Kerana parkir tidak mencukupi, mereka terpaksa menanggung risiko dengan meletak kenderaan di kawasan larangan.

Tinjauan Utusan Malaysia Sabtu mendapati Bandar Sri Permasuri, Cheras antara lokasi paling sesak dengan kenderaan yang diletakkan di bahu jalan.

Hadapan Kondominium Suasana Lumayan misalnya, deretan kenderaan milik penduduk dilihat memenuhi sepanjang jalan. Lebih mengejutkan, kerana terdesak ramai juga bertindak meletakkan kenderaan di tengah-tengah laluan.

Salah seorang penduduk, Ruslan Abu Hasan, 32, berkata, dia terpaksa meletak kereta di kawasan larangan ekoran ketiadaan parkir di kawasan tersebut.

“Keadaan menjadi semakin teruk setelah kawasan parkir di taman rekreasi berhadapan kondominium yang sebelum 
ini menjadi alternatif 
penduduk meletak 
kenderaan ditutup untuk proses naik taraf.

“Ada masa saya terpaksa meletak kereta beratus meter jauhnya. Jujur saya katakan cukup risau jika kereta saya dilanggar kereta lain atau menjadi mangsa penganiayaan pihak tidak bertanggungjawab,” rintihnya.

Dalam tinjauan berasingan yang dibuat sekitar Menara TM, Utusan Malaysia Sabtu mendapati wujud penyedia perkhidmatan parkir ruang terbuka mengenakan caj bayaran begitu tinggi.

Salah satunya bayaran RM20 untuk pelanggan yang hadir pada pukul 7 hingga 10 pagi, RM15 (10 hingga 3 petang), RM10 (3 hingga 6 petang).