Selalunya apabila kita ke sebuah restauran yang ramai pelanggan, pelayan membiarkan kita mememilih sudut meja yang menarik dan selesa. Jarang kita mendengar kata-kata daripada pelayan untuk menawarkan tempat yang bersih. Selepas itu ada yang menghulurkan buku menu kemudian membiarkan kita membelek-belek halaman, sedangkan kita pun tidak tahu apa yang sedap untuk dimakan di tempat tersebut.

Kadang-kadang kita datang ke restauran sebab lapar, haus dan letih, tetapi perasaan kita kecewa bila tidak dapat layanan yang bagus. Pemilik, penyelia, pelayan buat tak endah kedatangan kita – tidak ada bertegur sapa dan sikap ramah pun tidak diberikan. Mood kita untuk memilih restauran kadangkala boleh terganggu jika banyak meja dan kerusi tidak dibersihkan dan disusun rapi.

Perkara yang melibatkan tatalaku ini terjadi sejak dahulu lagi tetapi makin ketara kini apabila semakin banyak warga asing yang dipilih untuk melayan tetamu. Masuklah ke restauran milik orang Melayu, Cina, India, kita akan dilayan oleh mat Bangladesh, mat Pakistan, mat Indonesia, mat Nepal, mat Rohingya dan mat India.

Pekerja asing yang dulu diimport khas untuk bekerja di sektor pembinaan, pembuatan dan perladangan, kini ada di mana-mana kawasan komersial. Mereka semakin memonopoli peluang pekerjaan di restoran makanan seperti kopitiam, cafe dan kebanyakan medan selera di kompleks beli-belah.

Hakikatnya mereka bagaikan sudah tidak mahu bekerja di kawasan yang terdedah panas terik dan mengguna tenaga kasar, mereka sekarang selesa bekerja di kawasan yang nyaman udara­nya.

Memang ada semacam pera­saan pada rakyat Malaysia bi­la warga asing datang untuk me­layan kehendak kita. Rasa bangga bila dapat layanan ma­cam tuan.

Mungkin ada alasan ter­sendiri bagi peniaga yang meng­gaji pekerja asing. Kita su­dah biasa mendengar alasan tentang kesukaran ma­ji­kan mendapatkan te­na­ga kerja warga tem­patan. Kalau ada pekerja tempatan timbul pula sikap mereka yang ma­hukan gaji le­bih se­dang­kan kerja yang dilakukan tidak setimpal.

Oleh yang demikian, banyak majikan me­ngu­pah pekerja asing se­­bab senang untuk di­kendalikan, tak banyak kerenah dan rajin be­ker­ja.

Kebanyakan pelang­gan ter­paksa akur mene­rima sajian masakan di restoran atau medan selera yang dipenuhi pe­layan dan tukang masak warga asing. Walaupun ragu-ragu dan rasa tidak yakin terhadap bahan mentah dan re­sipi masakan, namun ke­­banyakan pelanggan ter­paksa makan juga sebab tiada pilihan lain. Mahu tidak mahu, ramai yang sudah menikmati masakan Barat dan ma­sa­kan tempatan seper­ti asam laksa, tom yam, char key teau, dan sate ha­sil air tangan warga asing.

Apa yang penting, majikan yang menggaji warga asing perlu memastikan pekerja mereka menjaga kebersihan dan taraf kesihatan yang baik. Kebimbangan masyarakat terhadap penyebaran penyakit berjangkit melibatkan keseluruhan warga asing terutama golongan pendatang asing yang masuk secara haram adalah serius kerana tidak diketahui tahap kesihatan mereka.

Sebab itu di samping pihak berkuasa terutama Jabatan Imigresen memburu pendatang asing tanpa izin, Jabatan Kesihatan juga perlu lakukan operasi pemeriksaan tahap kesihatan pekerja asing yang bekerja di restauran.

Kita dapat lihat beberapa kes penyakit berjangkit yang selama ini sudah terkawal dan rendah bilangannya kembali meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain tibi, beberapa penyakit lain yang dikhuatiri boleh atau telah disebarkan pendatang asing termasuk selesema (Influenza A H1N1 atau H5N1), malaria, HIV/AIDS, hepatitis, polio dan banyak lagi akibat daripada jangkitan bakteria, virus, parasit atau mikroorganisma lain.

Penyakit berjangkit terutamanya daripada pendatang asing bukan sahaja merebak melalui sentuhan (perhubungan secara terus, bendalir badan) atau vektor (nyamuk, tikus, lalat), malahan melalui makanan yang diurus atau dijual golongan tersebut.

Perkara ini bukan pelik jika kita perhatikan ada pekerja asing yang bila selesai melepaskan ‘hajat kecil atau besar’ di tandas, mereka langsung tidak membasuh tangan. Lebih teruk lagi, bila saya lihat sendiri tukang tebar roti canai di sebuah warung di Sungai Besi yang kencing di tepi pagar, dan tidak membasuh tangan selepas selesai.

Sebab itu saya tidak suka bila pelayan tempatan atau warga asing yang membawa hidangan air panas atau sejuk memegang mulut gelas. Sebab tidak pasti tahap kebersihan tangannya. Lebih-lebih lagi kepada pembuat teh dan penebar roti canai.

Di negara asal mereka pun amalan meludah merata-rata, kencing merata-rata, tidak basuh tangan selepas ke tandas... mungkin itu budaya mereka. Amalan buruk begitulah yang mereka bawa ke Malaysia.

Amalan kebersihan diri perlu ditekankan kepada pelayan dan tukang masak warga asing dan tempatan. Pemeriksaan kesihatan bukan sahaja dijalankan di negara asal tetapi juga di Malaysia secara berkala.

Walaupun asalnya permit kerja mereka sebagai pekerja ladang atau pembantu rumah tetapi kerana longgarnya penguatkuasaan kita, mereka kini sudah boleh jadi tukang masak bahkan lebih berani membuka warung makanan tradisi mereka.

Apa pun kerajaan kita berhati-hatilah menerima kehadiran pekerja asing yang dilihat mudah keluar masuk ke negara ini. Budaya pengotor mereka akan dibawa ke sini dan rakyat kita pula bergelut dengan penyebaran penyakit berjangkit.