Dikatakan dua kali, tetapi dua kali itu belum dicampur dengan herdikan yang menggores hati. Dan kadangkala terpaksa melukut di tepi gantang. Namun, Pas menyedarinya dan bangkit dengan bermaruah menidakkan salam persahabatan semula daripada DAP.

Suatu ketika ada pihak menyerang Pas kerana tidak meletakkan negara Islam sebagai keutamaan manifesto dan kempen, sebaliknya menjadikan Negara Berkebajikan sebagai manifesto bersama dengan pakatan pembangkang. Pas juga sedar hal itu.

Apabila akhir-akhir ini Pas mengakui UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu membela Islam, banyak pihak terutama daripada bekas sekutunya terpaku. Terkedu kerana barangkali terkejut dengan pendirian Pas itu.

Namun, hakikatnya, dalam senario politik dan sosial masyarakat hari ini, Pas-UMNO diakui oleh orang Melayu adalah pihak pendesak yang akan menjadi benteng umat Islam, menyelamatkan akidah umat daripada liberalisme, pluralisme dan anasir-anasir yang ingin mero­sakkan Islam.

Dikatakan sehingga hari ini, terdapat lima parti Melayu. Maka, biarpun di antara Pas-UMNO mempunyai kenangan pahit secara peribadi sebelum ini, namun itu tidak boleh menjadi penghalang dalam usaha perpa­duan ini.

Mengapakah perbezaan ideologi politik, pentadbiran dan pelaksanaan bagi mengurus tadbir negara boleh membuatkan ada sebahagian umat Melayu bermusuh dengan yang lainnya? Sehinggakan orang Melayu hari ini mencaci maki dan menghamun sesama sendiri?

Hari ini, masing-masing memberitahu rakyat bahawa merekalah pembela Islam dan bangsa Melayu. Namun apakah orang Melayu mahu membela Islam dengan cara berpecah-belah, taksub, asabiyah, memaki hamun sesama sendiri, khianat, dengki, takbur, riak, sombong dan sikap-sikap yang seangkatan dengannya?

Apakah pendekatan seperti yang disebut di atas itu adalah perintah Tuhan atau pun sunah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam usaha memartabatkan Islam?

Bolehkah Islam diperjuangkan dengan akhlak yang buruk dan memaki hamun sesama sendiri? Apakah sikap bermusuhan, dengki-mendengki, khianat-mengkhianati, taksub dan asabiyah yang ditonjolkan dalam budaya berparti dan berpolitik kalang­an masyarakat Melayu hari ini sesuatu yang baik untuk diwariskan kepada generasi pelapis umat Islam di negara ini?

Perlu disedari bahawa Allah SWT telah menyatukan umat Melayu dengan dua faktor yang paling kuat iaitu bangsa dan agama. Namun mengapakah hari ini masih nampak lagi berpecah-belah?

Bagi menjadikan usaha perpaduan Pas-UMNO ini kenyataan, maka wajib bagi setiap ahli ter­utamanya pemimpin kedua-dua parti itu membuang rasa syak wasangka, khianat, dengki, ujub, riak dan mula bersikap tulus, ikhlas dan bersatu dengan niat hanya kerana Allah.

Apakah umat Islam di negara ini, ahli-ahli parti politik serta pemimpin terlupa pesanan Rasulullah SAW yang dikitabkan di dalam Sahih Muslim yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu saling membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Anas bin Malik RA)

Jelas dalam isu perpaduan ini, tiada alasan daripada Pas atau UMNO untuk mengatakan tidak terhadap usaha ini. Bersatu adalah satu perintah Allah dan Rasul. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan sekiranya wujud golong­an yang menentang perpaduan dua parti terbesar umat Islam yang cuba diusahakan hari ini, tidak syak lagi inilah golongan dajal dan munafik yang wujud berkeliaran untuk menyebar fitnah melaga-lagakan umat Islam di negara ini sesama sendiri.

Dalam demokrasi, apa yang penting ialah kuasa politik. Kuasa politik didapati daripada pengundian.

Orang Cina sesama mereka tidak boleh bersatu dalam ba­nyak hal. Namun demikian, mereka dapat bersatu dalam bidang ekonomi-perniagaan dan pendidikan. Dua bidang utama ini adalah dasar pegangan mereka, malahan membina kekuatan bagi kehidup­an sesebuah masyarakat dan negara. Mereka, sejak berzaman, menumpukan kerja dan usaha pada dua bidang ini. Sebab orang Cina tahu di negara ini, orang Melayu sukar hendak melepaskan aspek kepimpinan dan ketua.

Orang Melayu pula mempu­nyai bilangan undi yang lebih dan adalah penentu dalam banyak hal. Walaupun hakikat sebenar­nya kuasa politik terletak dalam buku daftar undi. Bagaimana didaftar, siapa yang mendaftar, bagaimana dan di mana didaftar. Juga, siapa Melayu yang tidak berdaftar.

Pas mempunyai pengalaman dalam politik sejak ditubuhkan. Meskipun ramai menyatakan Pas lahir daripada UMNO - apabila dihubungkan dengan kegiatan Ahmad Fuad dan pimpinannya atau ulama seangkatan dengannya - parti itu berjaya membuktikan kekuatan sendiri.

Sejarah memperlihatkan beberapa pemimpin tinggi dan pertengahan Pas meninggalkan parti itu. Antaranya, Datuk Othman Abdullah dan isteri serta pengikutnya, Datuk Asri Muda, Hasan Adli, Wan Mustafa, Abu Bakar Hamzah dan Nakhaie Ahmad.

UMNO juga berdepan situasi sama.

Benar kata Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin: “Kita harus meng­akui UMNO, BN adalah kelompok yang masih boleh dimanfaatkan untuk mem­bela Islam seperti isu Rohingya, Palestin dan pindaan Akta 355, berbanding DAP yang bersikap keras terhadap Islam.”