Ada juga organisasi dakwah yang mengambil sikap non-partisan terhadap sesuatu fahaman atau ideologi perjuangan. Ia diambil untuk menjaga maslahah dakwah. Maslahah dakwah bermaksud supaya ajakan dan seruan itu berkembang tanpa batas parti politik dan fahaman diperjuangkan. Yang penting dakwah itu terus berjalan mengajak manusia supaya kembali ke jalan diredai Allah.

Islam menganjurkan umatnya partisan kepada kebenaran. Kalau sesuatu fahaman itu mendukung makna kebenaran yang amat dituntut, kita wajib patuh kepadanya. Kebenaran adalah milik Allah. Ia disampaikan kepada manusia supaya manusia dapat menyampaikannya kepada orang lain. Dari kebenaran yang disampaikan manusia akan melakukan kebaikan dan mengelakkan kemungkaran. Hal sama juga kebenaran dimiliki tokoh. Selagi kebenaran itu diambil dari sumber al-Quran dan sunnah dan ditafsirkan oleh ulama muktabar maka menjadi keharusan untuk kita mentaatinya. Dan kalau tokoh berkenaan menghayati apa yang ditafsirkan menjadi kewajipan pula untuk meletakkan ketaatan kepada tokoh itu.

Tetapi sekiranya tokoh itu menganjurkan pendekatan pecah-belah, sengketa sesama umat, kepentingan politik mengatasi kepentingan agama, tokoh itu tidak patut ditaati. Pertimbangan agama harus diletakkan mengatasi kepentingan politik. Maka baharulah agama menjadi faktor penyatuan untuk semua.

Mengambil sikap partisan pun memerlukan pedoman syarie yang tinggi. Pedoman syarie tidak saja menuntut tunjangan ilmu sebagai landasan tetapi hendaklah diikuti dengan kajian dan penelitian supaya maklumat didapati adalah kemas dan meyakinkan. Kita tidak boleh mengambil sikap partisan hanya berasaskan persepsi.

Partisan terhadap kebenaran menjadi kewajipan setiap umat Islam. Melakukan kerja dakwah dan tarbiah um­pamanya menjadi salah satu cara mendekati madu atau sasaran. Sasaran biasanya tidak semua tahu akan maksud kebenaran. Ia perlu disampaikan dengan bijaksana dan kasih sayang.

Pendakwah dan pendidik tidak dibatasi dengan ikatan kelompok atau kepartian yang merasakan mereka saja benar dan orang lain semuanya salah. Pendakwah dan pendidik tidak boleh membina sikap prasangka buruk terhadap seseorang tetapi ruang lingkup dakwahnya adalah merentasi. Para pendakwah dan pendidik dengan sifat kasih sayang dan belas kasihannya sentiasa bersikap terbuka untuk mendekati seseorang. Jika seseorang itu melakukan kemungkaran, kemungkaran itu tidak bersamanya, tetapi orang melakukan kemungkaran itu harus didekati dengan belas kasihan dan bijaksana.

Allah tidak mengurniakan kepada sesuatu jemaah baik dakwah atau siasah dengan seluruh kekuatan dalam menyampaikan kebenaran. Allah juga tidak mengurniakan kepada seseorang tokoh dengan segala ilmu dan kebijaksanaan. Sesuatu jemaah itu berperanan sebagai salah satu jemaah di samping jemaah-jemaah lain juga. Selagi jemaah-jemaah yang ada melakukan sumbangan berasaskan sumber al-Quran dan sunnah, ia adalah pelengkap kepada jamaah lain. Hal sama juga berlaku terhadap tokoh-tokoh tertentu yang memiliki kepakaran tertentu dalam bidang agama. Allah tidak mengurniakan kepadanya segala-galanya. Tokoh itu adalah sebahagian dari mata rantai ilmu yang sifatnya juga melengkapi.

Tetapi apabila sesebuah jamaah merasakan ia adalah satu-satunya, ini bakal membawa kepada perpecahan dan konflik. Keadaan begini akan digunakan oleh musuh-musuh Islam yang strateginya tersusun rapi untuk melagakan sesama Islam dan akhirnya bakal melakukan dominasi dan menyebabkan umat Islam terpinggir.

PROFESOR DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).