Tahun ini lokasinya berpindah dari Dataran Merdeka ke Putrajaya kerana kedudukannya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Hari Kebangsaan tahun 2018 ini bertemakan Sayangi Malaysiaku dengan lagu temanya Kita Punya Malaysia di bawah tampuk kerajaan Pakatan Harapan. Apakah kemeriahan sambutan kali ini akan lebih hebat berbanding dengan sambutan terdahulu? Kita pernah lihat betapa dinginnya sambutan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Sejak 60 tahun lalu, kita hanya melihat wajah Melayu dan bumiputera di mana-mana acara sambutan. Dalam kalangan undangan khas sahaja ada keha­diran keturunan berbeza.

Di luar daripada acara-acara rasmi, usahkan apa, kadang-kadang bendera kebangsaan tidak dipasang di gedung-gedung perniagaan, pasar raya, kompleks beli-belah dan seumpamanya. Suasananya tidak menjadi suatu kemeriahan tradisi tetap dan lumrah seperti mana di beberapa negara lain misalnya Turki dan negara jiran, Thailand.

Di sana, bendera kebangsaan kelihatan bukan sahaja berkibar pada sambutan hari kebangsaan atau perayaan tertentu, bahkan berkibar sepanjang tahun di seluruh negara. Bendera itu berkibar megah di bangunan, pengangkutan awam, feri, bot nelayan dan sebagainya. Di Malaysia kenapa tidak demikian? Betulkah rakyat Malaysia benar-benar sayangi negara sendiri?

Majlis pelancaran sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang tahun-tahun sebelum ini agak ‘tawar’. Acara-acara khusus sambutan di semua peringkat sangat kurang disertai masyarakat pelbagai kaum. Kenapakah citra perpa­duan tidak menjadi hebat pada 31 Ogos? Apakah sambutan Hari Kebangsaan itu tidak dihayati secara menyeluruh? Dalam konteks yang lebih luas, benarlah harapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V ketika merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14 pada 17 Julai lalu.

Baginda menekankan agar perpaduan dipelihara dan diperkukuh keharmonian kaum dan hentikan isu-isu sensitif antara kaum. Jika demikian, maka barulah semangat patriotisme satu bangsa dan satu negara boleh berada di tahap yang tinggi. Kerajaan baharu mesti berbuat sesuatu yang meyakinkan.

Apakah erti merdeka dan kemerdekaan? Kelemahan sema­ngat patriotisme pastinya tidak akan dapat menjulang tinggi ketahanan dan pertahanan kemerdekaan itu! Bukankah kemerdekaan itu bermakna suatu kebebasan? Negara sudah bebas daripada belenggu penjajahan.

Kita bebas berpemerintahan sendiri. Ertinya Malaysia yang merdeka sudah menjadi sebuah negara berdaulat yang bebas membangunkan negara dan membina bangsa mengikut acuan sendiri. Perlembagaan Persekutuan hendaklah kekal dipertahankan seperti mana ikrar sumpah semua ahli Yang Berhormat (YB), para menteri dan timbalan menteri.

Patriotisme itu juga memaparkan sikap positif memajukan negara yang meliputi bidang politik, ekonomi, sosial, budaya dan seumpamanya didukung penuh oleh kerajaan. Malaysia hendaklah menjadi sebuah negara bangsa yang maju, aman damai, selamat dan makmur.

Patriotisme itu berada dalam jiwa rohani, yakni perasaan sa­yang dan cintakan negara. Seorang patriot adalah orang yang mencintai dan sedia mempertahankan kedaulatan negaranya, tegak sebagai pembela negara

Maknanya, seseorang warga negara kena memahami bahawa Malaysia itu adalah tanah airnya dan di bumi Malaysia ini buminya dipijak dan langitnya dijunjung. Patriotisme itu seharusnya menjadi milik hati rakyat merentasi kaum, etnik dan suku bangsa. Kita mesti bangga melihat apabila Jalur Gemilang dikibarkan di persada antarabangsa sewaktu kemenangan acara-acara sukan atau festival kesenian peringkat antarabangsa. Pada diri kita ada nurani megah, yakni tanda ekspresi patriotisme dan jiwa ke­negaraan yang mendalam, rasa kesepunyaan dan kebersamaan.

Sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun itu hendaklah diha­yati dengan penuh kesyukuran, menjadi program pengisian yang meresapi jiwa bangsa. Patriotisme itu memungkinkan sesuatu bangsa itu menjadi bangsa besar, mencipta kegemilangan tamadun bangsa dalam semua bidang dalam mengembangkan gerakan ilmu dan intelektualisme, daya cipta, sains dan teknologi. Budaya kreativiti dan inovasi perlu menjadi sebahagian daripada ni­lai-nilai pegangan bangsa Malaysia.

Sekiranya penghayatan kemerdekaan itu menipis, makna­nya akal budi bangsanya masih berada di bawah pengaruh cengkaman budaya asing dan penjajahan minda. Tepuk dada tanya selera, kenapakah Malaysia masih belum berjaya membina satu rupa negara bangsa?.

Pancaroba abad ke-21 ini seharusnya diambil iktibar sebagai suatu cabaran bagi kita memurnikan kesatuan fikrah bangsa Malaysia. Permainan politik berlebihan akan hanya membawa kepada perpecahan dan akan meruntuhkan tembok empangan keharmonian yang boleh membawa bahana besar kepada survival bangsa dan kestabilan negara. Tidak juga mustahil algojo politik cauvinistik yang bernafsu besar sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-cita perjuangan yang tidak berkonsepkan kenegaraan dan Perlembagaan.

DATUK A. AZIZ DERAMAN ialah Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban).