Tanpa pemilihan pucuk pimpinan namun ada yang menjangkakan mungkin turut hangat apabila seluruh ahli dan penyokong perlu membuat pemilihan dan ketentuan terhadap terhadap bentuk kerjasama baharu blok pembangkang dalam mengatur hala tuju lebih kukuh dalam perubahan landskap politik yang luar biasa.
Wartawan Utusan Malaysia, WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan ROSALINDA MD. SAID mengambil peluang menemubual Menteri Besar, DR. AHMAD SAMSURI MOKHTAR yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas semalam, tentang pentadbirannya selepas 100 hari, isu royalti , sebatan syariah, kerjasama UMNOPas dan hala tuju parti serta meninjau pandangannya berhubung kemelut kepemimpinan kerajaan Pusat yang kelihatan membimbangkan.

 

PELAKSANAAN MANIFESTO PAS TERENGGANU

UTUSAN: Sudah lebih 100 hari pemerintahan Pas dan beberapa manifesto yang dilaksanakan adalah ke­sinambungan usaha kerajaan terdahulu. Ada yang berpendapat kerajaan negeri belum lagi teruji dan tiada apa yang boleh dibanggakan setakat ini?

AHMAD SAMSURI: Saya ucapkan terima kasih di atas panda­ngan dan kritikan yang saya rasa perlukan untuk melihat kedudukan semasa kita. Manifesto 20 perkara yang dijanjikan itu akan dilaksanakan secara sepanjang penggal pemerintahan, bukannya dalam tempoh 100 hari atau tiga bulan atau empat bulan.

Kebanyakan daripada pelaksanaan manifesto itu berkait dengan kedudukan kewangan yang bergantung kepada perolehan yang dijanjikan iaitu royalti. Jadi apabila kami mengambil alih pemerintahan pada 9 Mei lalu, kita dapati bayaran agihan royalti pertama pada April untuk tempoh setahun itu pada Mei dan Jun hampir habis dibelanjakan oleh kerajaan yang lepas.

Dan kita terpaksa membuat pelan baharu bagaimana untuk mengatasi kekurangan kewangan dan kita jangkakan pada bulan ini, kalau mengikut keadaan biasa akan ada penerimaan bayaran baharu.

Jadi dengan bayaran ini barulah kita boleh laksanakan perkara tertentu yang tertera dalam janji manifesto kita. Perkara yang tidak berkait dengan peruntukan kewangan besar, sebagai contoh memberi lot tanah kepada mereka rakyat sudah digerakkan.

Jadi, secara umumnya pelaksanaan apa yang kita janjikan itu hanya boleh dilakukan dengan begitu baik apabila kita pasti dengan kedudukan kewangan. Selagi duit tidak masuk dalam akaun, selagi itulah kita terpaksa membuat pertimbangan mana yang perlu didahulukan dan mana yang dikemudiankan.

ROYALTI

Ada pihak yang menjangkakan kerajaan negeri akan berdepan dengan masalah untuk mendapatkan tuntutan royalti yang sepatutnya boleh diterima mulai bulan ini. Ada yang lebih skeptikal bahawa kerajaan negeri akan terjerumus dengan masalah yang dihadapi pada 1999. Adakah kerajaan negeri bersedia mencari jalan keluar jika ini berlaku?

Saya optimis bahawa kita akan memperoleh royalti dijanjikan sebagaimana dalam perjanjian. Minggu lepas saya sudah me­nerima minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang menyebut secara jelas bahawa Terengganu akan menerima, tidak akan dianaktirikan dari segi pemberian wang royalti.

Terma wang ihsan sudah ditiadakan dan digantikan dengan terma wang royalti yang akan diberi terus dalam akaun kerajaan negeri. Itu sudah ada dalam minit mesyuarat dengan catatan bahawa semua negeri tidak akan dianaktirikan walaupun berbeza politik.

Disebut dalam itu juga di seksyen lain bahawa pemberian lima peratus itu adalah yang akan berlaku. Agak melegakan.

 

SEBATAN

Sepanjang tempoh lima bulan ini, antara kemuncak yang mengingatkan orang kepada Terengganu selain Barisan Nasional (BN) tumbang adalah isu sebatan. Ada yang membidas langkah negeri, pendirian pemimpin dan perundangan syariah. Tidakkah ini memberi persepsi yang sangat negatif termasuk dalam aspek pelancongan dan pelaburan?

Sekali kita pandang dari luar, kita akan merasakan begitu dalam tempoh yang singkat. Namun bakal-bakal pelabur ini tetap bertemu dengan kita dan berta­nya hal sebatan secara terus. Dan kita beri penjelasan. Pada saya itu adalah respons biasa. Saya tidak menjangkakan memberi kesan kepada pelaburan dan kedata­ngan pelancong.

Sampai ke tahap terbaharu ini ada yang mencadangkan dalam kalangan bukan Islam supaya perundangan syariah ini dikaji semula oleh Pusat. Apa pandangan Dr.?

Itu pandangan mereka dalam sebuah negara merdeka dan saya tidak dapat menghalang. Kita juga mesti melihat realiti bahawa pelaksanaan syariah di negeri ini sudah berlaku sebelum kedatangan British. Malah pada zaman kesultanan Melaka sudah ada enakmen-enakmen dalam bentuk yang sesuai pada waktu itu yang berkait dengan pelaksanaan undang-undang syariah dan sebagainya.

Jadi, saya rasa itu hanya suara-suara yang tidak memahami susur-galur sejarah dan tidak memahami keperluan bagi umat Islam untuk mengamalkan agama mereka. Dalam Perlembagaan disebut bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan agama lain bebas untuk diamalkan. Kalau begitu yang termaktub, maka apakah agama Islam itu tidak bebas untuk dilaksanakan mengikut kehendak umat Islam itu sendiri?

Sultan Terengganu sendiri melahirkan rasa bimbang semasa sambutan Maal Hijrah bahawa umat Islam sedang diuji dengan cubaan menafikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan?

Ya, memang kalau kita lihat berlakunya perkara-perkara sebegini adalah satu kitaran, sampai satu masa pada zaman pe­nerapan nilai Islam suara-suara ini menurun dan timbul balik. Ini adalah fitrah dalam dunia ini. Sebab itu kita lihat dalam al-Quran kisah-kisah yang ada di dalamnya walaupun dalam konteks berlaku ribuan tahun dan diceritakan kisah pada zaman Bani Israel yang bukan dalam zaman Nabi Muhammad. Kenapa? Kerana cerita-cerita itu akan berulang.

Sama juga dengan penentangan yang berlaku ini adalah kisah yang berulang-ulang. Dulu masa kita perkenalkan pada 1999-2004 sudah ada dan down sekejap, selepas itu timbul balik. Itu adalah keadaan biasa dan kami rasa kami boleh serap perkara itu.

 

HUBUNGAN PAS-UMNO

Dalam situasi kini, kalangan rakyat masih mengharapkan Pas sebagai salah satu sandaran untuk bersama mempertahankan kedudukan agama tetapi landskap politik berubah. Mampukah Pas bersendirian dan jika tidak, apa kesan yang diharapkan hasil kerjasama dengan UMNO?

Dalam hal ini Pas tetap konsisten dari dulu sampai sekarang bahawa kami berperanan untuk membawa rakyat khususnya umat Islam untuk memahami Islam dalam konteks yang sebenar dan akan terus-menerus membawa mesej sama, dengan me­ngajak pihak lain termasuk UMNO memahami mesej ini supaya kita dapat bekerjasama ke arah mengukuh dan menyebarluaskan kebaikan.

 

Kerjasama ini diulas oleh kalangan pemimpin kerajaan dan penganalisis di luar dengan kecaman keras dan penghinaan jelas. Adakah ini menggambarkan mereka gerun menghadapi kemungkinan kesepakatan dua parti politik Melayu Islam?

Sudah tentu...itu lambang ke­gerunan dan kacau-bilau dalam kepala mereka. Mereka tidak melihat perkara ini dalam konteks yang positif. Mereka melihat perkara ini suatu ancaman dalam kesepakatan mereka itu yang suasananya semua kita maklum tak menentu, sama seperti pasaran saham.

Ada yang melihat bahawa Pas-UMNO sudah menemui titik temu dan ini boleh digambarkan seperti satu kebangkitan semula bagi kekuatan Melayu dan agama. Adakah Dr. setuju?

Itu adalah satu langkah yang sangat positif. Tinggal lagi bagaimana kita ingin memberi kefahaman kepada masyarakat bahawa ia bukan gabungan antara Pas-UMNO tetapi satu kerjasama politik, kerjasama sebagaimana berlaku dalam parti pembangkang lain sebelum ini sejak negara mencapai kemerdekaan, sejak pilihan raya pertama pada 1955 dan pilihan raya berikutnya pada 1959.

Kerjasama politik dalam kalangan parti pembangkang ini sentiasa berlaku. Dan dalam konteks hari ini ia lebih menarik apabila melihat kerjasama itu berlaku dalam kalangan dua parti umat Islam terbesar di negara ini.

 

MUKTAMAR

Soal kerjasama dua parti Melayu Islam terbesar ini mungkin paling banyak mencuri perhatian dalam Muktamar Pas kali ini. Tentunya ada kalangan ahli yang mungkin menentang, tidak bersetuju dengan merujuk sejarah hubungan kerjasama dua parti itu sebelum ini apabila Pas disingkirkan. Dan mereka bimbang akan berulang?

Dalam apa jua tindakan yang hendak dibuat oleh Pas sebagai sebuah parti politik dengan jalur politik dakwah dan tarbiah ini, kita ingin mencapai satu objektif. Cara bagaimana mencapai objektif itu. Kalau kita menggunakan cara sama tentulah objektifnya kita tidak akan capai objektif yang sama.

Dahulu kerjasama pernah berlaku. Apabila kita ingin mengulangi kerjasama itu, maka cara, kaedah dan strategi perlu kita nilai dan timbang balik agar sesuai dengan keperluan dan tuntutan keadaan. Kita sudah melihat dan mempelajari kelemahan lalu dan kini, kalangan pemimpin, suasana serta cabaran yang berada di depan sudah jauh berbeza.

Ke mana hala tuju Muktamar Pas kali ini?

Pada saya muktamar kali ini akan menyediakan satu asas untuk memberi kefahaman kepada pemimpin dan pendukung-pendukung parti di pelbagai peringkat untuk melihat secara berstruktur hala tuju politik Pas. Dan pada muktamar kali ini akan dilihat dalam konteks itu bagaimana kita ingin memaparkan Pas dalam tempoh beberapa tahun akan datang sehingga berdepan dalam PRU satu lagi. Insya-Allah, di sini kita optimis akan ada kebangkitan baharu.

 

GHAIRAH JADI PEMIMPIN

Apa pandangan Dr. tentang keghairahan untuk menjadi pemimpin di peringkat Pusat sekarang yang wujud keresahan dalam kalangan rakyat kerana dibimbangi wujud suasana politik ketidaktentuan yang berlarutan dan boleh turut memberi impak kepada negeri?

Itu yang turut menjadi persoalan saya. Adakah kita ingin melaksanakan cita-cita kalangan orang tertentu sehingga mengorbankan wang rakyat untuk mengadakan pilihan raya atau sehingga perlu rakyat dibebani dengan perkara sedemikian.

Sedangkan masalah rakyat tidak selesai terutama memfokus kepada langkah ke hadapan dalam usaha membangunkan negara ini. Dan sesiapa yang ingin menjadi pemimpin dalam sesebuah kerajaan seharusnyalah dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya yang biasa, PRU-15. Kenapa tidak boleh ditunggu?