Natijahnya, mereka mula sedar akan hak-hak pekerja lalu bersatu untuk membentuk kesatuan. Namun begitu, terdapat kekangan dari segi undang-undang dan persetujuan daripada majikan. Pada 1915, golongan pekerja di United Kingdom mula membentuk ke­satuan sekerja yang sah dan menjadi ikutan seluruh dunia.

Di Malaysia, sejarah kesatuan sekerja dapat dilihat pada 1920-an dengan perkembangan pesat dalam industri dan perlombongan timah. Parti Komunis Malaya pada ketika itu mewujudkan gerakan pekerja dan seterusnya menarik minat mereka untuk bersatu. Rentetan itu, beberapa siri mogok berlaku sekitar 1930-an.

Pada 1940-an kerajaan mula memandang serius terhadap kepentingan kesatuan sekerja dengan menggubal beberapa undang-undang berkaitan kesatuan sekerja. Enakmen Kesatuan Sekerja 1940 telah dibentuk namun hanya dapat dikuatkuasakan ke seluruh Tanah Melayu pada 1947. Selain itu, pada 1946, Jabatan Penasihat Kesatuan Sekerja dibentuk dengan pelantikan pendaftar kesatuan sekerja.

Beberapa klausa telah diluluskan di dalam Enakmen kesatuan sekerja seperti semua kesatuan sekerja perlu didaftarkan, kesatuan sekerja hanya boleh dibentuk dari industri yang sama dan pegawai kesatuan sekerja hendaklah berkhidmat di dalam industri yang sama selama tiga tahun sebelum dilantik.

Pendaftaran pertama bermula pada 1947 yang mana pada ketika itu terdapat sebanyak 298 bilangan kesatuan sekerja telah berdaftar dengan keanggotaan seramai 195, 113 orang.

Selepas negara ini mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Enakmen Kesatuan Sekerja 1940 dinamakan semula sebagai Ordinan Kesatuan Sekerja 1959. Pada 1989, Ordinan Kesatuan Sekerja 1959 ditukar kepada Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan nama tersebut kekal sehingga ke hari ini. Mengikut Seksyen 8 dan 9 Akta Kesatuan Sekerja 1959, pekerja dan majikan di Malaysia adalah bebas menubuhkan pertubuhan sekerja masing-masing.

Peranan kesatuan sekerja amat penting demi memastikan kebajikan pekerja terjamin. Antaranya adalah dari segi kenaikan gaji, bonus, keselamatan dan kebajikan pekerja. Di Malaysia, kesatuan sekerja perlu di daftarkan terlebih dahulu di Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja.

Pendaftaran kesatuan ­sekerja adalah penting bagi membolehkan kesatuan sekerja ini menikmati keistimewaan sebagai sebuah kesatuan sekerja yang sah. Sehingga Disember 2016, sebanyak 734 kesatuan sekerja telah didaftarkan dengan keanggotaan ahli seramai 927 802 orang. Ia meliputi 147 kesatuan daripada sektor kerajaan, 481 kesatuan daripada sektor swasta dan 106 kesatuan daripada badan berkanun.

Selepas proses pendaftaran kesatuan sekerja dibuat, mereka perlu mendapat pengiktirafan daripada majikan terlebih dahulu. Pengiktirafan adalah perkara yang sangat penting kerana tanpa pengiktirafan, sesebuah kesatuan itu tidak dibenarkan membuat perundingan secara kolektif.

Di Malaysia, proses pendaftaran untuk menubuhkan kesatuan sekerja adalah lebih mudah jika dibandingkan dengan proses untuk mendapat pengiktirafan daripada majikan.

Sesetengah majikan enggan memberikan pengiktirafan kepada penubuhan sesebuah kesa­tuan sekerja kerana ia tidak memberikan banyak manfaat kepada mereka walaupun mereka sedar ia dapat memberi banyak manfaat kepada pekerja.

Bagi mereka, memberikan pengiktirafan kepada kesatuan sekerja hanya akan meningkatkan kos tenaga buruh dengan peningkatan kos gaji, faedah sampingan dan sebagainya. Hal ini hanya akan membebankan majikan untuk jangka masa panjang.

Selain itu, keadaan akan menjadi bertambah buruk jika kesatuan sekerja ini melakukan mogok. Ini kerana, ia akan menjejaskan produktiviti organisasi serta memberi imej yang buruk kepada majikan. Sesetengah kesatuan sekerja hanya akan menghentikan mogok mereka sekiranya majikan memenuhi semua permintaan mereka.

Oleh itu, bagi mengelakkan keadaan ini berlaku, sesetengah memilih untuk tidak memberikan pengiktirafan kepada kesatuan sekerja.

Pun begitu, kesatuan sekerja masih boleh memohon untuk mendapat pengiktirafan melalui undi rahsia. Jika mereka menang dalam undi rahsia, Menteri Sumber Manusia akan mengeluarkan surat pengiktirafan kepada kesa­tuan seperti terkandung di dalam Fasal 9(6) Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Namun keputusan daripada Menteri menunjukkan proses pengiktirafan ini dibuat tanpa sukarela.

Bagaimanapun, keputusan ini juga boleh dicabar oleh majikan dan mereka boleh membawa isu ini ke mahkamah.

Maka di Malaysia, masih terdapat banyak kesatuan sekerja yang sedang berjuang untuk mendapat pengiktirafan daripada majikan dan ada yang mengambil masa bertahun-tahun namun masih belum membuahkan hasil.

Untuk menangani masalah ini, majikan sebenarnya harus melihat pengiktirafan kepada kesatuan sekerja dari sudut pandangan positif. Ini kerana pekerja akan merasa lebih dihargai oleh majikan. Dengan itu, mereka dapat menaikkan prestasi organisasi. Jika permintaan mereka berpatutan, majikan boleh menunaikannya sebagai tanda penghargaan kepada pekerja.

Suasana kerja yang harmoni akan terbentuk dengan wujud­nya kerjasama di antara kesatuan sekerja dan majikan. Kerjasama ini pasti membantu pekerja dan majikan meningkatkan kualiti dan produktiviti masing-­masing. Kedua-dua pihak mendapat manfaat berkekalan.

Suasana dan hubungan harmoni antara majikan dan pekerja akan membawa kebaikan kepada majikan dan pekerja, namun ia juga akan membawa kebaikan kepada politik, ekonomi dan sosial negara.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Kampus Raub.