Ada juga yang menuduh Malaysia telah menggadaikan kedaulatan dan maruah negara dengan sanggup berunding dan mengalah ketika berhadapan dengan rejim Korea Utara kerana hakikatnya Pyongyang tidak akan bertolak ansur sekali pun berhadapan dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) apatah lagi apabila berhadapan dengan negara kecil seperti Malaysia.

Beberapa minggu lalu apabila AS dan Korea Selatan mengadakan latihan ketenteraan, Pyongyang meluahkan rasa tidak puas hati dengan melancarkan empat peluru balistik yang mana tiga daripadanya menjunam ke arah perairan Jepun. Semalam sekali lagi Pyongyang melancarkan peluru berpandu bagaikan amaran awal sebelum pertemuan Pre­siden AS Donald Trump dengan rakan sejawat beliau dari China Xi Jinping pada 7 April ini.

Pelancaran peluru berpandu terkini oleh Pyongyang itu dikaitkan dengan amaran Trump kepada China bahawa jika Beijing tidak mampu mengawal tingkah laku Pyongyang, maka Washing­ton tidak teragak-agak untuk bertindak secara unilateral.

Jadi benarkah Malaysia telah menggadai maruah dan kedaulat­an negara demi menyelamatkan sembilan orang yang telah dijadikan tebusan? Sedangkan apabila berha­dapan dengan rejim Pyongyang mengikut pandangan Trump, kejayaan hanya boleh dicapai mela­lui tindakan ketentera­an.

Tetapi perlu diberi perhatian bahawa kumpulan perunding Malaysia tidak diberi kebebasan sepenuhnya demi mencapai persetujuan kerana salah satu terma rujukan yang ditegaskan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ialah maruah dan kedaulatan negara mesti sentiasa dipertahankan.

Jika Beijing yang dianggap mempunyai pengaruh terhadap Pyongyang menghadapi kesukaran untuk mengawal tindak tanduk pemimpin Korea Utara maka apakah sebenarnya yang dimiliki Kuala Lumpur sehingga berjaya mencapai kata sepakat dengan Korea Utara?

Bagaimana Kuala Lumpur berurusan dengan negara lain adalah petunjuk utama mengapa serumit mana pun sesuatu isu itu tetapi masih mampu diselesaikan. Begitu juga Kuala Lumpur lazim menongkah arus diplomasi antarabangsa yang kadang kala tidak disenangi kuasa besar kerana tidak menepati agenda geopolitik mereka.

Apabila Najib berhubung secara langsung dengan kumpulan pemberontak di Donesk, Ukraine yang dituduh oleh AS menembak jatuh pesawat MH17 pada Julai 2014, maka tindakan Perdana Menteri itu dianggap tidak menepati kelaziman diplomasi antarabangsa dan tidak disenangi bukan sahaja oleh AS bahkan beberapa negara dalam Kesatuan Eropah (EU).

Tindakan tersebut juga membabitkan risiko yang amat besar bagi sebuah negara yang berdaulat ke­rana berurusan dengan kumpulan pemberontak yang terlibat dengan percaturan geopolitik antarabangsa di antara AS dan Rusia.

Jika terdapat tuduhan Malaysia cuba meraih simpati Rusia pada ketika itu kerana pembe­rontak tersebut disokong oleh Moscow, setahun selepas itu Kuala Lumpur sebagai ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) telah mengusulkan resolusi penubuhan tribunal antarabangsa bagi menyiasat tragedi MH17. Seperti yang diketahui Rusia tidak bersetuju dengan tindakan Malaysia sehingga Moscow menggunakan kuasa vetonya.

Begitu jua dengan isu tuntutan bertindih sempadan maritim Laut China Selatan, Malaysia dengan pintar melaksanakan dasar luar­nya kerana ia membabitkan pertembungan dua kuasa besar iaitu AS dan China. Dalam hal strategi ketenteraan, Malaysia mengamalkan dasar seimbang yang mana jalinan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China dan Angkatan Tentera AS (USF) dilakukan tanpa prasangka.

Walaupun ATM sering terlibat dalam latihan ketenteraan de­ngan USF seperti CARAT dan Cobra Gold, ATM buat julung kali pada 2015 melaksanakan latihan dengan PLA di Selat Melaka yang mana latihan ini dianggap terbesar pernah dilaksanakan dalam kalangan angkatan tentera negara ahli ASEAN dengan PLA.

Timbul juga persepsi bahawa Malaysia terlalu bergantung kepada pelaburan dari China sehingga ada tuduhan bahawa dasar ekonomi sebegini akan menjerat negara kepada ihsan China. Tetapi jika diambil kira hasil lawatan Raja Salman dari Arab Saudi dan juga Presiden Perancis Francois Hollande ke Malaysia yang me­nyaksikan aliran masuk pelaburan dari kedua-dua negara ini, amat sukar untuk mempertahankan ‘dalil’ Malaysia terlalu bergantung kepada kemakmuran ekonomi China sahaja.

Terkini dalam rangka lawatan Najib ke India telah menyaksikan persefahaman di antara kedua-dua negara dengan jumlah pelaburan mengatasi pelaburan dari China - manifestasi dasar dan kepim­pinan negara yang tidak berat sebe­lah sama ada dalam bidang pertahanan mahupun ekonomi.

Malah jika diambil kira senario terkini pasaran ekuiti Bursa Malaysia, jumlah kemasukan dana asing adalah yang tertinggi di antara bursa negara ASEAN lain untuk 2017 yang mempamerkan sentimen positif pelabur asing bahawa asas ekonomi negara adalah kukuh kerana disokong oleh dasar yang mantap.

Sebab itu, penting bagi rakyat menghayati dan seterusnya menghargai dasar yang diamalkan oleh kepemimpinan tertinggi terutama sekali perkara yang berkaitan pertahanan dan ekonomi yang berkait rapat dengan percaturan geopolitik antarabangsa kerana kemakmuran yang dikecapi hari ini bukannya bermula secara tidak sengaja tetapi kerana dasar ke­pimpinan yang diamalkan.