Berapa ramai yang benar-benar mengetahuinya berbanding yang tidak tahu. Itulah persoalan yang sering bermain dalam minda kita dalam dunia akhir zaman yang penuh dengan fitnah termasuk berkaitan harta pusaka.

Jika dilihat pada masa ini, benarlah apa yang diperkatakan oleh Baginda SAW bahawa ilmu faraid ini semakin hari semakin dilupakan. Ini terbukti melalui laporan-laporan akhbar dan media masa, bagaimana adik beradik darah daging yang sama boleh bergaduh sehingga mengakibatkan nyawa melayang hanya semata-mata kerana sifat tamak terhadap harta. Juga bagaimana seorang anak boleh membunuh ibunya semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan harta yang diinginkannya.

Betapa dahsyatnya fitnah harta pusaka ini sehingga kita akan hilang pertimbangan akal yang waras dalam menjaga hubungan kita sesama saudara.

Kepentingan untuk mengetahui dan memahami ilmu faraid ini telah difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran iaitu dalam surah an-Nisa’ ayat 10-14.

Antara perinciannya yang terkandung dalam surah an-Nisa’ ayat 11 yang bermaksud,“Allah mewariskan kepadamu tentang bahagian anak-anakmu. Untuk seorang lelaki seumpama dua bahagian orang perempuan. Sekiranya anak-anak itu perempuan lebih daripada dua orang, untuk mereka dua pertiga daripada sepeninggalan dan jikalau perempuan itu seorang, maka untuknya satu perdua.

Untuk dua orang ibu bapa, masing-masing satu perenam daripada peninggalan jikalau si mati mempunyai anak. Sekiranya si mati tidak mempunyai anak dan yang menerima pusakanya hanya ibu bapa, maka untuk ibunya satu pertiga. Tetapi jikalau si mati mempunyai beberapa orang saudara, maka untuk ibunya satu perenam sesudah ditunaikan wasiat ataupun hutang-hutangnya. Bapa kamu dan anak-anak kamu, kami tidak tahu siapakah antara mereka yang akan berbakti kepada kamu (selepas kematian kamu). Inilah suatu ketetapan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Jika kita tidak berhati-hati dalam menguruskan harta, dikhuatiri kita akan mengambil atau merampas bahagian yang bukan hak milik kita yang tentunya akan menjadi sesuatu yang haram.

Oleh itu, kita jangan sesekali mengabaikan ilmu faraid ini dalam kehidupan seharian kita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,“Pelajarilah al-Quran serta ajarkan ia kepada orang lain dan pelajarilah ilmu faraid serta ajarkan ia kepada orang lain. Kerana sesungguhnya aku ini akan dicabut nyawa (mati) dan ilmu tersebut juga akan dicabut oleh Allah SWT. Lalu akan timbullah fitnah harta (huru-hara) sehingga nanti akan ada dalam kalangan dua orang yang berselisih tentang pembahagian harta pusaka dan mereka sendiri tidak tahu siapakah yang akan dapat menyelesaikan masalah mereka.” (Hadith riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Daripada Ka’ab bin ‘Iyadh RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya bagi setiap umatku ada ujian. Ujian ke atas umatku ialah harta benda.”(Hadith Riwayat at-Tirmizi)

PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Cawangan Johor.