Sememangnya, segala langkah dan usaha untuk memben­dung kenaikan harga barang dan perkhidmatan serta penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) disambut baik oleh rakyat di negara ini.

Hal ini berkait rapat dengan manifesto pilihan raya oleh Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang antara lain mahu memastikan kenaikan harga barang dapat ditangani agar tidak membebankan rakyat.

Malah, apabila rebat tarif elektrik akan dihentikan iaitu sebanyak 1.52 sen setiap kilowatt per jam, ramai yang meminta agar kerajaan mengkaji semula keputusan tersebut.

Dalam pada itu, harga petrol dan diesel yang tidak berganjak selepas Pakatan Harapan memegang tampuk pemerintahan turut menjadi tanda tanya sedangkan dalam manifesto sebelum pilihan raya , harga minyak akan diturunkan supaya tidak membebankan pengguna.

Penghapusan GST nampaknya belum lagi memberikan ke­puasan kepada pengguna kerana semua mahu melihat penurunan harga bagi kebanyakan barang di pasaran.

Ada yang mendakwa peniaga menaikkan harga barang terlebih dahulu sebelum GST dihapuskan. Oleh itu, perbezaan harga bagi kebanyakan barang tidak mengalami perubahan yang agak ketara.

Contohnya, harga bagi kebanyakan barang keperluan dapur seperti ikan, sotong dianggap ‘melampau’ di beberapa tempat.

Malah ada sesetengah restoran mamak menaikkan harga minuman 10 atau 20 sen selepas bulan Ramadan atas pelbagai alasan termasuk bayaran upah untuk pekerja dan sebagainya. Dalam soal ini, nampaknya kita belum selamat dari segi perbelanjaan kerana peniaga sangat licik dan seolah-olah berkuasa sepenuhnya terhadap harga barang dan sesuatu perkhidmatan.

Apa-apa pun, usaha perlu dilakukan agar harga barang tidak dinaikkan dalam masa jangka masa panjang kerana bebanan GST agak lama ditanggung oleh pengguna.

Oleh hal demikian, tanggungjawab pihak penguat kuasa sangat penting dalam menangani hal-hal berkaitan kenaikan harga barang, pencatutan harga dan perkara-perkara lain yang berkaitan.

Kajian dan pemeriksaan mestilah dilakukan selalu agar peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang atas alasan yang tidak munasabah. Ini kerana kebanyakan peniaga akan sentiasa mencari jalan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan

Dalam pada itu, pengguna mesti bersedia bekerjasama dengan kementerian berkaitan untuk membendung salah laku peniaga dalam soal kenaikan harga barang.

Persatuan pengguna setiap negeri pula mestilah sentiasa turun padang untuk meninjau gelagat-gelagat peniaga agar pengguna tidak berasa terbeban dengan kenaikan kos sara hidup yang sudah lama menjadi isu besar di negara ini.

Sudah semestinya, sebagai pengguna, kita mahu menjadi pengguna yang bijak apabila berdepan dengan isu kenaikan harga barang.

Pengguna mempunyai kuasa untuk menentukan naik turun harga sesuatu barang. Pengguna yang berfikiran jauh, bijak dan tidak terburu-buru selalunya akan dapat mendidik atau mengajar peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab.