Dalam kejadian itu, seorang pendaki wanita berusia 49 tahun patah kaki kiri akibat tergelincir dan terjatuh ketika mengharung salji tebal di laluan yang licin kira-kira 30 minit sebelum tiba di Machapuchare Base Camp (MBC).

Menurut Dr. Eshamsol, tindakan pertama yang dilakukan adalah memastikan pesakit berada dalam keadaan selesa sebelum memeriksa kecederaan yang dialami.

“Dalam keadaan kecemasan ini, tindakan seterusnya ialah melakukan splint pada kaki yang cedera dengan apa sahaja alat yang sesuai ketika itu. Kami menggunakan tongkat mendaki yang dipatah tiga untuk dilekatkan pada kaki yang cedera.

“Tujuannya untuk menstabilkan kedudukan kaki dan mengurangkan pergerakan serta kesakitan,” katanya.

Dr. Eshamsol yang sebelum ini bertugas di Hoshas pernah menakluk Everest Base Camp (EBC). Selain itu, katanya, tindakan membawa pendaki yang cedera dan terkena Mabuk Gunung (Acute Mountain Sickness, AMS) perlu dilakukan segera dengan menaiki helikopter.

“Itu sahaja cara yang ada kerana jarak perjalanan turun ke kawasan yang boleh kenderaan sampai memakan masa dua hari,”tambahnya.

Dalam pada itu, penolong pegawai perubatan di Hoshas, Batolji Ilias, berkata, selepas tongkat mendaki dilekatkan pada kaki yang patah, barulah kaki pesakit dibalut.

“Memang inilah rawatan kecemasan yang kami berikan kepada pesakit dalam persekitaran yang tiada peralatan perubatan yang lengkap. Selepas itu, barulah kami memberikan ubat penahan sakit sebelum pesakit diterbangkan ke Kathmandu dengan menaiki helikopter,” katanya.

Selain itu, katanya, terdapat dua pendaki lain diserang AMS ketika menuruni ABC dan mereka juga diterbangkan ke ibu negara Nepal menggunakan helikopter.

Program anjuran Kelab Media Pahang dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang ini disertai 62 peserta yang terdiri daripada pengamal media, pegawai dan anggota bomba, wakil Kementerian Kesihatan dan belia. Program berlangsung dari 24 April dan berakhir pada 5 Mei 2017.