Buku Embargo

Difahamkan ia adalah parti pelbagai kaum. Mengambil cadangan yang dibuat oleh Allahyarham Datuk Onn Jaafar lebih 69 tahun lalu, yang mengesyorkan UMNO ditukar namanya kepada United Malayan (bukan Malay) National Organisation, untuk membuka pintu kepada semua kaum. Itulah kononnya asas kepada parti baharu itu.

Jika benarlah kemunculan parti itu maka negara kita akan terus meriah dengan pesta politik. Orang kita berpolitik hari-hari.

Sehinggakan sebahagian tugas kerajaan sekarang ini ialah menepis dan menangkis sepak terajang politik.

Pembangkang sekarang bertepuk tangan sakan melihat fenomena yang berlaku.

Jika benarlah apa yang berlaku sekarang sebahagian daripada adalah usaha pembangkang, ternyata mereka berjaya. Sungguh halus permainan mereka.

Sehinggakan orang Melayu begitu marah sekali dengan kerajaan Melayu yang ada ini. Kalau boleh hari ini juga mereka mahu kuburkan kerajaan yang ada ini.

Alah sesiapa pun yang memerintah sama sahaja, kata mereka yang begitu amarah itu.

Pihak yang menjadi nasi tambah pun banyak. Berlambak-lambak dalam media sosial. Tugas mereka menuang petrol dan menabur cabai Melaka.

Orang yang membacanya panas meluap-luap. Seolah-olah mereka begitu mahir mengenai transaksi itu dan ini. Isu Tabung Haji juga menyebabkan mereka naik panas. Seolah-olah kerajaan ada muslihat mahu menipu rakyat. Hairannya, ramai yang percaya, termasuk cerdik-pandai.

Maka itulah banyak sekali pepatah Melayu yang menyebut mengenai tabiat amarah orang Melayu ini.

Kerana nyamuk seekor, satu kelambu dibakar. Akhirnya menang sorak, satu negara tergadai.

Pencacai politik kepada pemikiran orang Melayu ini semakin bercambah sekarang ini. Ada yang menjadikannya sebagai mata pencarian.

Yang menjadi mangsa ialah orang kita sendiri.

Berbalik kepada parti baharu itu, pengasasnya pula ialah bekas pemimpin tertinggi UMNO yang sekejap sebelah sana dan sini. Khabarnya lagi dia pun ada banyak masalah. Macam-macam masalah.

Kita tunggulah siapa dia...

 

GST Indonesia 
dan GST Malaysia

BARU-BARU ini seorang sahabat baru pulang dari membeli-belah di Jakarta.

Bersungguh-sungguh dia berkata, Indonesia ialah destinasi shopping yang murah - walaupun GST di negara itu ialah 10 peratus.

Peniaga-peniaga di sana, bukan macam di negara ini. Mereka tidak mencatut dan membuat untung keterlaluan.

Mereka tidak tamak. Jika harga di peringkat pembeli boleh dijual murah, maka rangkaian pengeluarannya sudah tentu juga murah.

Dengan jumlah kepelbagaian penduduk seramai suku bilion orang, negara itu ternyata hebat. Jangan kiralah kos buruh negara itu rendah menyebabkan barangannya murah. Orang hanya mahu tahu harganya murah.

Pelik di Indonesia barangan import juga murah berganda berban­ding negara ini.

Mengikut sahabat itu kain baju import yang berkualiti, harganya berganda-ganda lebih murah daripada yang dijual di gedung di negara ini.

Tidak hairan para peniaga di sini untung kerana harga di sini berlipat kali ganda mahalnya.

Berbalik kepada soal GST, di Indonesia hal cukai itu yang sudah dilaksanakan sejak lebih sedekad lalu tidak pernah menjadi satu kekecohan.

Malah saya mahu memetik apa yang dikatakan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno kepada sebuah akhbar tempatan.

“Malaysia tidak perlu takut kepada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana ia banyak membawa faedah. Sebagai contoh Indonesia telah berjaya melaksanakan GST untuk kebaikan negaranya.

“Kenapa perlu takut? Pada saya pelaksanaan GST akan menguntungkan rakyat, menambah pendapatan negara kerana GST akan mengurangkan cukai yang sedia ada,” katanya.

Di Indonesia GST dipanggil Pertambahan Pajak Nilai (PPN) diper­kenalkan sejak 12 tahun lalu.

Pelaksanaan PPN atau VAT me­nyumbang 40 peratus kepada pertumbuhan ekonomi Indonesia dengan kadar terkini sebanyak 10 peratus.

GST di Malaysia dilaksanakan pada 1 April lalu dengan kadar 6 peratus.

Malah Presiden Indonesia Joko Widodo turut mempersenda kita.

“Pak Najib (Razak) di Malaysia sudah berkali-kali bilang GST itu bagus. Kalau bagus, waduh, kenapa harus 6 peratus saja? Jadi saya naik­kan GST di Indonesia sebagai 16 peratus.

“Moga-moga negara kita 10 peratus lebih makmur berbanding Malaysia dan tenaga kerja kita tidak lagi perlu mencari rezeki di sana,” kata Joko yang lebih dikenali sebagai Jokowi.

Saya kadang-kala mahu juga percaya bahawa konflik GST di negara ini sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu dengan niat-niat tertentu.

Namun saya tidak akan boleh maafkan pihak berkuasa, sekiranya mereka gagal mengajar para peniaga supaya berniaga dengan berhemah dan bertanggungjawab. Perlu disebut di sini, peniaga Malaysia adalah antara yang paling tamak di dunia.

Jika itu pun gagal dilakukan oleh pihak berkuasa, maka gagallah GST di Malaysia.

Dan sekali lagi merekalah yang akan menang!

EMBARGO oleh 
Zahari Affandi

BEBERAPA hari lalu saya mene­rima sebuah novel yang baharu dilancarkan bertajuk Embargo tulisan bekas wartawan Utusan Melayu, Zahari Affandi.

Bersama-sama buku itu diselit sepucuk surat bertulis: “Bukannya seperti kebanyakan penulis “Hantu Raya” yang makan upah, dapat makan telur, semuanya bagus, tetapi kalau tak ada telur, tuan sendiri pun dia makan.”

“Kerana saya cukup berminat dengan Cuit setiap Rabu, tolonglah luangkan masa untuk membaca Embargo... kerana banyak menyentuh tentang ke­renah dan perangai orang UMNO.”

Novel terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu mengisahkan:

YB Datuk Alang Bahadur dalam perancangan untuk mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi sebuah parti politik. Ketika berusaha untuk mempertahankan kedudukannya itu, beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam parti dan keluarganya.

Salah satu petikan menarik dalam buku itu: “Bagi aku Piah, kehidupan masyarakat majmuk di negara ini umpama tiga buah kapal di tengah samudera. Jika taufan melanda, ombak setinggi langit datang membadai, bukan sahaja kapal Cina atau India yang musnah, ke­semuanya hancur lebur. Sebab itu apabila Melayu bercakap mengenai orang Cina atau India kena berhati-hati jangan terlalu emosi...”

Zahari yang kini menerajui syarikat penerbitannya sendiri, pernah menjadi pengelola ruangan Sastera Mingguan Malaysia, penyunting Utusan Zaman dan majalah URTV sebelum meninggalkan Utusan Melayu pada 1982.