Bagi mengetahui lebih mendalami situasi politik Kedah wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, AINOL AMRIZ ISMAIL dan MOHD. RAFIE AZIMI serta Jurugambar FARIZ RUSADIO menemuramah Menteri Besar Kedah, DATUK SERI AHMAD BASHAH MD. HANIPAH di Alor Setar, baru-baru ini.

 

UTUSAN: Menjelang pilihan raya kali ini, ramai yang bercakap mengenai pengaruh anak beranak atau 2M (Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz). Sejauh mana mereka boleh menggugat BN di Kedah?

AHMAD BASHAH: Kita tidak pandang ringan apabila ada khabar 2M nak bertanding di sini. Sebab itu kita beri tumpuan lebih di kawasan yang dirasakan perlu, contohnya Langkawi, Kubang Pasu dan Pokok Sena. Bagi saya di Kedah, mungkinlah di peringkat awal sebelum ini, ramai masih mengenang jasa Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Dr. Mahathir dulu Perdana Menteri kepada BN. Kalau beliau daripada parti-parti lain, beliau tak boleh buat apa-apa dan jasa­nya pun mungkin tidak ada. Bagi saya 2M ini bukan satu cabaran besar namun tidak bolehlah kita pandang mudah. Kenalah bersedia. Orang Kedah pun boleh gunakan pemikiran mereka, saya yakin. Tetapi kita kena turun dan jelaskan.

Dalam soal calon apa kriteria ditetapkan UMNO Kedah?

Kita ambil kira semua aspek termasuk yang Perdana Menteri kata, winnable dan likeable. Kalau setakat boleh menang saja tak cukup dan sebab itu faktor disukai ramai itu kena ada.

Kalau hendak cari calon yang setara (at par) dengan Dr. Mahathir, macam mana kita nak cari bekas Perdana Menteri selama 22 tahun? Tapi itu rekod dulu. Yang kita letakkan ini adalah calon BN daripada UMNO yang nak bawa perjuangan parti.

Apabila Dr. Mahathir berkawan dengan DAP, orang tahu apa matlamatnya. Ia bukan kerana perjuangan sebaliknya kerana dendam. Kalau tidak macam mana beliau boleh duduk dengan Lim Kit Siang setelah 30 tahun memaki dan ‘hamput’ DAP.

Melihat tindak tanduknya dulu, memang tak masuk dek akal bagaimana kini Dr. Mahathir boleh berpeluk dan berpakat dengan DAP untuk menjatuhkan UMNO. Saya tak tahu apa sebenarnya yang ada dalam pemikiran beliau dan rakyat perlu menilai perkara itu.

Apa usaha dilakukan oleh Datuk Seri untuk memantapkan sokongan orang muda?

Apabila mahu berhubung dengan orang muda, kita kena bawa orang muda jugalah. Kalau saya, mungkin boleh berada di situ sebagai Menteri Besar tetapi kalau nak berhubung secara langsung, ahli politik muda seperti Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin kena mainkan peranan.

Apa keperluan mereka, cuba kita penuhi. Saya lihat apa yang kerajaan bawa menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50) merupakan persiapan besar untuk anak muda pada masa depan.

Inilah pemimpin hari ini. Dia nampak lebih 30 tahun akan datang. Kalau anak-anak muda ini mahu apa yang dirancang itu berjaya, perkara ini harus dimulakan dari bawah. Hasrat anak muda hanya boleh dilaksanakan menerusi kuasa dengan kerajaan perlu kuat dan utuh.

Dalam PRU kali ini, UMNO perlu merebut undi Melayu bukan saja daripada Pas malah daripada PKR, PAN dan PPBM. Apa yang UMNO nak usahakan untuk terus mengukuhkan undi Melayu ini?

Kita kena tunjukkan apa yang telah kita buat. Selama ini berlaku perubahan dalam negara sama ada di dalam atau luar bandar, siapa yang buat? Jawapannya sudah tentu UMNO kerana kita merupakan tunjang kepada kerajaan hari ini. Kalau Pas, PKR, PPBM atau DAP hendak tunjuk kononnya kita ada kelemahan, kita pun boleh tunjuk apa yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang.

Apa yang berlaku di Perak apabila pembangkang memerintah? Walaupun Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar, tapi siapa di belakangnya? Bukankah DAP? Dalam isu tanah sehingga 999 tahun di Perak... itu kerja DAP. Kena ingatkan benda itu dan jangan bagi orang lupa. Jangan cakap fasal 13 Mei saja, benda itu dah lama. Tapi yang baru ini, kita kena cakap benda itu bagi tunjukkan betapa pembangkang ada permainan tertentu di belakangnya.

Macam-macam desas-desus kita dengar tentang politik Kedah. Ada yang kata Datuk Seri hanya akan menjadi Menteri Besar untuk sementara selepas PRU. Adakah perkara ini mengganggu Datuk Seri?

Tak pernah mengganggu, dalam fikiran saya tak ada benda-benda itu. Kalau­lah perkara sebegitu mengganggu saya sebelum ini, Mukhriz mungkin takkan menjadi Menteri Besar. Saya cuma buat kerja saya sebagai Menteri Besar dan pastikan kemenangan BN, selebih­nya, urusan Allah. Kalau PM kata “Bashah, selepas ini orang lain naik,”, maknanya orang itulah jadi Menteri Besar.

Kalau ada orang kata “Datuk Seri kena pilih orang sendiri, kalau tidak susah selepas pilihan raya,”... ‘No way!’... orang saya pun buat apa kalau BN tak menang? Kalau itu terjadi, bukan saja saya malah siapa pun daripada UMNO dan BN tak boleh jadi Menteri Besar.

Yang penting kita kerja nak menang dulu. Selepas itu rezeki siapa, orang itulah... Sebab itu saya tak pernah pertikai orang kata macam-macam siapa nak jadi Menteri Besar dan benda-benda lain.

Awak nak jadi Menteri Besar? Kerja keras supaya diri sendiri menang dan paling penting ne­geri juga menang.Semua orang boleh pasang angan-angan atau cita-cita, itu bukan jadi masalah atau berdosa, tetapi mesti bekerja. Kalau tuhan dah tetapkan hak seseorang itu jadi Menteri Besar, tak boleh buat apa dah, mesti jadi hak dia juga.