Semasa penulis kecil-kecil dahulu, banjir di Kelantan dan Terengganu memang tidak asing lagi. Pada masa itu, banjir seakan-akan dinanti. Walaupun penulis bukan orang Pantai Timur tetapi Pantai Timur menjadi terkenal dengan banjir.

Apabila tiba sahaja musim tengkujuh, maka di corong-corong radio tidak lekang dengan berita-berita banjir. Ramai yang ingin mengetahui berapa jumlah yang dipindahkan, berapa yang lemas dan siapa yang mendapat pingat Hang Tuah kerana menyelamatkan mangsa banjir.

Kelantan pernah dilanda banjir besar pada 2014 sehingga Gua Musang dan Kuala Krai dikatakan lumpuh, banjir besar ini dikenali sebagai banjir kuning. Begitu juga dengan Pahang dan Terengganu, yang mana kedua-dua negeri Pantai Timur itu sering dilanda setiap kali musim tengkujuh.

Sekarang, bukan sahaja Pantai Timur yang selalu dilanda banjir, negeri-negeri lain pun tidak terkecuali antaranya Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Paling dibimbangi, banjir yang tidak disangka-sangka itu boleh memusnahkan pelbagai harta benda terma­suk peralatan bangunan kerajaan, sekolah, institusi kewangan dan sebagainya.

Dalam perkembangan berkaitan usaha untuk mengurangkan risiko bencana banjir sangat penting untuk memastikan kerugian dari segi harta benda tidak berlaku. Pada masa ini, media massa sudah mula menyalurkan maklumat tentang banjir, bahaya dan kesan banjir, cara-cara menghadapi banjir dan apa yang perlu dibuat dan apa yang perlu dielakkan ketika banjir.

Sebarang maklumat perlu diberi perhatian demi ke­selamatan semua pihak termasuklah mengurangkan jumlah kerugian dan apa yang penting adalah usaha untuk mengelak kehilangan jiwa terutamanya golongan kanak-kanak, warga emas dan wanita.

Banjir biasanya sukar dielak jika hujan turun lebat berte­rusan selama beberapa hari. Jika air laut pasang, air tidak boleh ke mana-mana kerana sungai dan parit sudah penuh. Bagaimanapun, jika air laut tidak pasang tetapi banjir tetap berlaku dan airnya tidak ke mana-mana, perkara ini perlu diberi perhatian kerana banjir mungkin berlaku disebabkan sistem perparitan yang tidak sempurna.

Pengawasan terhadap sungai, longkang dan parit sa­ngat penting untuk mengurangkan risiko banjir. Usaha mendalamkan parit dan membersihkan saliran dengan memastikan tiada sampah tersekat, sisa-sisa bahan binaan dan tidak ada tumbuhan-tumbuhan yang boleh menyekat aliran air perlu dilakukan dengan lebih kerap kerana hujan lebat tidak dapat ditentukan masanya.

Apa pun kita amat berterima kasih atas keprihatinan sesetengah kerajaan negeri yang sudah memulakan langkah mendalamkan parit dan saliran sejak bulan Oktober lalu sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Di pihak orang ramai, tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar sangat penting untuk mengurangkan kesan banjir terutamanya dari segi tindakan menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal mereka. Pembuangan sampah secara tidak sistematik akan memburukkan keadaan.

Janganlah sampai terhantuk baru nak tengadah!