Pengalaman yang dimaksudkan ialah penglibatan penulis dalam majlis peminangan di Shah Alam. Abang ipar penulis meminta menjadi wakil pihaknya, untuk meminang gadis pilihan anaknya. Itu tidaklah rumit, tetapi abang ipar penulis mengatakan majlis peminangan akan dijalankan secara beradat, siap dengan berbalas pantun. Katanya, itu ialah permintaan pihak perempuan.

Sebelum penulis kisahkan pengalaman tersebut, terlebih dulu penulis akui, majlis yang melibatkan penulis itu tidak sehebat majlis dalam video yang dihantar oleh Isahak. Tujuan penulis tidak lain ialah untuk menyatakan bahawa majlis pertunangan secara beradat masih boleh diteruskan dalam masyarakat Melayu.

Penulis tahu majlis peminangan masyarakat Melayu tradisi memuatkan acara berbalas pantun. Itu ialah acara yang biasa pada zaman lampau. Kini, majlis sedemikian masih ada, namun jarang-jarang, dan penulis tidak pernah terlibat menjadi wakil. Penulis tidak menolak permintaan abang ipar penulis itu. Penulis memberikan pantun kepadanya:

Agak lama dipuput bayu,

Muncul ribut menyerang kebun;

Apa guna jadi Melayu,

Kalau takut berbalas pantun.

Sebagai latar, elok disebutkan, jauh terdahulu, penulis memang pernah bergiat dalam acara berbalas pantun. Dalam dekad 1960an, di sana sini ada acara berbalas pantun yang meriah. Penulis menyertainya. Selain itu, hingga kini penulis juga masih menghasilkan beberapa tulisan tentang pantun. Pada 2015, esei penulis tentang pantun berjaya memperoleh Hadiah Sastera Utusan Melayu. Atas pengalaman demikianlah penulis menyanggupi tugas tersebut.

Penulis meminta kepastian bahawa majlis itu ialah majlis peminangan, bukan majlis merisik. Hal ini pen­ting, kerana majlis merisik ialah majlis yang lebih ringan, sekadar mahu mengambil tahu sama ada perempuan yang maksudkan itu anak dara, janda, atau entah-entah sudah bertunang. Demikianlah maksud merisik, walaupun secara logiknya pihak lelaki sudah tahu kedudukan sebenar.

Setelah pasti bahawa majlis yang dimaksudkan itu ialah majlis peminangan, maka persediaan untuk itu diperkemas. Kami pergi ke rumah pihak perempuan pada pukul 11 pagi. Ringkasnya, setelah turun dari kereta, penulis berjalan dengan semangat Melayu lama, dan fikiran penulis tertumpu pada ‘wacana pantun’.

Apabila berada di dalam rumah pihak perempuan, setelah bersila di samping bapa si anak dara, dan bersalam dengan beberapa orang, bicara pun bermula. Wakil pihak perempuan berucap sebelum berpantun. Ucapan itu biasa, iaitu mengucapkan selamat datang kepada rombong­an, kemudian menyatakan dirinya ialah bapa saudara kepada anak dara. Seterusnya beliau berpantun:

Orang kota naik perahu,

Pergi belayar di tengah hari;

Maaf dipinta kami nak tahu

Apalah hajat datang ke mari?

Penulis sebenarnya sudah meramalkan bahawa soal­an pertama pasti bertanya tentang ‘tujuan kedatangan rombongan’. Ertinya, sejak awal penulis menduga, pihak pe­rempuan akan berolok-olok tidak tahu tujuan rombong­an. Soalan tentang tujuan kedatangan ialah soalan yang pa­ling manis untuk majlis demikian. Oleh sebab ramalan penulis betul, maka lajulah penulis menjawabnya:

Duduk berehat di atas titi,

Segar udara putihnya awan;

Besar hajat di dalam hati,

Memetik bunga di taman tuan.

Kemudian, penulis bercakap sedikit tentang bunga. Maksud penulis, ketika bercakap itu pihak perempuan dapat menyusun kata untuk membalas pantun tersebut. Penulis berkata, jika ada banyak bunga, hanya sekuntum saja yang dimaksudkan. Wakil pihak perempuan pula bersuara, mengatakan dia sudah faham, namun elok juga dijelaskan, takut-takut salah faham. Setelah berkata demikian beliau berpantun:

Di hujung halaman ada delima,

Dekat pagar sebelah taman;

Hajat dan tujuan kami terima

Dengan adat zaman berzaman.

Jika pada awal majlis penulis agak cemas, manalah tahu pantun tidak menjadi, pada tahap ini penulis berasa selesa betul. Apabila pihak perempuan menyebutkan ‘adat zaman berzaman’, penulis mengambil peluang mengemukakan apa-apa yang ada di atas dulang yang kami bawa. Penulis minta seseorang mendekatkan dulang yang terletak agak jauh dari kami. Dulang pun ditolak perlahan-lahan ke hadapan kami. Penulis menyebutkan begini:

“Syukurlah kerana maksud dan hajat pihak kami telah diterima. Seperti yang pihak perempuan kehendaki, iaitu cara adat zaman berzaman, lamaran kami ini kami iringi dengan dulang hantaran yang memuatkan sebuah tepak sirih, sebentuk cincin, seberkas gubahan buah-buahan, sebuah beg tangan, dan sepasang kasut.”

Awal pagi ayam berkokok

Cahaya menjelma alam berseni;

Tepak sirih cincin sebentuk

Harap terima daripada kami.

Penulis kemudiannya tidak terfikir bahawa pihak pe­rem­puan akan mengemukakan pantun yang agak romantik dan agak lucu. Dia melukiskan tingkah anak dara:

Mawar berseri kembang harum

Sebelah-sebelahan melur melati;

Bunga kami riang tersenyum

Kumbang tuan menaruh hati.

Penulis memang suka menjawab pantun yang bernada romantik dengan hasrat bergurau. Jawapan penulis ialah:

Pokok berangan sederet lima,

Pokok meranti dekat perigi;

Kini pinangan telah diterima

Kumbang kami tak pening lagi.

Wakil perempuan itu melawak lagi, mengatakan bahawa dia baru tahu anak teruna sedang pening.

Setelah acara peminangan beradat itu berakhir, pihak pe­rempuan menjemput kami menjamah makanan yang disediakan. Penulis berasa lega kerana segalanya berjalan dengan baik.

Makalah ini bersifat mengalami menghayati, iaitu segala yang dinyatakan ialah pengalaman yang tidak dapat penulis lupakan. Pandangan peribadi penulis dalam hal ini, adalah baik jika istiadat pertunangan diiringi pantun, bagi meneruskan amalan Melayu tradisi.

PROFESOR RAHMAN SHAARI ialah tokoh pendidikan dan sastera.