Raja Melaka, Parameswara, me­ngikut catatan sejarah, meme­luk Islam sebagai lambang pengislaman kerajaan Melayu dan permulaan sejarah negara di bawah naungan Raja Melayu ini tidak seharusnya dicabar dengan sewenang-wenangnya.

Prinsip perundangan dan perlaksanaan Islam selaras dengan adat istiadat Melayu yang telah diterima berdekad-dekad lama­nya di negara ini seharusnya diambil sebagai satu kepunyaan rakyat semua kaum kerana pelaksanaan Islam secara adil itu tidak pernah menyentuh hak dan kepentingan serta kebebasan beragama rakyat bukan Islam.

Sejarah juga membuktikan ba­hawa Kerajaan Melaka pernah menerbitkan teks undang-un­dang yang bernama “Risalah Hu­kum Kanun” berasaskan un­dang-undang Islam tentang per­kahwinan, muamalat, keterang­an, kehakiman dan jinayat. Ri­­salah ini merupakan dokumen penting tentang pelaksanaan Islam di dalam masyarakat Tanah Melayu untuk menjamin kestabilan dan keadilan pemerintahan bagi masyarakat berbilang kaum yang sedia wujud pada ketika itu.

Hal ini telah membuktikan kedaulatan raja Melayu dan status agama orang Melayu yang seharusnya diakui oleh rakyat tanpa melihatnya dari sudut yang negatif atau menganggapnya sebagai satu ugutan kepada masyarakat berbilang agama dan budaya.

Oleh itu agak adil jika dilihat kepada kedudukan agama Islam yang dijamin oleh Perlembagaan negara dari sudut yang lebih positif. Malah kedudukan orang Melayu sendiri adalah bermakna status Melayu yang dihubungkan dengan agama, budaya, adat resam, bahasa dan kedudukan istimewa mereka sebagai rakyat Melayu yang dipayungi oleh raja-raja Melayu sendiri.

Sejarah juga mencatatkan bahawa terdapat beberapa buah negeri Melayu yang telah menjadikan Islam sebagai dasar perlembagaan negeri tersebut se­perti yang telah dilakukan di Johor pada 1895 dan Terengganu (1911). Tetapi sayangnya fakta sejarah ini hanya tinggal dalam ca­tatan sejarah tanpa dijadikan asas maklumat dan pendidikan rakyat umum sehingga seolah-olah Ta­nah Melayu ini merupakan satu bumi asing dari kita semua. Juga, sehinggakan orang Melayu sendiri juga telah dilihat sebagai “pendatang” di negaranya sendiri.

Sejarah Tanah Melayu baharu yang diberikan nama “Malaya” oleh penjajah juga memperlihatkan pengiktirafan yang sejati tentang status agama Islam iaitu ketika parti Perikatan mengemukakan memorandum kepada Lord Reid, Pengerusi Suruhanjaya Draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Perlembagaan Mer­deka 1957) mencadangkan su­paya agama Islam dijadikan agama negara Malaya. Dan sebagai balasannya yang adil maka prinsip ini tidak menyentuh hak warga negara bukan Islam untuk menganut agama mereka secara aman dan harmoni. Cadangan inilah yang telah diterima dan dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Fakta sejarah dan undang-undang yang dijelaskan ini amatlah penting difahami dan dihayati oleh segenap lapisan rakyat negara kita. Kontrak sosial tentang agama ini adalah merupakan per­setujuan bersama di antara rakyat keseluruhannya tentang kandungan persetujuan yang telah diterima untuk diperuntukkan di dalam Perlembagaan. Oleh itu amatlah malang sekali jika terdapat pihak-pihak yang cuba menafikan tentang wujudnya kon­trak sosial ini ketika negara ini mencapai kemerdekaan dulu atau berusaha untuk tidak memahaminya sebagai satu wadah ke­harmonian bangsa di dalam negara kita pada saat ini. Golongan inilah yang kelihatannya sedang mencuba untuk mencabar prinsip agama Islam di negara kita yang telah pun menjadi amalan dan diterima baik oleh semua kaum ketika negara kita mencapai kemerdekaannya.

Malah istilah “Islam” ini pula tidaklah seharusnya dipertikaikan sebagai amalan ritual semata-mata iaitu satu konsep yang cuba disempitkan pentafsirannya seperti yang sedang dilakukan oleh sesetengah golongan di dalam masyarakat kita.

Kita dalam keadaan sekarang tidak memerlukan golongan pe­lampau termasuk golongan pe­lampau dari semua agama yang diamalkan di Malaysia. Hal ini disebutkan kerana di dalam apa saja agama yang wujud di dalam dunia ini, akan terdapat golongan pelampau dan fanatik melulu di dalam agama tersebut. Golo­ngan agama pelampau dan taksub inilah yang seharusnya kita lenyapkan daripada berleluasa di dalam negara ini yang selama ini berjaya menghayati kehidupan aman dan tenteram, penuh tole­ransi dan harmoni.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).