Ramai sebenarnya yang mengambil berat soal alam sekitar di negara ini terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan hutan. Masakan tidak, pada forum Menggazetkan Hutan Simpan dan Kawasan Perlindungan anjuran Kelab Pencinta Alam (MNS) baru-baru ini memperlihatkan kesungguhan aktivis-aktivis alam sekitar mempertahankan khazanah alam tersebut.

Antaranya, Penasihat Kanan MNS, Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor yang menekankan betapa perlunya integriti mereka yang menjaga khazanah negara tersebut terutamanya penguat kuasa dan jabatan yang terlibat.

Ujarnya, inisiatif pemuliharaan hutan di peringkat kerajaan negeri serta persekutuan seperti projek Central Forest Spine, Heart Of Borneo, Reducing Emissions From Deforestation dan Degradation (REDD+) dan pelbagai lagi, tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya penguatkuasaan tidak dilaksanakan.

“Jika taman-taman negara pun tidak digazetkan bagaimana pula kita mahu memastikan hutan-hutan simpan yang ada terselamat?

“Kawasan-kawasan hutan ini bebas untuk ditukar status dan boleh diusahahasil. Apa yang dipraktikkan adalah jika satu-satu kawasan itu diambil untuk tujuan tersebut akan digantikan dengan kawasan lain yang sama luasnya sahaja.” katanya.

Jelas Dr. Salleh, amalan tersebut baik, namun sesebuah kawasan hutan itu adalah tidak sama jika dibandingkan dengan kawasan lain iaitu melibatkan vegetasi, dirian pokok serta suasananya adalah berbeza-beza dari satu kawasan ke satu kawasan.

Sudah tiba masanya bagi pihak bukan kerajaan seperti masyarakat setempat, masyarakat Orang Asal, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam yang merupakan peme­gang taruh kritikal dalam proses pemuliharaan alam sekitar memainkan peranan lebih besar terhadap pentadbiran hutan yang lebih efektif.

Perkara yang sama turut dikongsi Delegasi Belia Malaysia, Michaelle Pheonix yang menekankan hak orang awam terhadap ruang awam (Sivic Space) seperti taman-taman hijau, hutan dan sebagainya untuk tujuan beriadah.

“Penyertaan orang awam dalam menentukan hala tuju pengurusan hutan di negara ini amat perlu dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja,” katanya.

Bahkan penyertaan orang awam dalam memastikan alam sekitar di negara ini sentiasa terjamin ada diperuntukkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Bagaimanapun ramai dalam kalangan rakyat negara ini masih tidak mengetahuinya, begitu juga soal penggazetan hutan untuk dilindungi sepenuhnya.

Untuk tujuan itu, MNS tampil dengan kempen kesedaran My Forest Watch yang bertujuan melengkapkan pihak bukan kerajaan dari segi pengetahuan teknikal, pengalaman dan penggubalan dasar kerajaan untuk menjayakan program pemantauan khazanah alam serta memastikan suara orang awam dapat diketengahkan.

Bukanlah bertujuan mahu membantut kerancakan ekonomi negara mahupun pembangunan yang ingin dilaksanakan kerajaan tetapi demi memastikan pentadbiran hutan yang berlangsung proses pemuliharaan khazanah tersebut perlu dititik beratkan sepanjang masa.

Oleh yang demikian peranan orang awam sebagai pemantau adalah amat perlu dan relevan kerana mereka juga mempunyai hak ke atas alam yang tidak ternilai itu.