Serangan di Syria: SENYAP

Serangan di Nigeria: SENYAP

Serangan di Yemen: SENYAP

Serangan di Labenon: SENYAP

Serangan di Somalia: SENYAP

Serangan di Libya: SENYAP

Serangan di Selatan Sudan: SENYAP

Serangan di Iraq: SENYAP

Serangan di Palestin: SENYAP

Serangan di Perancis: Ya Tuhan! Ini mesti kerja orang Islam, jihadis. Bunuh orang Arab!

Benarkah kenyataan itu? Senyapkah kita apabila negara Islam diserang oleh Zionis, oleh orang Islam sendiri atau oleh orang lain atas nama keamanan?

Benarkah pelbagai simpati diberikan kepada negara seperti Perancis apabila bandar rayanya diserang? Dan satu dunia menangisi kerana yang mati itu adalah orang Barat? Lilin dinyalakan dan bunga ditabur.

Adakah ini semua persepsi kita sahaja? Atau ia benar-benar berlaku. Adakah kesan serangan 9/11 di kota raya New York masih terpahat di ingatan kita sehingga sekarang? Apa yang kita tahu kesan daripada itu, ramai orang Barat mulai sedar mengenai apa itu Islam, malah ada yang telah menganutinya.

Oleh itu, bagaimana kita harus berfikir mengenai kejadian di Paris itu?

Adakah apabila kumpulan IS menyembelih seorang manusia lain atau seagama dengan kita, kita juga akan senyap? Malah ada pula orang kita yang terdorong untuk menyertai kumpulan itu atas nama jihad dan Islam. Ramai juga orang Melayu Islam kita yang terikut-ikut sehingga menganggotai kumpulan Imam Mahadi sehingga Ayah Pin.

Tapi benarkah pegangan IS itu? Jika asalnya ada yang bersimpati kerana Regim Bashir, seorang Syiah sanggup menyerang rakyatnya bermazhab Sunni, namun apa yang berlaku selepas itu?

IS secara faktanya kini membunuh sesama mazhab pula. Adakah mereka sudah tak terkawal sehingga tidak lagi mengenali yang mana putih dan yang mana hitam.

Mengapa pula kemudian Amerika Syarikat pula masuk campur menyebelahi puak-puak penentang Bashir ini dengan membekalkan senjata dan Rusia pula menyebelahi puak yang menyokong Bashir? Mahu tahu siapa yang mencipta IS atau ISIS lihat video ini: “Truth in Media: Origin of ISIS” on YouTube - https://youtu.be/o6kdi1UXxhY

Sampai bila umat Islam, regim Islam, negara Islam akan terus diadudombakan?

Benarlah satu anologi berkata di zaman kegemilangan Islam dulu, mereka merekacipta pelbagai keajaiban untuk faedah manusia dan dunia sebaliknya orang Barat ketika itu masih dalam zaman kegelapan. Kini ia menjadi sebaliknya. Benarkah analogi itu?

Ingatlah. Tiada sesiapa yang akan SENYAP jika Islam itu kuat, Islam itu berkuasa, maju dan dihormati.

Masih tidurkah orang Melayu?

SAYA menerima satu gambar menerusi media sosial menunjukkan sekumpulan anak muda bukan Melayu beratur panjang (mungkin di sebuah pusat beli-belah di KL) untuk mendaftar sebagai pengundi.

Tajuk mesej itu ialah Gerakan pendaftaran pengundi...anak Melayu kita mana?

Saya menjawab (agak kasar bunyinya) Budak-budak Melayu masih tidur?

Lalu ramai yang komen.

Antaranya menulis: Di atas itu (gambar itu) geng yang marahkan parti pemerintah. Anak2 Melayu masih sayangkan BN kot. Lalu dia menulis, hehehe bermakna mentertawakan apa yang ditulis itu.

Seorang lagi mencelah: Anak Melayu ramai register ahli DAP.

Yang lain menjawab: Bagus juga. Mana tau parti DAP tu nanti dikuasai oleh Melayu @ jadi parti mana menang pun, tetap M yang memerintah.

Ada yang mencelah lagi: Ini pandangan yang positif.

Itu adalah sebahagian kecil perbualan di alam maya oleh pengikut media sosial itu. Walaupun mesej yang dihantar itu kecil, tapi dalam suasana politik Melayu yang melayu sekarang, ia cukup bermakna.

Difahamkan gerakan pendaftaran pengundi untuk orang bukan Melayu terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina cukup agresif sekarang ini.

Begitu juga gerakan pemindahan pengundi di kawasan-kawasan gergasi DAP terutamanya juga cukup agresif. Cukup bijak mereka. Jika dalam PRU lalu satu kawasan DAP dimenangi dengan 30,000 majoriti, secara congakan mudah ia perlu diagih-agihkan ke kawasan lainlah. Dan itulah yang dilakukan oleh mereka sekarang.

Jika melihatkan gambar itu, minat anak-anak muda bukan Melayu untuk mengundi pada PRU14 akan datang cukup tinggi. Sudah tentu mereka mempunyai perancangan yang baik untuk memastikan apa yang mereka hajati tercapai. Mereka beratur panjang itu secara sukarela dan kerelaan hati.

Apakah trend yang sama ada di dalam benak anak-anak muda Melayu? Tujuan tulisan ini bukan mahu memprofilkan kaum, tetapi dalam konteks negara ini ia adalah satu hakikat.

Berdasarkan bancian pemilih di Selangor pada 2010 terdapat 1.88 juta adalah Melayu, tetapi di dalam daftar SPR 2013 hanya terdapat 1.04 juta pengundi Melayu.

Setelah mengambil kira semua tahap kesedaran mendaftar sebagai pemilih, kesedaran mendaftar orang Melayu hanya 55 peratus berbanding dengan kaum Cina sebanyak 75 peratus.

Paling ketara julat umur orang Melayu yang tidak mendaftar terangkum di antara 31 ke 45 tahun.

Kita bimbang, anak-anak muda Melayu yang selesa akan terus selesa, dan dibuai mimpi.

UMNO-Pas, 
Pas-UMNO

DIFAHAMKAN para pemimpin pembangkang mempersendakan rancangan kerjasama antara dua parti terbesar Melayu iaitu UMNO dan Pas.

Sama ada Pas yang mahu bekerjasama dengan UMNO atau sebaliknya, ia adalah satu perkembangan yang amat ditunggu-tunggu oleh umat Melayu dan seluruh negara.

Itulah yang ada di dalam hati bangsa itu sebenarnya selama ini. Di dalam hati kecil mereka walaupun orang UMNO atau orang Pas bahkan Melayu tanpa pegangan kepartian mahu melihat perpaduan itu tercapai.

Bukan ia tidak pernah berlaku, ia pernah berlaku sekitar tahun 1978 dahulu. Walaupun kemudian ia berpecah, tetapi ia adalah satu proses pemulihan untuk kedua-dua pihak. Semasa kebuntuan berlaku, kedua-duanya secara spiritual bertaut secara lahiriah.

Semua pemerhati politik mahu melihat apa yang bakal berlaku dengan pemaufakatan ini. Bukan mudah kedua-dua parti politik Melayu itu boleh disatukan. Ia semuanya bergantung kepada kepemimpinannya yang bertunjangkan doktrin masing-masing.

Pas sedar bahawa hubungannya dengan DAP tidak boleh pergi ke mana. Jika Islam yang mahu dibawanya maka DAP bukan regunya. Semua mengetahui yang PKR hanyalah parti yang bersifat Anwarisme dan Azizahisme semata-mata. Ia tidak akan kekal. Sebab itu mereka perlu menubuhkan pakatan baharu diberi nama Amanah untuk terus hidup.

Saya percaya sekiranya gagasan ini berjaya, satu dimensi baharu politik negara ini akan berlaku. PRU14 akan memperlihatkan arus perubahan Malaysia pasca 2020.

DAP yang bangga mengatakan 100 peratus Cina berada di belakang mereka harus merencanakan semula strateginya.

Lim Guan Eng-isme dan Lim Kit Siang-isme sedang bermain bersungguh-sungguh dengan perang psikologi. Perancangan mereka untuk membunuh karekter Najib dan kerajaannya juga akan terencat.

Selama ini mereka terlalu yakin, parti kerajaan sedang sibuk menyelesaikan hal rumah tangganya, tanpa memberi tumpuan untuk melihat apa yang mereka sedang lakukan.

Ternyata permainan catur ini cukup hebat. Kita tunggu dan lihat. Siapa yang akan kena checkmate.