adalah tambang. Ketika penumpang menikmati tambang yang rendah, pemandu dibebani dengan pemotongan komisen tambang sebanyak 20 hingga 25 peratus berbanding teksi bermeter 10 peratus. Bagi teksi yang mengambil penumpang tanpa aplikasi atau mengikut meter akan mendapat hasil tambang sepenuhnya. Ba­yangkan berapa baki yang tinggal kepada pemandu Grab jika tambang dikenakan hanya RM6? Bagaimana kerajaan mahu memberi keadilan kepada pemandu teksi dan Grab?

Timbul persoalan sama ada selepas peraturan baharu ini, Grab akan terus menawarkan promosi sehingga sanggup menawarkan tambang serendah RM1 bagi 5 kilo­meter pertama? Adakah caj tambahan akan dikenakan kepada penumpang selepas 12 tengah malam sehingga 6 pagi seperti dikenakan teksi bermeter? Selama ini Grab tidak mengenakan caj tambahan 50 peratus selepas te­ngah malam. Grab juga layak untuk mendapat potongan tol sebanyak 50 peratus tetapi apakah kaedah yang hendak digunakan? Sistem rating yang digunakan oleh Grab juga perlu dilihat semula kerana selama ini jika pemandu memperoleh rating rendah, mereka berhadapan dengan masalah!

Diharapkan peraturan baharu ini akan membuka ruang kepada pemandu teksi keseluruhannya untuk bersaing secara sihat. Pengguna atau penumpang tidak mahu lagi mendengar pemandu enggan menggunakan meter atas alasan jalan sesak, jarak perjalanan dekat atau enggan mengambil penumpang tanpa alasan.

Ringkasnya, tidak ada lagi ‘peni­puan tambang’ melalui e-hailing kerana kadar tambang sudah dipamer melalui aplikasi. Pastikan juga teksi dalam ‘ke­adaan bersih’ dan selesa seperti yang dirasai pengguna Grab. Pemandu teksi bermeter (tidak semua) perlu mengubah sikap lebih mesra pengguna. Ada sesetengah pemandu yang sama ada dengan sengaja atau sebaliknya ‘tidak tahu laluan’ sehingga kadar tambang meningkat. Alasan tidak tahu lokasi tidak boleh diterima sekiranya memanfaatkan aplikasi Waze atau Google Maps.

Tidak dinafikan ramai pemandu yang baik, jujur dan benar-benar bekerja. Malangnya. disebabkan ‘nila setitik rosak susu sebelanga’, pengguna me­nyampah untuk memilih teksi di lokasi tertentu kerana apabila pintu teksi dibuka dan diberitahu lokasi, pemandu akan menggelengkan kepala atau meletak harga. Ingatlah me­lalui e-hailing, jarak tidak lagi menjadi pilihan. Pemandu tidak boleh menolak destinasi penumpang. Kita lihat sejauh mana perkembangan peraturan baharu ini. Adakah pemandu Grab terpaksa ‘menarik diri’ dan me­lakukan kerja lain untuk mencari sumber pendapatan tambahan atau berubah sebagai pemandu teksi yang mungkin berhadapan de­ngan ma­salah lain pula. Begitu juga dengan pilihan pengguna. Mereka diberi peluang sama ada untuk memilih Grab yang menawarkan pelbagai jenis kenderaan termasuk kereta mewah atau Grab Teksi yang biasanya menawarkan kereta Proton, Waja atau Perdana.