Berdasarkan jumlah pengundi setakat suku tahun 2/2016 di negara ini, pengundi muda berusia antara 21-29 tahun mencecah 1.9 juta pengundi. Mereka yang ber­umur 30-39 tahun pula sebanyak 3.2 juta dengan pengundi muda mencapai 5.1 juta orang daripada keseluruhan 13.6 juta pengundi. Angka ini bukan sedikit. Banyak yang perlu dilakukan oleh mana-mana parti politik kerajaan dan pembangkang untuk meraih kepercayaan dan undi orang muda.

Realitinya aspek tingkah laku menjelaskan pertimbangan yang dibuat pengundi dalam membuat keputusan untuk mengundi atau tidak calon yang bertanding dalam pilihan raya. Ball (1988) berpendapat bidang tingkah laku pengundi sangat kompleks de­ngan terdapat tiga pendekatan utama untuk memahami sikap berkenaan. Tiga pendekatan itu ialah model identifikasi parti, pendekatan pilihan yang rasional dan pendekatan sosiologikal.

Model identifikasi parti ialah pendekatan yang menunjukkan kesetiaan pengundi terhadap parti politik dan tempoh pengundi bersama dengan sesebuah parti politik. Model ini turut menjelaskan beberapa aspek yang mempengaruhi tingkah laku pengundi antaranya ideologi parti, ketokohan pemimpin parti, personaliti calon serta manifesto parti semasa proses pilihan raya.

Pendekatan pilihan yang rasional pula menekankan bagaimana pengundi memilih calon secara rasional semasa hari membuang undi. Pendekatan ini akan lebih mudah difahami dengan menganggap pengundi sebagai pengguna dalam pasaran ekonomi. Dalam situasi ini, pasti pengguna akan membuat perbandingan produk dengan membuat pilihan berdasarkan kualiti dan kos produk yang le­bih ekonomik. Begitu juga dalam memahami tingkah laku pe­ng­undi dalam membuat pilihan. Penilaian terhadap parti, kerajaan, kejayaan parti, isu-isu dan sumber maklumat yang boleh didapati antara aspek dalam membuat pilihan.

Begitupun dalam sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia, politik patriotisme tidak boleh diketepikan. Golongan belia muda negara seharusnya diterapkan dengan inti politik begini. Namun tidak ramai yang memiliki kesedaran itu. Jika mereka secara aktif mencari bagaimana untuk menterjemahkan sema­ngat patriotisme dengan cara yang betul, ia dapat dijadikan indikator yang boleh digunapakai oleh penganalisis politik.

Hal ini senada dengan pe­rilaku politik yang diutarakan Ball iaitu seseorang pengundi akan memutuskan memilih calon ter­tentu setelah mempertimbangkan sama ada calon tersebut akan menguntungkan dirinya atau sebaliknya. Dalam konteks teori, pilihan kepada calon ternyata secara rasionalnya akan dinilai me­lalui luahan semangat patrio­tisme mereka ketika berkempen.

Begitupun, generasi muda masa kini dikhuatiri goyah semangat patriotisme mereka. Mereka mungkin cetek pengetahuan tentang latar belakang sejarah negara atau mudah dibuai kemewahan hidup era moden. Dalam keadaan ini jelas sekali generasi muda adalah kumpulan sasar utama bagi kumpulan berkepentingan menyalurkan informasi untuk mempengaruhi minda mereka.

Keadaan ini turut mendedahkan generasi muda kepada pelbagai maklumat yang tidak membantu memupuk kesedaran patriotisme. Ini termasuklah mereka hanya sekadar membaca atau menilai sesuatu isu berdasarkan headline atau tajuk tanpa meneliti inti patinya.

Ketika ini kepercayaan ge­nerasi muda untuk seiring bersama dengan parti politik terlakar oleh permainan politik pecah dan tawan (divide and rule). Pendek kata, permainan ini sangat berbahaya. Ini kerana sudah tentu persiapan dan kesediaan generasi muda menghadapi cabaran ini tidak mencukupi bagi menghadapi permainan retorik orang lama dalam politik. Untuk itu mereka perlu menguasai ilmu serta patriotik bagi memahami sepak-terajang dalam politik terkini.

Justeru pembangunan patrio­tisme dalam kalangan golongan muda memerlukan pendekatan komunikasi yang sistematik agar kepercayaan antara rakyat dan kerajaan dapat membentuk satu karektor politik yang positif lagi teguh. Jangan sabotaj ketamadunan negara. Ya, kita telah dijajah Portugis, Belanda dan Inggeris selama 400 tahun namun sebenarnya tamadun Malaysia baru dibina dalam tempoh 59 tahun ini sahaja. Dahulu apabila bercakap pasal tamadun Melayu, kita akan merujuk era kegemilangan pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka. Tetapi hari ini kita melihat gahnya pentadbiran Persekutuan Putrajaya.

Kamus Dewan dan Oxford English Dictionary mentakrifkan “Patriot” sebagai orang yang memperjuangkan kebebasan atau hak tanah air atau pembela negara. Patriot yang didefinisikan New Webster’s Dictionary merujuk kepada individu yang cintakan tanah airnya dan akan melakukan apa sahaja demi untuknya.

Apa pun, anak muda tidak harus tersilap pengertian patriotisme. Patriotik tidak semata-mata hanya mendaftarkan diri sebagai pengundi. Tetapi lebih tajam dan bernilai lagi dalam meletakkan diri sebagai patriot adalah dengan keluar mengundi seawal pagi lagi dalam menggerakkan demokrasi negara.

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah Penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.