Dari situ menggunakan penerbangan Arab, kena transit di negara tersebut (malas hendak merrepak namanya di sini) dan agak menjengkelkan kerana terpaksa melalui proses periksa masuk yang ketat, walhal hanya transit.

Kunjungan seterusnya juga menggunakan penerbangan Arab dan setiap kali itu jugalah kena lalu proses periksa masuk yang amat meletihkan.

Ada sekali dapat pulang naik AirAsia X yang tiada televisyen dan makan kena bayar sendiri. Ketika itu, AirAsia X beroperasi dari Lapangan Terbang Gatwick yang terasa sangat jauh iaitu 47.4 kilometer dari London (dan teksi sangat mahal).

Jadi kunjungan terbaharu pada akhir Mei lalu menaiki penerbangan Malaysia Airlines, agak melegakan. Penerbangan terus tanpa henti dari KLIA ke Heathrow kira-kira 12 jam 30 minit dan tidak perlu transit di negara Arab. Bahagia!

Dan lagi, Malaysia Airlines sedang mempromosikan tambang istimewa ke London, sempena statusnya sebagai syarikat penerbangan global rasmi untuk Liverpool FC. Dan lagi ia menggunakan pesawat A380, yang cukup selesa waima kerusi ekonomi.

Inilah cerita saya kepada sahabat, Azar Faizi Azmi yang mengidam untuk turut menjejak kaki ke Anfield. Nyata dia terpengaruh dengan racun yang saya suntik selama ini bahawa 'penyokong tegar sebenar, mesti menjejak kaki ke Anfield’. Ini kerana sesudah berbuat demikian, kata nista penyokong Manchester United terutamanya, tidak ada kesan sama sekali.

Cabaran bagi penyokong Liverpool ialah setibanya di Heathrow, mereka kena menempuh 355 kilometer lagi perjalanan ke Liverpool. Jadi pilihan terbaik pengangkutan ialah keretapi yang tiketnya bermula serendah £32 yang perjalanannya kurang tiga jam.

Keretapi ini akan berhenti di Stesen Kereta api Lime Street yang terletak di tengah-tengah kota Liverpool. Sekiranya anda tiba tengah hari dan mahu makan, teruskan langkah menyeberang jalan menuju ke Menara Radio Tower. Di situ, ada sebuah bangunan bertanda 'St. John’.

Ia merupakan pusat beli-belah yang mengingatkan kita kepada Kompleks Pertama. Kedainya masih sebuah-sebuah dan tradisional. Naik ke tingkat tiga. Sebelah kiri ada tempat jualan daging-daging. Hala ke kanan, ada kedai-kedai. Di sebelah tangga terdapat restoran Pakistan.

Pelayannya orang putih tetapi di kaunter, orang Pakistan. Makanlah sepuas-puasnya tanpa was-was. Nasi dengan lauk dan air berkarbonat hanya £6. Cuma kena ingat masa, kedainya tutup 5 petang. Jadi untuk makan malam, sila datang awal untuk bungkus.

Tetapi jika sesak sangat sekali pun, pergilah ke restoran McDonalds minta Filet O Fish, kentang goreng dan 1 air berkarbonat. Dijamin kenyang. Hendak sedap, tunggu baliklah. Ini hanya petua kesinambungan hidup di England.

Minggu lepas, Azar menghubungi saya semula. Ditunjuknya penyata pembayaran. Dua tiket premium berharga £300 dan caj lain-lain £44. Jumlah keseluruhan £344. Tukar Ringgit ialah kira-kira RM1,894.37.

Tiket yang dibeli Azar ini adalah tiket premium yang masuk menerusi lounge korporat di Anfield. Lazimnya akan ada sesi bertemu dengan bintang legenda di dalam dewan khas. Kemudian keluar bagi menonton perlawanan dan masa rehat, boleh masuk semula untuk minum atau makan.

Tiket yang saya beli berpurnama nan lalu hanya £49 (ketika itu RM250) tetapi itu semasa Anfied belum melalui transformasi. Saya kata kepada Azar, alang-alang menyeluk pekasam, biarlah duduk kerusi premium.

Jadi apa boleh dibuat sebelum perlawanan? Jika sampai sehari awal, gunakanlah masa tersebut untuk melawat Muzium Liverpool di dalam Anfield. Sesi lawatan itu meliputi detik-detik bersejarah kemenangan lima kali Piala Juara-Juara Eropah yang dipegang oleh Liverpool dan paling seronok, menjejak kaki di kawasan padang stadium.

Kemudian jika ada masa lagi, naik bas menuju ke pusat latihan kelab di Melwood. Bersidailah bersama peminat lain di hadapan pagar dengan harapan ada pemain terkemuka sudi berhenti kereta memberi autograf atau bergambar.

Jika ada masa lagi, silalah menjejak Sungai Mersey. Di tebingannya terdapat nama-nama pelayar tersohor dan terpahat beberapa nama Melayu di situ.

Liverpool ini pada kurun ke-18, merupakan kota pelabuhan yang menjadi pusat dagangan hamba abdi dari Afrika. Terdapat sebuah muzium khusus menceritakan sejarah silam tersebut di Albert Dock, tapak pelabuhan asal kota ini. Liverpool juga merupakan penempatan tertua untuk imigran China di Eropah yang bermula pada 1860. Wujud pintu gerbang Chinatown di situ.

Selain bola sepak, Liverpool amat dikenali sebagai kota asal The Beatles. Ini saya tegaskan kepada Azar, jangan sekali-kali lepaskan peluang melawat muzium band tersohor di dunia yang juga terletak di Albert Dock. Pada satu ruang, terdapat piano John Lennon. Bilik itu dimainkan lagu Let It Be. Terasa seolah dia sedang bermain piano di hadapan anda. Syahdu!

Yang terakhir, selepas menyaksikan perlawanan bola sepak dan melawat muzium serta lain-lain, apa lagi anda boleh buat? Saya pernah naik bas dari stesen bas L1 di sebelah Hotel Hilton, bayar tidak sampai £2 dan duduk tingkat atas. Tiada tujuan khusus. Hanya ikut ke mana bas pergi. Cara ini membolehkan saya melihat lebih dekat Liverpool.

Bagaimana pula membeli-belah? Jangan risau. Benar tukaran pounds ke Ringgit amat menyesakkan nafas. Dengan hanya £4 tiket bas dari bandar Liverpool, anda boleh pergi ke pusat jualan premium iaitu Cheshire Oaks Designer Outlet.

Selepas itu, naik bas semula ke perhentian terakhir iaitu kota Chester yang merupakan bandar zaman medieval Inggeris. Selesai semua ini, maka bolehlah kembali ke London untuk pulang ke Malaysia.