SAYA tertarik dengan laporan Utusan Malaysia bertarikh 8 Mac lalu bahawa Maybank menjadi institusi kewangan pertama di negara ini yang memberi kebenaran cuti bersalin kepada kakitangan wanita sehingga setahun.

Dasar Penambahan Hari Cuti Bersalin itu membolehkan pekerja wanita yang layak menyambung cuti mereka sehingga 365 hari dari tarikh bersalin dengan pembayaran gaji yang berubah-ubah.

Selain 90 hari cuti bersalin sedia ada dengan gaji penuh, dasar baharu itu membolehkan pekerja memohon tempoh cuti bersalin tambahan tiga bulan dengan separuh gaji dan enam bulan lagi tanpa gaji.

Bagi saya, langkah itu wajar dicontohi oleh syarikat swasta lain bagi memastikan sektor pekerjaan di negara ini lebih mesra kaum wanita dan keluarga.

Amatlah tidak wajar tenaga wanita diperah semahu-mahunya sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengabaikan tanggungjawab asasi untuk menjaga bayi terutama bagi tempoh setahun yang pertama selepas kelahiran.

Langkah menjaga sendiri bayi akan membolehkan kos dikurangkan kerana tidak perlu menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh yang kebiasaannya mengenakan caj lebih tinggi terhadap bayi.

Pada masa sekarang, kemudahan itu hanya dinikmati oleh penjawat awam apabila mereka layak mendapat cuti bersalin selama 300 hari bergaji penuh sepanjang tempoh perkhidmatan.

Penjawat awam juga diberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh cuti bersalin dari 60 sehingga 90 hari bagi setiap kelahiran.

Cuti bersalin bermula pada tarikh penjawat awam melahirkan anak. Bagaimanapun, mereka boleh memilih untuk bercuti lebih awal dalam tempoh 14 hari dari tarikh dijangka bersalin.

Penjawat awam wanita juga dibolehkan untuk memohon kemudahan cuti menjaga anak yang bersambung daripada cuti bersalin sehingga lima tahun sepanjang tempoh perkhidmatan.

Walaupun Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) hanya menetapkan syarat minimum cuti bersalin yang perlu diberikan adalah kira-kira tiga bulan, banyak negara maju memberikan lebih daripada itu. Perkara itu seharusnya dicontohi semua syarikat swasta di Malaysia.

Antara negara terbaik adalah Denmark dan Norway selama 13 bulan dengan gaji dibayar 100 peratus dan Sweden selama 17 bulan dengan gaji dibayar sebanyak 80 peratus.

United Kingdom (UK) juga memberikan cuti bersalin sebanyak 13 bulan dengan gaji dibayar sebanyak 90 peratus.

Langkah memberikan cuti bersalin terlalu sedikit hanya akan menyebabkan kita sama taraf dengan negara-negara mundur seperti Swaziland dan Lesotho yang membenarkan cuti bersalin tiga bulan sahaja tanpa dibayar sebarang gaji.

Dalam pada itu, jika majikan enggan memberikan cuti bersalin yang lebih panjang, antara alternatif yang boleh dibuat adalah menyediakan kemudahan menjaga bayi di pejabat bagi memberi peluang wanita menggunakan waktu rehat untuk menyusukan anak mereka.

Ini kerana susu ibu mengandungi zat makanan yang paling lengkap untuk pertumbuhan fizikal bayi. Langkah itu juga dapat mengeratkan lagi kasih sayang antara ibu dan anak.

Satu lagi kelebihan adalah dapat mengurangkan perbelanjaan keluarga, kerana harga susu formula bayi yang cukup mahal sekarang.

Saya juga berharap pemilik bangunan menyediakan lebih banyak kemudahan penyusuan susu ibu seperti yang dilaksanakan di UK dan Amerika Syarikat (AS).

Antara lokasi yang perlu diwujudkan kemudahan itu adalah pejabat, taman rekreasi, kedai, restoran, pusat beli-belah, stesen bas dan lapangan terbang.

Suami juga perlu menyokong dengan bersama-sama menjalankan tanggungjawab menjaga bayi dan urusan rumah tangga lain walaupun isteri telah diberikan cuti bersalin lebih panjang.

SAIFUL ANUAR

Sungai Buloh, Selangor