Dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dijadikan sebahagian daripada perkara yang akan dilaksanakan jika PH memerintah. Realitinya selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) maka kerajaan ingin melaksanakan semua peruntukan berkaitan IPCMC yang terkandung dalam laporan suruhanjaya berkenaan.

Kuasa IPCMC

Semua pihak perlu bersyukur apabila Ketua Polis Negara yang baharu membuka ruang perbincangan dan merungkai kekusutan apabila PDRM bersetuju menerima implementasi IPCMC. Namun kajian terhadap kuasa IPCMC perlu diperhalusi kerana ia dibuat pada 2003 yang memerlukan PDRM dan pihak tertentu berbincang semula. Ada peruntukan yang tidak relevan dan disifatkan tidak realistik manakala sebahagiannya telah pun dilaksanakan. Isu yang menjadi perkara pokok penolakan warga PDRM sebelum ini adalah berhubung kuasa IPCMC yang dilihat sebagai satu mimpi ngeri yang menghantui mereka.

Setelah dikaji laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM terutama perkara yang menyentuh tugas dan tanggungjawab jabatan-jabatan dalam PDRM, didapati beberapa syor yang dikemukakan jika dilaksanakan boleh menjejaskan keberkesanan, moral dan kemampuan PDRM dalam melindungi masyarakat dan keselamatan negara. Pembentangan ini akan menganalisis berkaitan beberapa cadangan dan syor suruhanjaya berkenaan yang dinilai kurang realistik dan membelakangkan warga PDRM serta kepentingan masyarakat umum yang perlu dibuat penambahbaikan dan perbincangan terperinci. Ini kerana IPCMC bagi warga PDRM merupakan sesuatu yang akan mereka tanggung sama ada baik atau buruk selepas implementasi nanti.

Pelaksanaan tugas, semangat, tradisi dan fungsi PDRM hari ini bermula sebelum merdeka dan terus berkembang mengikut peredaran zaman. Sebelum merdeka, sistem kepolisan negara dipengaruhi oleh pemerintahan British. Selepas mencapai kemerdekaan pada 1957, antara faktor yang mempengaruhi bentuk pengurusan kepolisan adalah ancaman komunis yang berlanjutan sehingga peletakan senjata Parti Komunis Malaya pada 1989 dan Parti Komunis Kalimantan Utara pada 1990.

Selepas tamat konfrontasi, perjawatan PDRM adalah sebanyak 33,785 terdiri daripada 31,199 anggota beruniform dan 2,586 kakitangan awam. Kemudian jumlah ini meningkat setiap tahun berterusan sehingga 1984, apabila jumlah keseluruhan perjawatan mencecah 87,409. Bagi 12 tahun seterusnya sehingga 1996, kekuatan PDRM kekal antara 86,000 dan 88,000. Sejak itu, angka ini bertambah dan mencecah 100,632 (92,927 anggota beruniform, 7,705 kakitangan awam) pada 2004.

Kini PDRM memasuki abad ke-21 dan pasukan ini berkembang dalam konteks komposisi untuk menghadapi cabaran dan persekitaran yang berubah dengan pesat. Perubahan besar demografi besar, proses perbandaran pesat dan mapan, penghijrahan beramai-ramai, pembangunan pesat kawasan perumahan di bandar, kemajuan teknologi berterusan terutama teknologi maklumat dan komunikasi, globalisasi, kecanggihan bentuk jenayah, peningkatan jenayah merentas sempadan, berkembangnya masyarakat sivil termasuk peningkatan jumlah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), peningkatan harapan dan desakan rakyat terhadap ketelusan dan akauntabiliti serta peningkatan tahap kesedaran hak asasi manusia. Kesemua ini semakin menekan dan mendesak PDRM supaya berubah mengikut peredaran zaman, memodenkan dan memantapkan lagi mutu perkhidmatan dan prestasi. PDRM berdepan dengan cabaran untuk meneruskan mutu perkhidmatan cemerlang, ekoran faktor-faktor persekitaran ini serta tekanan oleh pihak-pihak tertentu yang teruja dengan idea-idea baharu bersifat neo-liberalisme.

Penilaian terhadap laporan

Kajian terhadap laporan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan dan Perjalanan PDRM mendapati wujud beberapa perkara terutama daripada 125 syor yang dikemukakan tidak berapa relevan untuk dilaksanakan. Berikut adalah pandangan ringkas berhubung beberapa perkara dalam laporan berkenaan:

Bab 9 Cadangan 1 - Membasmi Gejala Amalan Rasuah Dalam Pasukan

Laporan berhubung salah laku rasuah disebutkan dalam bab 9 yang secara keseluruhannya meletakkan PDRM sebagai agensi yang bergelumang dengan rasuah. Memang diakui wujud amalan rasuah dalam kalangan segelintir warga PDRM tetapi tidak sampai menjejaskan fungsi, peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan. Di samping itu, kita juga tidak harus menolak situasi sama turut terdapat dalam jabatan-jabatan lain yang tidak terkecuali daripada tuduhan ini. PDRM diberi fokus utama kerana lebih banyak berdampingan dengan masyarakat umum berbanding jabatan kerajaan lain.

PDRM sebagai sebuah agensi utama yang memelihara ketenteraman awam menyokong penuh seruan kerajaan menuju zero complain, namun kecewa dengan segala tuduhan rasuah dikemukakan dalam laporan suruhanjaya tersebut yang dilabelkan terhadap keseluruhan pasukan, dibuat dengan niat malaise untuk mencemarkan imej PDRM. Secara keseluruhannya, jika laporan ini dibaca oleh pihak-pihak yang tidak pernah berkunjung ke Malaysia atau tidak mempunyai maklumat cukup berhubung negara ini, ia akan meletakkan PDRM setara dengan pasukan polis di India, Indonesia, Myanmar, Amerika Latin dan negara miskin benua Afrika yang bermaharajarela dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta bersekongkol dengan penjenayah iaitu keadaan yang lazim berlaku di negara-negara kurang maju.

Kajian yang dilaksanakan oleh suruhanjaya ini atas tuduhan atau amalan rasuah oleh PDRM seperti dalam laporan adalah lebih banyak bertumpu kepada andaian. Fakta yang diketengahkan berhubung isu rasuah terhadap PDRM adalah tidak konkrit, lebih banyak bersifat hearsay dan cuba diperkukuh dengan menerima pakai dakwaan daripada responden yang dijadikan sampel kajian.

Tindakan ini adalah tidak pragmatik kerana responden yang tidak menggemari polis sudah pasti akan memberi cerita berat sebelah. Ditaksirkan penggunaan kaedah dan metodologi enquiry ini adalah tidak sesuai untuk memberi gambaran sebenar mengenai kedudukan PDRM secara keseluruhannya. Kenyataan yang dikeluarkan oleh pengerusi suruhanjaya yang menyatakan polis sebagai agensi kerajaan paling korup adalah tidak adil, bersifat prejudis dan berat sebelah. Perbuatan ini adalah tidak rasional dan boleh dipelbagaikan bagi mengukur kemasinan lautan luas, cuma dengan mencedok sebaldi air untuk dijadikan sampel.