Status Baitulmaqdis adalah begitu kontroversi kerana ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1947 meluluskan Resolusi 181 untuk memecahkan negara Palestin kepada dua negara berbeza demi memberi laluan penubuhan Israel, Baitulmaqdis sebenarnya diberi status corpus separatum iaitu bandar tersebut diletakkan di bawah seliaan PBB.

Selepas perang 1948 di antara negara Arab dan Israel tamat, rejim Zionis telah menakluk Baitulmaqdis barat dan menjadikan jajahan takluknya sebagai sebahagian dari Israel. Sekali lagi selepas perang 1967, Baitulmaqdis timur telah dirampas yang pada ketika itu ditadbir oleh Jordan. Pada 1980, Parlimen Israel iaitu Knesset telah meluluskan rang undang-undang yang dinamakan Perundangan Asas Jerusalem yang mengiktiraf bandar tersebut sebagai ibu kota Israel dan seluruh Baitulmaqdis yang dijajah sebagai milik mereka.

Perundangan tersebut tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa melalui Resolusi 478 yang dikeluarkan oleh Majlis ­Keselamatan PBB pada tahun sama. Amerika Syarikat (AS) yang diakui sebagai penyokong tegar Israel akur dengan Resolusi 478 yang membawa maksud Washington tidak mengiktiraf Baitulmaqdis milik dan ibu kota Israel. Kesemua 192 negara ahli PBB mengiktiraf Resolusi 478 kecuali Rusia yang menempatkan pejabat kedutaan mereka di Baitulmaqdis.

Sebab itu juga mana-mana individu, organisasi atau negara yang turut meraikan sambutan Hari Jerusalem sebenarnya menongkah arus Resolusi 478 atau dengan kata lain bukan sahaja mengiktiraf seluruh Baitulmaqdis adalah milik Israel tetapi juga menganggapnya sebagai ibu kota Israel.

Malaysia sebagai negara berdaulat mempunyai dasar luar yang begitu jelas mengenai Israel dan paling ketara Kuala Lumpur tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Tel Aviv. Se­perti mana di AS, sentimen simpati terhadap perjuangan rakyat Palestin tidak boleh ditonjolkan kerana bertentangan dengan dasar Washington mempertahankan Israel, serupa juga di Malaysia menjadi pantang larang mempamerkan sokongan kepada Israel.

Ketika rejim Israel melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza pada 2015, penyanyi tersohor Selena Gomez dan Rihanna yang meluahkan perasaan simpati terhadap penderitaan rakyat Pa­lestin, telah diugut sehingga hampir memusnahkan karier muzik mereka berdua. Begitu kuat sekali sentimen pro-Israel di AS.

Sebab itu agak kurang difahami apabila All Malaysian-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC) berniat menganjurkan pe­rayaan Jubilee Jerusalem yang akan diadakan di Melaka pada 15 hingga 18 Jun ini. Walaupun AMGGRC mendakwa niat mereka bukan untuk mempromosi fahaman Zionis dan tidak mempunyai kaitan politik tetapi hanya merupakan perayaan agama, agak mustahil pihak penganjur tidak memahami maksud tersurat pe­rayaan Hari Jerusalem.

Apakah AMGGRC tidak prihatin dengan dasar luar Malaysia mengenai Israel kerana penganjuran perayaan tersebut seolah-olah cuba menongkah arus dasar luar negara? Memang bukan menjadi satu kesalahan perundangan untuk rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan dasar luar negara, tetapi apa jua perkara mengenai Israel adalah begitu sensitif sekali bukan sahaja di Malaysia tetapi juga negara jiran.

Apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melakukan lawatan rasmi ke Singapura pada Februari lalu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah mengarahkan media tidak memperbesarkan lawatan itu de­mi menjaga perasaan bukan sahaja rakyat Singapura beragama Islam tetapi juga rakyat negara jiran seperti Malaysia, Brunei dan Indonesia. Hakikatnya, Si­ngapura juga pintar mengurus hal berkaitan Israel.

Episod kepekaan yang agak nipis AMGGRC bukan sahaja ter­hadap dasar luar negara tetapi juga terhadap rakyat Malaysia yang sedang melalui bulan Ramadan mengingatkan peristiwa seorang individu rakyat Malaysia yang mengaku Laut China Selatan adalah milik China apabila Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague membuat keputusan bahawa China tidak mempunyai hak menuntut sebahagian besar perairan tersebut.

Kenyataan yang dikeluarkan individu tersebut sebenarnya terbawa-bawa dengan sentimen ideo­logi politik beliau. Pandangan itu sebenarnya bertentangan de­ngan dasar luar negara mengenai Laut China Selatan yang mana beberapa beting, terumbu dan pulau milik negara di perairan tersebut juga dituntut oleh China.

Sebab itu, ketegasan yang dipamerkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan mengarahkan Polis Diraja Malaysia supaya mengharamkan perhimpunan itu memang kena pada masanya dengan harapan mampu memberi petunjuk supaya rakyat Malaysia lebih peka dengan isu yang sensitif.

Jika Presiden AS, Donald J. Trump yang dianggap begitu semberono mampu memahami sensitiviti Baitulmaqdis dengan menangguhkan janji kempen beliau untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, maka sudah agak pasti rakyat Malaysia yang mempu­nyai kerajaan yang berani berterus terang memperkatakan hal berkaitan Israel tidak mempunyai sebab untuk tidak peka dalam hal yang sama.