Inilah kesempatan untuk rakyat negara ini melihat kelibat pemain-pemain ternama dunia seperti Lionel Messi dari Argentina, Neymar dari Brazil dan Christiano Ronaldo dari Portugal menunjukkan skil bertaraf le­genda seperti Diego Maradona dan Pele.

Tetapi tahun ini pasukan berseni yang digelar skuad Azzuri iaitu Itali tidak layak maka jangan tunggu aksi pasukan yang pernah ‘mencipta’ Roberto Baggio dan Franco Baresi sebagai antara penyeri Piala Dunia di Itali 1990.

Bayangkan di sana-sini orang bercerita pasal bola sepak hinggakan ia umpama oksigen mereka. Jika tidak bercerita tentang bola sepak dari La Liga, English Premier League hinggalah ke Liga Malaysia. Bola sepak seakan-akan sukan nombor ‘wahid’ di negara ini. Jika ada yang tidak pandai bersembang pasal bola sepak, maknanya memang jadi kera sumbanglah jawabnya.

Kadang-kadang ada peminat yang boleh menjadi se­perti Allahyarham Datuk Hasbullah Awang dan Bronte Palare dalam filem Ola Bola mengulas sambil menonton bola sepak di layar raksasa kedai mamak.

Nun jauh dari Moscow di sebuah negeri bernama Selangor, rakyatnya yang meminati bola sepak sedang berduka nestapa kerana pasukan bola sepak negeri terkaya di negara ini terpaksa ‘mengembara’ jauh ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akibat masalah politik yang bercampur aduk dengan sukan.

Kemelut ini amat difahami oleh Pengerusi Rejim Ubah Selangor yang juga Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Kuala Langat, Jefrizal Mohd. Jaafar.

Malahan bahang kemelut ini semakin panas menje­lang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Rakyat Se­langor yang cintakan bola sepak sebenarnya tidak kisah sangat pasal politik kerana mereka ‘makan bola’, ‘tidur bola’ minum teh tarik segala.

Namun apabila isu pasukan Red Giants yang tidak mendapat lampu hijau bermain di Stadium Shah Alam kerap bermain dalam netizen dan media perdana, maka jumlah rakyat yang marah semakin ramai.

Menurut Jefrizal, isu Stadium Shah Alam adalah isu rakyat seperti juga isu rakyat Palestin yang ingin bebas daripada cengkaman rejim Zionis di Genting Gaza.

Di Gaza, rakyatnya hilang hak untuk menikmati kebebasan menggunakan tanah air mereka sendiri hingga ramai yang terbunuh kerana mempertahankan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis.

Isu dunia ini jika dilihat memang ‘berat mata memandang berat lagi bahu memikul’. Untuk mengaitkan isu tersebut dengan situasi yang melanda pasukan Se­langor maka ada persamaan yang terserlah.

Hari ini jika kita perasan, peminat-peminat bola sepak Selangor terpaksa menubuhkan Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS) semata-mata untuk memastikan Stadium Shah Alam yang dikuasai kerajaan negeri Selangor kembali menjadi stadium tuan rumah pasukan Selangor.

Sehingga kini BBPS belum pasti bila Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan kerajaan negeri Selangor boleh menyelesaikan kemelut stadium tersebut.

Bak kata Jefrizal lagi, ‘keruh di hulu takkan jernih di muara’. Lupakah kita isu stadium ini bukan sehari dua berlangsung, malahan episod dramatik semakin menarik apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa pasukan Iraq yang handal itu hanya bermain di padang pasir.

Ulas Jefrizal lagi, beliau turut berasa pelik apabila Mohamed Azmin boleh mengeluarkan kenyataan tentang padang pasir di saat rakyat ingin mendengar beliau membuat keputusan tentang padang bola sepak.

Sewajarnya kata Jefrizal, Mohamed Azmin melayani isu stadium seperti isu rakyat yang inginkan bantuan kad peduli sihat dan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS). Tak kasihankah Mohamed Azmin kepada rakyat Selangor yang perlu bersesak dalam trafik untuk ke Stadium Cheras?

Jefrizal mengimbas kembali rentetan peristiwa dua tahun lalu iaitu semenjak Mohamed Azmin bukan lagi Presiden FAS dan kepemimpinan persatuan bertukar tampuk kepada muka baharu. Isu permintaan dana sebanyak RM15 juta yang dipinta oleh FAS turut melingkari kemelut tersebut. Hari ini isu tersebut bak kata pepatah ‘luka lama berdarah kembali’.

Manifestasi dari episod demi episod yang bermain di depan mata sebenarnya bukan lagi rahsia. Segalanya telah bercampur baur antara kepentingan politik dan kemahuan rakyat.

Hari ini jelas Jefrizal lagi, sebagai rakyat Selangor tidak kira berasal dari Iraq atau Sweden, semua pihak perlulah berlapang dada untuk beralah demi rakyat, diulangi demi rakyat.

Justeru apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan untuk membuka seluas-luasnya pintu Stadium Shah Alam jika BN menang di Selangor sewajarnya disambut baik oleh rakyat Selangor.

Demi rakyat, kendurkan ego untuk membuka ‘kunci’ stadium demi Red Giants. Ayuh! Ayuh! Selangor.