Justeru, peranan pelagak ngeri juga amat penting dalam membangunkan kesan persepsi realiti kepada khalayak penonton sama ada menggunakan ‘taktik’ tertentu atau teknik kamera.

Pelagak ngeri adalah individu yang melakukan sesuatu aksi yang memerlukan keberanian fizikal dan melibatkan risiko bagi menggantikan pelakon dalam adegan berbahaya.

Antara contoh aksi termasuklah lompat dan jatuh dari bangunan, meletupkan diri, diselubungi api, dilanggar kenderaan dan banyak lagi lagak mengerikan. Penuh cabaran namun itulah pekerjaan hakiki serta rutin pelagak ngeri yang menjadi pelengkap dan mewakili sebahagian besar dalam kebanyakan filem aksi.

Menurut pengarah aksi dan juga koordinator kesan khas, William Ong, 52, (gambar) meskipun pelagak ngeri terlibat dengan adegan berbahaya dan berisiko, namun sikap berani yang berlebihan bukanlah kriteria yang perlu ada dalam menjayakan sesuatu adegan.

“Lebih kurang 15 tahun lalu, beberapa individu menyatakan keinginannya untuk menjadi seorang pelagak ngeri. Namun, disebabkan dia berkata ‘saya tidak takut mati’, maka saya tidak berani mengambilnya bekerja.

“Seorang pelagak ngeri bukanlah dianggap hebat sekiranya mempunyai perasaan berani yang berlebihan seolah-olah tidak kisah sekiranya nyawa melayang kerana ia akan mempengaruhi mentaliti seseorang yang menyebabkan dia cuai dan tidak berwaspada ketika beraksi.

“Keadaan ini sekali gus mengganggu tahap kesedaran seseorang dan menjadikannya dia kurang peka terhadap aspek keselamatan,” katanya.

Aksi lagak ngeri bagaimanapun menurutnya boleh dianggap sebagai satu pekerjaan mengambil risiko yang telah dijangkakan. Namun, ia bukanlah satu profesion yang ‘menjual nyawa’ tetapi merupakan pekerjaan yang profesional.

“Pelagak ngeri boleh meramal risiko bagi setiap aksi yang ingin dilakukan. Jadi mereka sudah membuat perkiraan jika buat aksi macam ini, kesannya begini akan berlaku. Menerusi ramalan dan perkiraan itulah pelagak ngeri dengan dibantu kru lain akan mengambil langkah keselamatan bagi mengelakkan berlakunya risiko yang buruk.

“Selain itu, menggunakan taktik dan teknik kamera juga merupakan satu pendekatan yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko, namun masih menampakkan kesan yang realiti.

“Sebagai contoh dalam satu adegan sebenar kereta dipandu dalam kelajuan 60 hingga 70 kilometer sejam, namun dengan bantuan teknik kamera menampakkan seolah-olah kelajuan lebih 150 kilometer sejam,” katanya.

Dalam pada itu menurutnya, mempunyai kemahiran khas khususnya berkaitan dengan aksi lasak memberi kelebihan selain mudah untuk dilatih berbanding tiada pengetahuan langsung.

“Saya sebagai pengarah aksi ketika hendak mencari seorang pemandu lagak ngeri misalnya akan cenderung memilih individu yang mempunyai pengalaman sebagai pelumba rally dalam gelanggang berbanding dengan pelumba biasa.

“Ini kerana pelumba rally sering berdepan dengan latar belakang yang serupa, jadi dia tahu situasi menentukan arah kereta ketika bergerak di hadapan kamera. Berbekalkan kemahiran yang dimiliki dalam aspek kelajuan dan ditambah dengan latihan lagak ngeri akan menjadikan aksi pemanduan yang cekap.

“Begitu juga dengan aksi bertarung, mereka yang mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri misalnya silat, adalah lebih baik.

“Memandangkan ahli silat sudah memiliki asas dalam seni pertahanan diri, jadi ini memudahkan pengarah aksi untuk melatihnya cara tendangan dan tumbukan yang seolah-olah nampak kuat dan menyakitkan tetapi tidak terkena pelakon yang beraksi bersamanya,” katanya.

Mengulas cara menentukan aksi sesebuah filem William berkata, setiap aksi bergantung kepada peruntukan bajet, dan ini yang membezakan antara adegan lagak ngeri yang dilakukan dalam negara dan luar negara.

“Sebagai contoh kalau peruntukan bajet untuk filem tempatan saya mungkin hanya mampu membuat adegan satu kereta terbalik, namun di luar negara seperti Bollywood misalnya, saya boleh buat aksi yang lebih ngeri seperti kereta melanggar rumah dan bangunan diikuti kenderan lain lalu jatuh dan terbalik.

“Perbezaan ketara ini berlaku kerana produksi perfileman di sana berani memperuntukkan bajet sehingga berpuluh-puluh juta namun, tidak di Malaysia atas sebab faktor sambutan penonton dalam pasaran tempatan,” katanya.