Walaupun ada pilihan raya sebelum ini tidak jatuh pada hari cuti, pihak yang mahu menjadikan isu tetap akan menjadikannya isu dan mungkin akan mengheretnya dalam sesi ceramah selepas penamaan calon nanti.

Di sesetengah tempat, bendera parti sudah dipacak, malah sebelum penetapan tarikh PRU lagi sudah ada tempat-tempat yang seakan-akan sudah ada ‘perang’ bendera. Suasananya akan lebih meriah apabila tiba hari penamaan calon membawalah kepada kempen yang akan berjalan selama 11 hari sehingga PRU berlangsung pada 9 Mei nanti.

Biasanya, kehangatan pilihan raya bertolak dari hari kempen bermula sampailah pada tengah malam menje­lang pilihan raya. Pada masa inilah pemantauan mesti dilakukan dengan teliti dan berkesan agar dapat mengelak kejadian-kejadian tidak diingini. Ini termasuklah pada hari pilihan raya yang mana pada masa ini masih ada pihak yang cuba memancing undi termasuklah usaha-usaha untuk mengadakan kekecohan pada hari tersebut.

Dalam pada itu, pelbagai perkara mestilah diberi perhatian oleh parti-parti yang bertanding agar perjalanan PRU kali ini berjalan dengan lancar. Salah satunya ialah parti-parti yang bertanding mestilah mengelak daripada mengadakan ceramah pada masa sama di tempat yang berdekatan dengan parti lawan kerana ini boleh mendatang­kan provokasi dan sebagainya.

Paling penting, ceramah mestilah bersih daripada sebarang caci-maki, hentam-menghentam dan memburukkan peribadi pihak lawan atau pemimpin-pemimpin terdahulu sehingga dapat membangkitkan kemarahan masyarakat.

Penggunaan bahasa yang sopan sangat penting untuk memikat hati orang ramai dalam setiap kempen. Ia boleh ditokok-tambah dengan unsur humor tetapi bukanlah menyindir pihak lawan. Setiap parti juga mestilah ­mengutamakan manifesto parti dan menjelaskan kepada umum tentang kandungan manifesto, kaedah untuk menjayakan manifesto dan kelebihan-kelebihan manifesto demi rakyat dan pihak-pihak lain yang dijanjikan.

Penceramah-penceramah juga mestilah mengelak daripada merendah-rendahkan manifesto pihak lawan kerana rakyat dapat menilai sendiri keupayaan sesebuah parti dalam melaksanakan manifesto berdasarkan pengalaman terdahulu.

Pemimpin-pemimpin dan petugas-petugas parti mestilah mengingatkan penyokong mereka agar berhemah sepanjang perjalanan kempen terutamanya mengelak tindakan-tindakan menurunkan dan merosakkan bendera pihak lawan, mempengaruhi agar memboikot ceramah pihak lawan, penggunaan kanak-kanak memasang ben­dera parti dan lain-lain.

Di kawasan-kawasan bandar dan pekan, pemasangan bendera parti janganlah sampai mengganggu lalu-lintas termasuklah menghalang pandangan pengguna jalan raya. Keadaan ini boleh mengakibatkan kekeliruan dan kemalangan jalan raya.

Kita mengharapkan perjalanan PRU-14 berjalan de­ngan lancar tanpa sebarang insiden yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat. Pihak berkuasa akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik agar tidak berlaku sebarang masalah.

Paling penting kawasan-kawasan ‘panas’ pilihan raya mestilah dipantau termasuklah mengenal pasti individu atau kumpulan-kumpulan yang boleh menggugat perjalanan pilihan raya kali ini. Kita percaya dengan cara ini termasuklah bantuan orang ramai akan dapat melicinkan perjalanan pilihan raya kali ini.