Kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pihak yang menentang pindaan RUU 355 tidak memahami sepenuhnya tujuan itu. Atas sebab itu satu perhimpunan ‘raksasa’ dirancang oleh Pas dikenali Himpunan 355 dijadualkan berlangsung di ibu negara 18 Februari ini dengan bertemakan ungu.

Disasarkan khalayaknya lebih 300,000 peserta terdiri daripada ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik dan juga penyokong Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membawa usul itu di Parlimen pada Mei tahun lalu.

Objektif himpunan untuk memberi penjelasan mengenai keperluan pindaan akta itu dan mengapa mesti disokong, ter­utamanya ahli-ahli Parlimen. Abdul Hadi tahun lalu meminta supaya pindaan Akta 355 itu ditangguhkan ke sidang Parlimen Mac 2017. Penangguhan itu bertujuan membolehkan pindaan dilakukan pada tarikh berkenaan kerana terdapat unsur polemik dalam kalangan masyarakat walaupun akta itu membabitkan umat Islam dan Majlis Raja-raja.

RUU 355 yang diperkenalkan pada 1965 dipinda buat pertama kali pada 1984. Semasa pindaan kali pertama, ia tidak dibantah mana-mana pihak seperti mana cadangan pindaan kedua ini - iaitu selepas hampir 32 tahun berlalu. Pindaan itu perlu memandangkan masa sudah ­berubah. Ini terutama bagi ­menaikkan hukuman penjara dan denda bagi mereka yang terlibat di bawah bidang kuasa jenayah syariah.

Sebagai contoh, hukuman sebat bagi Mahkamah Syariah adalah lebih ringan dibandingkan dengan hukuman yang dikenakan oleh mahkamah sivil. Jadi, mengapa beria-ia pula DAP menentang usul pindaan RUU 355 ini yang matlamatnya untuk memperkasa mahkamah syariah. Tambah pelik apabila sebut sahaja pindaan akta ini, terus diputarbelitkan mengaitkannya dengan undang-undang hudud. Hendak dinampakkan supaya pindaan ini lebih digeruni dalam kalangan masyarakat bukan Islam, maka DAP menyamakannya pula sebagai ‘hudud potong tangan’.

Begitu dahsyat permainan ini. Padahal tujuan pindaan akta tiada kaitan dengan undang-undang hudud. Cadangan pindaan ini hanyalah untuk memperkasa mahkamah syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000, enam kali sebatan syarie. Pindaan 1984 melibatkan peningkatan dari penjara enam bulan dan denda RM1,000. ­Justeru hukuman yang ada sudah lapuk dan tidak menggerunkan pesalah.

Akta 355 ini juga tidak mempunyai kaitan langsung dengan orang bukan Islam kerana mereka tidak mungkin boleh dibicarakan di bawah mahkamah syariah. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa mahkamah syariah hanya untuk umat Islam. Mengikut Akta 355 iaitu dalam Seksyen 2 juga menjelaskan hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di mahkamah syariah.

Realitinya, jika hendak dilaksanakan hudud, ia sebenarnya berkait rapat dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Pelaksanaan hudud memerlukan sekurang-kurangnya tiga pindaan kepada beberapa bahagian dalam Perlembagaan yang perlu dilakukan. Tetapi bukannya dengan meminda Akta 355 yang terhad kepada bidang kuasa mahkamah syariah - merujuk kepada kuasa-kuasa yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Bolehkah perlembagaan dipinda? Ya, boleh dengan syarat undi majoriti iaitu 2/3 ahli-ahli Parlimen Dewan Rakyat bersamaan 148 daripada 222 orang ahli Parlimen bersetuju menyokong satu-satu pindaan. Namun, realiti politik hari ini kalau digabungkan semua ahli Parlimen beragama Islam dari UMNO, Pas, PKR, PAN, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan DAP serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya berjumlah 135 orang. Ini tidak memenuhi bilangan majoriti untuk meminda Perlembagaan. Bermakna ahli-ahli Parlimen bukan Islam juga mempunyai hak dan kuasa bagi membolehkan hukuman hudud dilaksanakan.

Jadi, mengapa DAP gelabah? Atau sebenarnya DAP sengaja mahu peralatkan Pas sebagai ‘kambing hitam’ mereka untuk dijadikan peluru kemarahan peng­undi bukan Melayu? Dengan menyamakan akta 355 dengan hudud, maka DAP dan PKR dapat menangguk di air keruh sekali gus menguntungkan parti serpihan Pas iaitu PAN. Bukankah begitu?

Himpunan 355 nanti dikatakan akan disaingi NGO tertentu yang agendanya mahu ‘bertindak balas’. Ia kononnya atas prinsip ‘memperjuangkan kesaksamaan, menentang diskriminasi kaum dan menyokong kebebasan ­beragama. Maka, jangan hanya berharap pada Pas untuk memastikan himpunan ini berjaya.

Firman Allah SWT: “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara dan kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya.” (Ali-Imran:103).

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.