Sambutan Hari Pekerja atau Buruh bukanlah suatu perkara baru, bahkan ia telah disambut di seluruh dunia dengan lebih dikenali dengan nama sambutan, Hari Pekerja Antarabangsa yang dibentuk pada 1 Mei 1984 oleh Persekutuan Persatuan Pekerja dan Buruh Antarabangsa sebagai manifestasi menandakan peringatan tentang kejayaan ekonomi dan sosial bagi pergerakan sekerja yang merujuk kepada kejayaan Parti Buruh Kanada memperjuangkan hak bekerja selama lapan jam terhadap pekerja pada waktu tersebut.

Demikianlah jua di Malaysia, sambutan Hari Buruh ini bukanlah suatu fenomena baru, tetapi ia telah diraikan oleh Malaya sejak awal tahun 1921. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh beberapa gerakan sekerja dalam menjadikan tarikh keramat 1 Mei sebagai cuti rasmi sejak dari fasa awal sambutannya tetapi disebabkan pelbagai halangan, merencatkan proses tersebut.

Walaubagaimanapun, pada 20 Mei 1972, Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Dr. Ismail menerima usulan untuk menjadikan sambutan Hari Pekerja atau Buruh sebagai salah satu cuti rasmi di negara Malaysia dan pada 1 Mei 1973, sambutan Hari Pekerja atau Buruh secara rasminya dimasukkan ke dalam kalendar rasmi cuti di negara yang menjadi penanda aras kepada kekuatan pengaruh kesatuan sekerja atau kelompok pekerja khususnya di Malaysia.

Peranan Pekerja sebagai Agen Perubahan

Secara konseptual, pekerja merupakan satu sosok kumpulan yang amat berpengaruh dalam masyarakat khususnya masyarakat yang hidup dalam ruang lingkup sistem kapitalis pada hari ini. Oleh demikian, sarjana ekonomi politik antarabangsa seperti Karl Polanyi (1957) dalam magnum opusnya, The Great Transformation: The Political and Economic Origins of Our Time menyifatkan pekerja sebagai sebahagian daripada agen utama dalam proses produksi bahkan mereka ini merupakan sebahagian daripada komponen-komponen pusat dalam pasaran masyarakat kapitalis. Peranan mereka adalah untuk memenuhi keperluan sosial khususnya dalam ekonomi pasaran bebas.

Demikian jua, pekerja dilihat sebagai salah satu kelompok yang menyumbang ke arah pemerdayaan pembangunan sesebuah negara. Dalam konteks yang lebih spesifik, pekerja merupakan aset kepada majikan. Dengan itu, pekerja dilihat sebagai faktor yang mengimbangi hubungan antara masyarakat dengan negara dalam sistem kapitalis yang berpaksikan kepada mekanisme regulasi kendiri.

Berdasarkan kepada konseptual asas, dapat dikenal pasti bahawa golongan pekerja ataupun lebih terfokus kepada kesatuan sekerja memainkan peranan yang amat signifikan dalam memainkan peranan sebagai agen perubahan khususnya di Malaysia. Perubahan yang dimaksudkan adalah merujuk kepada aspek pembangunan.

Pertama, mereka memainkan peranan sebagai agen yang melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang memerintah dalam memastikan wujudnya pembangunan yang bersifat menyeluruh kepada rakyat dan komuniti. Kedua, pekerja berperanan penting dengan memperkukuhkan sistem penyampaian agensi kerajaan supaya lebih efisien dan faedahnya mampu diterima oleh semua rakyat. Ketiga, bagi pekerja swasta, setiap tindakan yang dilakukan oleh mereka haruslah berpaksikan kepada usaha untuk merealisasikan matlamat syarikat yang menyumbang kepada peningkatan tahap ekonomi syarikat dan seterusnya meyumbang kepada peningkatan hasil negara.

Perlindungan 
Sosial Pekerja

Untuk itu, bagi memastikan kumpulan pekerja ini memainkan peranannya sebagai agen perubahan yang efektif di Malaysia, penyediaan aspek perlindungan sosial terhadap pekerja turut sama harus dipertingkatkan kualitinya. Justeru, kerajaan telah mewujudkan beberapa mekanisme penting dalam memastikan aspek kebajikan dan perlindungan sosial pekerja dilindungi sebaiknya berdasarkan kepada Faedah Minima yang wujud di bawah Akta Kerja 1955.

Antara senarai faedah minima yang diperolehi adalah melibatkan hak cuti sakit bergaji, waktu-waktu kerja, kerja lebih masa, hari rehat bergaji, pembayaran upah, cuti tahunan bergaji, cuti umum bergaji, penamatan kontrak kerja dan cuti bersalin atau faedah bersalin bagi pekerja wanita. Juga dalam masa yang sama, aspek perlindungan sosial pekerja turut diperkukuhkan dengan kewujudan skim pencen dan skim wang simpanan pekerja (EPF) dan dikatakan model pengurusan skim pencen dan skim wang simpanan pekerja merupakan antara yang terbaik pernah dibina dalam rantau Asia Tenggara.

Di samping itu, di bawah Pelan Transformasi Negara (2010) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah mengambil inisiatif untuk memperkukuhkan aspek perlindungan dan jaringan keselamatan sosial di Malaysia dengan mewujudkan skim bantuan yang menjurus kepada matlamat untuk mengurangkan bebanan pekerja khususnya dalam berhadapan dengan peningkatan taraf hidup.

Hal ini selaras dengan prinsip kepimpinan kerajaan di bawah pemerintahan beliau yang dikatakan bersifat “berkebajikan dan bertanggungjawab”. Dengan demikian, kerajaan telah memperkenal beberapa skim di bawah jenama 1 Malaysia dan antaranya adalah seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) dan Klinik 1 Malaysia. Juga, kerajaan telah menstrukturkan kadar kenaikan gaji antara 7-13 peratus untuk kakitangan awam yang dikatakan bersandar kepada prinsip asas gaji minimum yang menjadi antara intipati utama dalam pembentangan bajet sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Sumbangan 
Pekerja Kepada Kejayaan Pelan Transformasi Negara

Melihat kepada usaha yang dilakukan oleh kerajaan, tidak dinafikan lagi bahawa kumpulan pekerja inilah antara salah satu penyumbang kepada kejayaan pelaksanaan program transformasi negara. Hal ini demikian, disebabkan tindakan kerajaan memperkukuhkan aspek perlindungan dan kebajikan sosial buat pekerja hasilnya diterjemahkan oleh pekerja ke dalam bentuk kejayaan mencapai sasaran yang diletakkan di bawah Pelan Transformasi Negara. Antara kejayaan tersebut adalah di mana pendapatan perkapita rakyat Malaysia pada tahun 2014 telah meningkat kepada RM33, 875.

Kejayaan ini turut sama dipengaruhi oleh konsistensi kelompok pekerja dalam menjayakan matlamat yang telah ditetapkan. Kedua, dari aspek kadar rasuah yang semakin berkurangan khususnya dalam kalangan pekerja baik dari sektor awam ataupun swasta yang menjadi penanda aras kepada kejayaan Pelan Transformasi Negara di bawah pemerintahan Najib Abdul Razak.

Perkara ini diperakui oleh Transparency International (IT) sebuah badan bukan kerajaan yang memantau berkenaan amalan rasuah dalam badan korporat dan politik antarabangsa yang memuji kemampuan negara Malaysia untuk mewujudkan sebuah negara yang bersifat mesra perniagaan dengan berusaha untuk membasmi rasuah dalam kegiatan perniagaan. Kedua-dua perkara ini dikatakan antara yang menyumbang kepada peningkatan hasil negara di mana Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang agak baik pada tahun 2015 iaitu sebanyak 6.4 peratus.

Justeru, peranan pekerja tiadalah dapat disanggah lagi memiliki peranan yang besar dan dominan dalam menyumbang ke arah pembangunan sesebuah negara. Ini kerana pekerja dilihat sebagai agen perubahan yang bertindak sebagai medium hubungan antara masyarakat dengan negara yang menjadikan hubungan tersebut lebih bersifat efektif dan proaktif serta menyumbang kepada kejayaan dasar-dasar kerajaan Malaysia yang telah dirancang dan dibentuk.

Akhir kata buat semua pekerja di Malaysia, Selamat Hari Pekerja!

n Penulis merupakan pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Raub.