Kata-kata Abdul Rashid ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2018 Itu hari ini, telah disambut dengan tepukan gemuruh.

Kata-kata itu dikeluarkan selepas beberapa minit Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertindak mengecam perwakilan yang membuat desakan agar diberikan kontrak kerajaan.

Kenyataan Syed Saddiq itu juga mendapat sokongan dan tepukan gemuruh daripada perwakilan yang hadir dalam Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kenyataan daripada kedua-dua pemimpin kanan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu bagaimanapun sedikit sebanyak menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan mereka yang hadir.

Pertembungan pendirian itu mencerminkan perbezaan pendapat ketara antara pihak Armada yang mewakili golongan muda dan Abdul Rashid yang dilihat mewakili golongan ketua-ketua bahagian.

Apa yang pasti, perbezaan kedua-dua golongan itu wujud apabila Armada melihat cadangan itu membawa sentimen bahawa platform kerajaan akan digunakan untuk agenda parti sekali gus didakwa mirip amalan parti pemerintah terdahulu, UMNO.

Walau bagaimanapun, Abdul Rashid menegaskan, semua ketua bahagian parti mesti dapat lebih ‘pitis’ dan peluang yang boleh dimanfaatkan demi kemenangan pilihan raya kelak.

Apa-apa pun pendirian kedua-dua pihak, diharapkan kerajaan dapat menjamin agar integriti dan ketelusan pemberian projek pembangunan berada di tahap tertinggi selain memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja yang memperoleh projek.

Bukan sahaja bekas pemimpin UMNO yang berhasrat memasuki Bersatu perlu disaring Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi penerima kontrak ini juga perlu disaring sama.

Jika pihak tidak layak tampil memohon projek kerajaan meskipun mereka dari kalangan ketua-ketua bahagian, jangan berikan kepada mereka.

Rakyat mahukan hasil terbaik daripada projek pembangunan itu, sekali gus dapat memberi manfaat kepada masa depan mereka dan negara tidak kira parti mana yang memerintah.

Dalam era Malaysia baharu, rakyat menilai segala tingkah laku dan tindakan oleh kerajaan yang telah mereka undi.

Pada penulis, jumlah wang atau projek tidak menjamin sesebuah parti untuk memenangi pilihan raya namun keikhlasan mereka berkhidmat serta mendengar denyut nadi rakyat pastinya mendapat merit tertinggi daripada pengundi. - UTUSAN ONLINE