Walaupun Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mempertahankan jawatan itu tanpa bertanding manakala Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memenangi kerusi Timbalan Presiden selepas menumbangkan penyandangnya, Mohamad Sabu, tetapi akhirnya Pas terpecah dua.

Pemimpin-pemimpin Pas yang kecewa kerana gagal mempertahankan jawatan penting di peringkat pusat meninggalkan parti itu dan menubuhkan PAN.

Tindakan mereka melegakan ahli-ahli parti tersebut kerana sebelum ini mereka dilihat bagaikan 'musuh dalam selimut' dan 'gunting dalam lipatan' kepada Pas.

Bagaimanapun pemilihan kali ini jauh lebih tenang. Ahli-ahli di peringkat akar umbi awal-awal lagi sudah memberi mesej siapa mereka sokong dan siapa pula yang tidak harus berada dalam kepemimpinan Pas.

"Depa (mereka) mau (mahu) pemimpin yang sokong Presiden dan Timbalan Presiden, bukan pemimpin 'talam dua muka','' kata seorang pemimpin muda Pas kepada penulis ketika kami berbual-bual di Sungai Petani, kelmarin.

Kata pemimpin tersebut, pemilihan yang akan diadakan bersempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-63 di Alor Setar hujung bulan ini penting kerana ia adalah 'barisan pilihan raya'.

"Depa ni la yang akan tentukan untung nasib Pas. Kalau depa tak sepakat, dok buat statement ikut sedap mulut, Pas boleh kalah,'' katanya sambil menunjukkan senarai nama pemimpin yang menjadi pilihan Pas kawasannya (bahagian).

Setakat ini ahli-ahli Pas sudah menunjukkan siapa yang mereka mahu dengan mengekalkan Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.

Keputusan itu sedikit mengejutkan musuh-musuh politik Pas kerana selama ini mereka cuba memainkan sentimen untuk memburuk-burukkan Abdul Hadi.

Pelbagai serangan politik mereka lakukan bagi menggugat kesetiaan ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi.

Antara usaha itu termasuklah memberi gambaran bahawa Pas akan terus berada dalam Pakatan Harapan jika Tuan Ibrahim menjadi Presiden menggantikan Abdul Hadi, oleh itu 'racun-racun politik' pun ditaburkan dengan tujuan memecah belahkan Pas.

Beberapa kenyataan Tuan Ibrahim mengenai kerjasama dengan parti-parti pembangkang telah disebarkan dan diberikan penjelasan di luar konteks. Tujuan mereka ialah ahli-ahli Pas menolak kepemimpinan Abdul Hadi yang dituduh mahu menjalin kerjasama politik dengan UMNO.

Tetapi malangnya mereka terlupa, ahli-ahli Pas bukanlah 'jahil' dalam berpolitik manakala Tuan Ibrahim bukanlah pemimpin yang 'gila kuasa'. Sebaliknya kedua-dua pihak ini sentiasa setia dan patuh kepada kepemimpinan dan perjuangan parti.

Penulis masih ingat bagaimana pada tahun 2015, ketika menyampaikan ucapan penggulungan sebaik-baik sahaja dipilih sebagai Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim menitiskan air mata ketika berucap.

Ia bukanlah kerana gembira terpilih tetapi sedih memikirkan tanggungjawab berat yang harus dipikulnya.

Sebagai seorang ulama, Tuan Ibrahim amat memahami amanah yang diserahkan kepadanya, apatah lagi beliau dilantik ketika bahtera Pas berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Kini Pas sudah stabil. Pemimpin-pemimpin yang cuba menjadi 'parasit' dalam parti itu sudah mengundurkan diri secara sukarela demi memenuhi impian mereka untuk terus menjadi 'pak turut' kepada DAP.

Oleh itu ahli-ahli Pas menjadikan pemilihan tahun ini sebagai medan memperkukuhkan parti selepas 'operasi pembersihan' dilancarkan dalam pemilihan lalu.

Dengan mengekalkan Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim ia memberi isyarat kepada 'musuh-musuh' politik Pas bahawa usaha mereka memecah belahkan parti itu sekali lagi gagal.

Ahli-ahli akan membuat perhitungan, selain kedua-dua pemimpin itu, mereka juga bakal memilih 'panglima-panglima perang' yang akan menganggotai 'barisan pilihan raya' Pas.

Bagi jawatan Naib Presiden, tiga penyandang itu dicalonkan semula iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Apa yang menarik bagi jawatan ini, dua muka baru turut dicalonkan iaitu Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan.

Pencalonan 'dua anak Hassan' itu dikaitkan dengan kelantangan mereka mempertahankan kepemimpinan dan dasar Pas serta kejayaan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang membentangkan Rang Undang-undang 355 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Khabarnya ada isyarat di peringkat akar umbi yang mahukan salah seorang daripada mereka menggantikan kedudukan Iskandar.

Bagi jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas pula, Muhammad Khalil Abdul Hadi dilihat calon paling popular bagi menduduki jawatan itu yang kini disandang oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Muhammad Khalil yang merupakan anak Presiden Pas dikatakan mendapat sokongan padu seluruh Dewan Pemuda bagi menggantikan Nik Abduh yang akan bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Beliau akan digandingkan dengan dua lagi calon popular untuk jawatan Timbalan Ketua dan Naib Ketua iaitu Khairil Nizam Khiruddin dan Ahmad Fadhli Shaari.

Kesimpulannya pemilihan Pas kali ini jauh lebih tenang dan damai. Kalaupun berlaku pertandingan ia sekadar 'mencari yang terbaik, dalam kalangan yang baik-baik' kerana kata seorang pemimpin parti itu kepada penulis, "Apa yang penting Pas kembali kuat''.