Sekelumit kata-kata ini boleh dikaitkan dengan beberapa isu semasa yang dianggap relevan. Antaranya berhubung dengan tindakan pemimpin-pemimpin UMNO yang mengisytiharkan keluar parti. Tidak payah berasa segan atau janggal bagi mereka ‘berpatah balik’ jika didapati laluan mereka setelah meninggalkan parti hanya merugikan masa dan tenaga.

Tersilap, tersasul itu perkara biasa. Ada yang beralasan keluar parti kerana ‘terpaksa’, demi mencari ‘dana’ bagi mencurahkan kebajikan kepada rakyat. Hanya pesanan kepada mereka, bertindaklah secara wajar dan jujur kerana ada kala ‘matlamat tidak mampu menghalalkan cara’.

Rakyat mungkin boleh memaafkan dan menerima mereka kembali dengan mudah jika ‘pemergian’ mereka tidak terlalu lama. Lagi pun, rata-rata didapati, peratusan rakyat yang sanggup ‘mengekori’ pemimpin mereka keluar parti tidak ramai. Tiada yang melebihi 50 peratus. Tegasnya sebilangan besar ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi masih sayangkan parti.

Berjuang bersama-sama ahli parti lebih terhormat, le- bih berpadu dan bersemangat berbanding mencari ‘penyelesaian politik’ di luar parti. Malah, tiada memberi impak atau makna apa-apa. Apatah lagi jika kelihatannya sekadar ‘terhegeh-hegeh’ mencari tempat di halaman orang.

Perjuangan tidak seharus- nya mengenal berputus asa. Senang sama dinikmati, susah sama diharungi. Pemimpin sepatutnya kental dalam meneruskan perjuangan bersama ahli di dalam parti, bukan sehinggakan ahli terpaksa memanggil pulang mereka yang sudah pergi.

Hakikatnya bahtera UMNO masih besar, gagah dan selesa untuk menampung keperluan orang Melayu. Bandingkan bahtera UMNO dengan bahtera-bahtera lain yang kelihatannya bersaiz kecil dan ‘lemah’, tidak mampu menempuh badai yang semakin ‘ganas’ melandai pantai. Pilihan utama bagi membina kekuatan Melayu hanya melalui teguh berpadu.

Bahtera UMNO bukan musnah, hanya perlu dibaiki, diselenggara untuk meneruskan pelayaran. Bahtera UMNO masih berupaya meneruskan pelayaran ke tengah lautan, sedia mengharungi gelora, membawa harapan dan sandaran orang Melayu, bukan sekadar diibaratkan ‘ke tengah tenggelam, ke tepi tak sampai’.

Masa juga tidak pernah terlewat bagi sesiapa untuk me- lakukan perubahan. Berubah untuk mencari penyelesaian, kebaikan dan membina kekuatan amat dituntut dan perlu disegerakan supaya kehidupan tidak terus hanyut dengan kesilapan dan kegagalan.

Jadi, tidak hairan jika ramai yang menggapai kemenangan, kecemerlangan dan melonjak ke puncak jaya hanya melalui ‘peluang kedua atau ketiga’ (second or third chances). Yang penting perlu ada usaha berterusan.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.