Begitulah jawapan seorang sahabat, pengamal undang-undang kepada saya hujung minggu lalu setelah saya minta pandangannya mengenai perkembangan terkini kes Siti Aisyah.

Beliau menjelaskan adalah benar Peguam Negara (selaku Pendakwa Raya) ada budi bicara menarik balik suatu kes jenayah itu pada bila-bila masa, tanpa memberitahu mahkamah sebab ia berbuat demikian.

Namun begitu, penarikan balik kes jenayah ini lazimnya dibuat di peringkat awal, iaitu sebelum mahkamah memutuskan ada kes prima facie terhadap orang yang kena tuduh (OKT) dan memanggilnya membela diri.

Dalam kes Siti Aisyah, warga Indonesia berusia 27 tahun ini telah pun dipanggil membela diri oleh hakim bicara pada Ogos 2018 lalu setelah Pendakwa Raya berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadapnya atas pertuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam di KLIA2 pada 13 Februari 2017.

KONSPIRASI TERANCANG

Pada ketika itu, hakim bicara menyatakan ada cukup keterangan menunjukkan Siti Aisyah, Doan Thi Huong dan empat warga Korea Utara lain terlibat dalam satu konspirasi yang terancang rapi (well-planned conspiracy) untuk membunuh mangsa.

Pada Isnin 11 Mac lalu hakim bicara Datuk Azmi Ariffin melepaskan tanpa membebaskan Siti Aisyah selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memberitahu mahkamah pihak pendakwaan telah menerima arahan untuk tidak meneruskan kes terhadapnya.

Pelepasan tanpa dibebaskan bererti Siti Aisyah masih boleh diheret semula ke mahkamah pada bila-bila masa selepas ini kerana dia belum lagi dibebaskan oleh mahkamah.

Dalam satu sidang media pada 11 Mac lalu, Menteri Hukum dan Hak Asasi Indonesia, Yasonna H Laoly menyatakan bahawa satu “siri rundingan dan pertemuan” telah dibuat oleh pemimpin Indonesia dan Malaysia mengenai kes Siti Aisyah.

Ini termasuklah pertemuan antara Presiden Indonesia Joho Widodo dengan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Ogos 2018 lalu.

Selain itu, Yasonna mendedahkan beliau turut membuat pertemuan dengan Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagi membuat permohonan yang sama.

NASIB BERBEZA

Berbeza dengan nasib Siti Aisyah, rakan tertuduhnya Doan Thi Huong (warga Vietnam berusia 30 tahun) gagal dalam permohonannya mendapatkan layanan yang serupa dari Pendakwa Raya.

Peguam Doan, Hisyam Teh Poh Teik, memberitahu wartawan bahawa Pendakwa Raya tidak bertindak secara adil terhadap anak guamnya.

Keputusan Pendakwa Raya menolak permintaan Doan merupakan satu diskriminasi kerana beliau memilih satu pihak sahaja untuk ditarik balik kesnya.

Portal berita www.benarnews.org memetik Presiden Indonesia Joko Widido (yang ketika itu menerima kunjungan Siti Aisyah bersama ibu bapanya) sebagai memuji “usaha diplomatik” untuk mendapatkan pembebasan warga Indonesia itu.

Portal itu juga memetik kenyataan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur yang “menyifatkan pembebasan Siti Aisyah sebagai kemuncak usaha diplomatik diterajui Presiden Joko Widodo”.

Dari sudut undang-undang apabila mahkamah memutuskan di akhir kes pendakwaan bahawa pendakwa telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap OKT, ini bermakna bahawa sekiranya selepas itu OKT memilih untuk berdiam diri (tidak memberi keterangan bagi pihak dirinya dan tidak memanggil saksi bagi pihaknya menjawab kes pendakwa itu), mahkamah hendaklah terus mensabitkannya.

Ujian yang dipakai oleh hakim bicara di penghujung kes pendakwaan adalah seperti berikut - “Apakah keterangan yang ada sudah cukup untuk mensabitkan OKT sekiranya dia memilih untuk berdiam diri?”

Prinsip undang-undang di atas itu ditekankan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan pada 16 Julai 2013 lalu dalam kes Phiri Mailesi lwn Pendakwa Raya (Rayuan Jenayah NO: P-05-311-11/2011).

Beliau mengulangi prinsip sama yang sebelum itu dihuraikan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Balachandran v Public Prosecutor [2005] 2 MLJ 301.

Bertolak dari prinsip undang-undang ini, kecuali pasukan peguambela Siti Aisyah dan Doan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah dalam minda hakim bicara.

Keputusan prima facie pada Ogos 2018 lalu itu akan membawa kepada sabitan membunuh, dan selepas hukuman mati kepada kedua-dua mereka.

PREROGATIF PENDAKWA RAYA

Disebabkan kes jenayah di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap warga Indonesia dan Vietnam ini sudah sampai hampir di hujungnya, sahabat saya menganggap apa yang berlaku minggu lalu adalah luar biasa, walaupun ia tidak menyalahi undang-undang.

Namun begitu, disebabkan ramai rakyat masih tertanya-tanya kenapa pendakwaan terhadap Siti Aisyah ditarik balik di saat-saat akhir ini, tidak mustahil tindakan Pendakwa Raya ini akan menimbulkan rasa curiga atau persepsi tidak sihat.

Presiden Majlis Peguam, George Varughese, mengakui penarikan balik kes Siti Aisyah adalah satu prerogatif Pendakwa Raya dan mungkin ada sebab-sebab tertentu yang mendorong Pendakwa Raya berbuat demikian.

Namun begitu, adalah wajar bagi Pendakwa Raya menjelaskan sebab-sebab tersebut untuk mengelakkan dari sebarang spekulasi tidak sihat.

Mengikut Naran Singh, peguambela Doan, adalah jarang sekali (very rare) bagi Pendakwa Raya menarik balik suatu kes bunuh selepas hakim bicara memanggil OKT membela diri.

Beliau berharap Pendakwa Raya boleh bertindak secara telus dan menjelaskan kenapa beliau menarik balik kes Siti Aisyah tetapi tidak Doan.

Pada 14 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menyatakan bahawa penarikan balik suatu kes jenayah itu adalah dalam kuasa budi bicara Peguam Negara selaku Pendakwa Raya.

Sambil menyatakan “Kerajaan tidak boleh campur tangan dengan kuasa budi bicara ini”, Liew mengesahkan bahawa pihaknya tidak tahu menahu usaha pihak-pihak tertentu mendapatkan pembebasan Siti Aisyah.

Apakah perbicaraan akan diteruskan terhadap Doan seorang atau apakah akhirnya dia juga akan dilepas tanpa dibebaskan seperti Siti Aisyah, sama-samalah kita tunggu.

Kes ini diperhatikan bukan hanya oleh rakyat Malaysia sahaja tetapi menarik minat dari seluruh dunia.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.