Memang tidak dapat dinafikan berlaku pergaduhan di Parlimen dunia, yang paling kerap di Taiwan, Mexico, Rusia, Mesir dan Itali, namun persoalannya perlukan tingkah laku sebegitu ‘diimport’ oleh ahli Parlimen kita?

Hingga saat artikel ini ditulis, video yang menayangkan aksi kasar oleh beberapa orang ahli Parlimen Malaysia, sama ada di pihak pembangkang mahupun kerajaan ketika sidang yang baru lepas sudah mencecah jutaan penonton. Mungkin selepas ini frasa, “penakut, penakut, penakut” atau “haram, haram, haram” bakal menjadi trend dalam media sosial menggantikan “listen, listen, listen” yang pernah menjadi tular suatu ketika dahulu.

Sepatutnya semua ini tidak berlaku apatah lagi sidang Parlimen sepatutnya menjadi tempat membahaskan isu utama berkaitan kepentingan rakyat, bukannya untuk merapu atau merepek semata-mata untuk meraih populariti murahan. Jika beginilah sikap para pemimpin kita, maka janganlah mengharapkan rakyat yang dipimpin menjadi elok kerana kita menyokong kepimpinan menerusi teladan. Aksi mengoyakkan kertas, membaling kertas membuat sampah, melontar kapal terbang kertas, serta terpekik terlolong bukannya budaya kita.

Sebenarnya ahli-ahli Parlimen ini tahu dan sedar bahawa aksi mereka dirakam. Namun begitu mereka masih mahu melakukan aksi terlampau dan tidak masuk akal. Seperti tersengguk-sengguk ketiduran, bermain dengan telefon dan bergebang dengan suara kuat - mungkin mereka sekadar mahukan perhatian.

Bagi penulis, sekiranya kepentingan rakyat didahulukan serta menjadi agenda utama dalam berpolitik dan bukannya agenda peribadi, tidak akan ada sesiapa yang mahu menyamakan ahli politik itu sebagai badut.

Sebilangan pihak mengatakan bahawa politik itu kotor. Sebenarnya politik itu tidak kotor namun ‘pemain’ dalam politik itu sendiri yang mengotorinya. Lihat sahaja etika perlakuan ketika berdebat yang tidak menunjukkan akhlak sebagai seorang pemimpin, jauh sekali sebagai pengikut ajaran suci Islam. Menyerang seseorang secara peribadi tidak mencerminkan akhlak yang baik dalam politik yang sepatutnya menjurus ke arah mencari dan memperjuangkan kebenaran.

Setiap kawasan atau tempat yang kita pergi pasti ada peraturan-peraturan sendiri jika dilanggar maka pasti dihukum. Sebagai contoh setiap kenderaan yang ingin menggunakan jalan raya kita harus berdaftar dan mempunyai plat pendaftaran. Jika tidak, pasti kenderaan tersebut disita. Begitu juga dengan Parlimen, jika tidak mengikut peraturan yang dipersetujui semenjak azali lagi maka pasti anda dihukum.

Tidak mustahil inilah yang dimaksudkan oleh Yang di-Pertuan Agong apabila baginda bertitah supaya ahli Parlimen menjaga adab sopan ketika berbahas yang juga membawa maksud supaya memelihara pekerti. Elakkanlah beretorik mahupun beremosi secara terlampau sehingga tindak-tanduk pun menjadi tidak terkawal.

Bahasa Jiwa Bangsa. Adab ditatang, adat dikelek, dicicirkan jangan, kerana itu budaya kita.

DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI dari Universiti Utara Malaysia.