Mungkin sebab prosedur pernikahan di negara tersebut mudah agaknya. Tanpa perlu ada wali atau saksi sekalipun, nikah boleh dijalankan.

Sebab itu negara Siam itu menjadi destinasi pilihan demi menghalalkan hubungan walaupun statusnya belum lagi sah mengikut hukum syarak.

NOOR AZIAH MOHD. AWAL
NOOR AZIAH MOHD. AWAL 

Kadang-kadang pasangan yang mahu bernikah di luar Malaysia ini percaya, apabila sudah selamat diijabkabulkan ‘tok kadi’, maka sudah halal lah. Asalkan dapat sijil nikah.

Mereka tidak peduli sama ada pernikahan itu jelas melanggar hukum syarak atau tidak memenuhi rukun nikah yang dituntut Islam.

Jika mengikut prosedur undang-undang di Malaysia, mana-mana pasangan yang bernikah di luar negara perlu mendaftarkan semula perkahwinan mereka di Mahkamah Syariah.

Selagi tidak didaftarkan, ia tidak dianggap satu perkahwinan di negara ini. Semakan akan dibuat terlebih dahulu adakah status pernikahan itu sah atau tidak mengikut tuntutan Islam. Jadi, jangan ingat anda sudah selamat bernikah di luar negara, ia bermaksud hubungan itu halal.

Bayangkan jika tidak sah, hubungan kelamin yang berlangsung selepas pernikahan itu adalah seperti berzina! Dan bayangkan pula mereka ditakdirkan menimang cahaya mata, anak itu boleh dianggap tidak sah taraf!

Ramai salah anggap, lecehnya nak kahwin di Malaysia ni apatah lagi nak berpoligami secara rahsia.

Sebab itu ada antaranya mengambil jalan pintas menggunakan ‘orang tengah’ kononnya boleh memudahkan urusan perkahwinan tersebut.

Dan percaya atau tidak, orang tengah itu dalam kalangan peguam syarie sendiri! Peguam Syarie tertentu itu dikatakan boleh mengeluarkan sijil nikah ekspres kepada pasangan yang bernikah di luar negara menggunakan ‘pintu belakang’ bagi mengesahkan perkahwinan mereka di sini.

 

Perkara itu dibongkarkan Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Noor Aziah Mohd. Awal, selepas menerima aduan daripada seorang kenalan yang mendapati suaminya berpoligami tanpa membuat sebarang permohonan di mahkamah.

Tetapi suaminya itu berjaya memperoleh sijil nikah Malaysia dengan hanya membayar RM5,000.

Kegiatan seumpama ini bukan cakap-cakap kosong. Menurut Noor Aziah, ia turut diakui sendiri oleh beberapa pengamal undang-undang syariah lain selepas perkara itu diutarakan kepada mereka.

“Saya tahu syarikat guaman syarie yang terlibat itu, namun perkara ini perlu benar-benar dibuktikan.

Peguam syarie itu dikatakan boleh mengeluarkan sijil nikah Malaysia dengan bayaran tertentu selepas pasangan bernikah di Thailand, tanpa dikenakan sebarang denda atau melalui prosedur yang ditetapkan mahkamah jika nikah tanpa kebenaran,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Noor Aziah percaya, sindiket yang dijalankan peguam syarie itu ada unsur-unsur merasuah pegawai di pejabat agama untuk mengeluarkan sijil itu.

Beliau yang kesal dengan penglibatan peguam syarie itu berkata, adalah amat sukar untuk mengambil tindakan terhadap peguam syarie terlibat.

Ini kerana mereka tidak dikawal oleh mana-mana badan sebagaimana Majlis Peguam yang boleh bertindak ke atas peguam-peguam sivil.

Walaupun Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dimaklumkan berhubung perkara ini, mereka hanya boleh didakwa atas kesalahan merasuah pegawai agama jika didapati bersalah.

Cekmek Molek turut melakukan siasatan berhubung dakwaan ini melalui pencarian di media sosial tentang ‘pakej nikah di sempadan’.

Menurut pengendali pakej itu, mereka boleh selesaikan segala urusan pernikahan di Thailand termasuk mendaftar semula perkahwinan itu di negara ini tanpa perlu melalui prosedur biasa.

Pernikahan boleh dijalankan di negara terbabit yang didakwa diiktiraf di negara ini menggunakan wali dan jurunikah yang bertauliah. Dalam iklan tawaran perkhidmatan pakej itu, mereka mendakwa:

- Mempunyai panel hakim peguam syarie bagi memudahkan urusan pendaftaran perkahwinan luar negara.

- Semua jurunikah adalah bertauliah dan dilantik oleh Majlis Agama Islam dan diiktiraf Kerajaan Malaysia dan Jabatan Agama Islam di Malaysia.

- Semua dokumen pengesahan oleh Konsulat Malaysia adalah sah dan boleh digunakan untuk mendaftar semula di Jabatan Agama Islam Malaysia.

Cekmek Molek turut mengesahkan sendiri dengan pengendali pakej melalui mesej WhatsApp untuk bertanya bagaimana mereka boleh mengesahkan perkahwinan tanpa cukup syarat?

Agak terkejut apabila mereka mengaku menggunakan ‘orang dalam’ untuk meluluskan permohonan seterusnya mengeluarkan sijil nikah Malaysia tanpa perlu mengikut prosedur ditetapkan.

Harapkan pegar, pegar makan padi. Mungkin itu peribahasa paling tepat bagi menggambarkan kes berkenaan.

Kegiatan seumpama ini perlu dibanteras kerana ia boleh merosakkan imej Islam apabila agamawan sendiri sanggup ‘menunggang’ agama demi wang.

Malah, perbuatan tersebut boleh menjahanamkan institusi perkahwinan kerana nasab keturunan diragui sah tarafnya.

Jika dilihat statistik di atas, apa jadi sekiranya ada antara permohonan pendaftaran pernikahan itu tidak diluluskan kerana tidak memenuhi syarat sah nikah?