Seperti yang saya tegaskan sebelum ini bahawa kerajaan mesti merasakan denyut nadi rakyat, Bajet 2018 juga telah memasukkan cadangan untuk mengurangkan cukai pendapatan sebanyak 2 mata peratusan bagi mereka yang memperoleh RM20,000 hingga RM70,000 setiap tahun.

Pengurangan cukai pendapatan ini pastinya akan membantu golongan menengah (M40) untuk menangani kos sara hidup yang tinggi. Ramai pihak berpendapat segmen ini sering kali terpinggir dalam bajet terdahulu.

Bagaimanapun, bajet tahun depan sepatutnya turut menyediakan pelepasan cukai pendapatan yang lebih tinggi terutamanya bagi yang mempunyai anak.

Saya berharap pelepasan cukai individu perlu ditingkatkan dari jumlah semasa sebanyak RM9,000 manakala pelepasan cu­kai untuk isteri mereka se­ku­rang-kurangnya RM6,000 dan RM4,000 untuk se­tiap anak.

Sejak Bajet 2016, pelepasan cukai bagi suri rumah sepenuh masa adalah RM4,000 manakala RM2,000 diberikan untuk setiap anak di bawah usia 18 tahun.

Saya juga mengalu-alukan peruntukan untuk penambahbaikan pendidikan, terutamanya RM2.5 bilion untuk membantu menaik taraf sekolah yang berada dalam keadaan daif. Ini akan membantu memastikan keselamatan guru dan pelajar kerana sekolah juga dianggap sebagai tempat kerja di bawah Akta Ke­selamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Ia juga selaras dengan inisiatif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk mewujudkan persekitaran selamat dan kondusif di bawah Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di sekolah.

Cadangan untuk me­ningkatkan elaun warga emas daripada RM50 kepada RM350 sangat dialu-alukan dan saya harap lebih banyak lagi akan dilaksanakan untuk warga emas terutama­nya dalam bidang kesihatan.

Selain bantuan tunai, kerajaan juga perlu memberi lebih banyak manfaat kesihatan kepada warga emas kerana semakin ramai dijangka hidup sendiri apabila negara kita bergerak ke arah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

Dalam hal ini, saya juga meng­alu-alukan pemberian kemudahan perubatan kepada ibu bapa pesara kerana ia menunjukkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan penjawat awam.

Peruntukan RM720 juta yang dicadangkan untuk membina 11 Ibu pejabat polis dan enam balai polis baru serta membeli kelengkapan dan kenderaan operasi sudah tentu akan meningkatkan kehadiran polis dan ini amat penting dalam usaha memerangi jenayah dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ke­selamatan mereka.

Bagaimanapun, kerajaan juga perlu memperuntukkan dana untuk membaiki dan menaik taraf kemudahan sedia ada, termasuk balai polis dan kuarters mereka yang berada dalam keadaan daif.

Saya juga mengalu-alukan rancangan mewujudkan semula Institut Penyelidikan Sosio-Eko­nomi (SERI) di bawah Pejabat Per­dana Menteri dan menaiktaraf Institut Pengajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM).

Penubuhan semula SERI dan peningkatan KITA-UKM harus dialu-alukan dan diharapkan mereka akan menyumbang ke arah pengukuhan hubungan etnik di negara kita selain mencari penyelesaian yang baik untuk menangani pelbagai isu sosio ekonomi.

Memandangkan berbilion-bi­lion ringgit akan diperuntukkan untuk pembangunan pelbagai kemudahan dan kerja-kerja menaik taraf kemudahan sedia ada, saya sangat berharap kerajaan dapat meningkatkan budaya penyelenggaraan.

Ini boleh dilakukan melalui peruntukan yang diberikan untuk kerja penyelenggaraan oleh jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan terbabit dengan kakita­ngan berdedikasi untuk menjalankan kerja-kerja berkaitan.

Apa yang tertinggal dalam Belanjawan 2018? Saya percaya antara perkara yang tidak mendapat fokus sewajarnya adalah agenda sosial baharu yang berkaitan sokongan kerajaan untuk menangani isu-isu sosial.

Lebih banyak peruntukan harus disediakan untuk menangani pelbagai masalah sosial di negara seperti jenayah juvana, judi haram, perlakuan ganas dan penyalahgunaan dadah.

Saya juga berharap kerajaan akan menangani isu-isu lain yang memberi kesan kepada rakyat terutama kenaikan harga makanan. Walaupun sesetengah pihak mendakwa rakyat tidak mempunyai masalah untuk berbelanja kerana restoran dan pusat beli-belah sentiasa penuh, hakikatnya ramai yang mengadu tentang kenaikan harga yang tidak munasabah.

Usaha untuk menangani kenaikan harga tidak akan berjaya jika pihak berkuasa hanya memberi tumpuan terhadap peniaga. Masalah ini sebenarnya melibatkan semua pihak dalam rantaian bekalan - dari pengeluar dan pembekal kepada pemborong dan peruncit.

Langkah-langkah yang ingin diambil harus komprehensif supaya kerajaan dapat mengawal kenaikan harga di seluruh rantaian bekalan melalui intervensi dan penguatkuasaan. Apabila membahaskan Bajet 2018, diharapkan wakil rakyat kita akan berkongsi kebimbangan dan nasib rakyat bukannya sibuk bermain politik.

Saya berharap kerajaan akan mengambil kira cabaran yang dihadapi rakyat, terutamanya kos sara hidup yang semakin mening­kat, dan membuat beberapa penyesuaian dalam bajet itu.

Pada masa sama, kerajaan perlu memantau setiap projek yang akan dilaksanakan serta bantuan yang ingin disampaikan agar tercapai objektif yang ditetapkan.

Pemantauan juga harus melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memastikan tidak ada unsur rasuah dalam pelaksanaan inisiatif dan perancangan tersebut.

Secara tidak langsung ia juga dapat mengelakkan ketirisan akibat sikap tidak bertanggungjawab dan tidak berintegriti sesetengah daripada mereka yang telah di­amanahkan untuk memastikan kejayaan setiap perancangan yang dibuat sepanjang tahun hadapan.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis masyarakat.