Sememangnya atas nama kemanusiaan dan juga atas nama saudara seagama, nasib penduduk Palestin yang sehingga saat ini tidak henti-henti menjadi mangsa keganasan rejim tersebut seharusnya mendapat pembelaan daripada masyarakat antarabangsa terutama Malaysia.

Lebih menyedihkan lagi kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis tersebut khususnya terhadap penduduk Islam Pa­lestin semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini terutama selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember lalu.

Hakikatnya, pelbagai jenis kekejaman dilakukan apabila Israel mula menduduki Palestin pada tahun 1948. Mereka dibunuh dan diseksa. Rumah mereka turut dirobohkan. Tanah-tanah mereka dirampas atas alasan tidak munasabah. Pendatang haram Yahudi pula terus dibenarkan menduduki wilayah Palestin tanpa sekatan.

Terbaharu, pemimpin-pemimpin politik Israel dikatakan telah bersetuju mengemukakan draf undang-undang ke Parlimen yang membolehkan pelaksanaan hukuman mati ke atas pengganas, rancangan yang dipercayai di­sasarkan ke atas tahanan Pa­lestin. Situasi semakin meruncing apabila AS yang kini semakin di­pulaukan oleh masyarakat antarabangsa seakan-akan memberi lampu hijau kepada Israel untuk terus melakukan keganasan ke atas penduduk Palestin selepas kuasa besar dunia itu menggunakan kuasa veto menolak draf re­solusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membatalkan keputusan Trump berhubung isu Baitulmuqaddis.

Apa yang berlaku itu sama sekali tidak boleh diterima kerana jelas melanggar hak penduduk Palestin. Wilayah Palestin adalah hak mutlak penduduk Palestin manakala Baitulmuqaddis pula adalah milik umat Islam sampai bila-bila apatah lagi dengan kedudukannya sebagai tempat ketiga paling suci dalam agama kita selepas Mekah dan Madinah.

Justeru, umat Islam negara ini tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik sewajarnya berada di Masjid Putra hari ini untuk bersama-sama bersatu suara mempertahankan Palestin dan Baitulmuqaddis atas nama Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis yang akan berlangsung selepas solat Jumaat.

Sesungguhnya program solidariti ini terbuka untuk semua tidak kira orang UMNO, Pas, PKR, PAN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ini kerana asas isu Palestin ini yang telah berlanjutan lebih enam dekad lalu adalah bersifat universal dan kemanusiaan. Isu ini merentasi politik, agama dan kaum.

Lebih utama lagi sebahagian besar mangsa (penduduk Palestin) adalah dalam kalangan saudara seislam kita yang sewajarnya mendapat sokongan padu daripada umat Islam Malaysia.

Melalui solidariti tersebut, mesej protes terhadap kekejaman rejim Zionis Israel dan mesej bantahan terhadap pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel oleh Trump akan dapat disampaikan secara lebih jelas oleh umat Islam negara ini kepada masyarakat antarabangsa.

Tidak terkecuali, mesej sokongan tidak berbelah bahagi kita terhadap perjuangan rakyat Pa­lestin dalam mempertahankan Islam, hak dan tanah air mereka.

Penganjuran solidariti ini lebih bermakna lagi dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mana kedua-dua pemimpin ini akan berkongsi pentas buat kali ketiga atas nama kepentingan agama, ummah dan perpaduan.

Mengikut rekod, Najib dan Abdul Hadi pernah berkongsi pentas ketika menjadi tetamu utama Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia pada 17 Di­sember 2015 dan seterusnya hadir dalam Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur 4 Di­sember lalu.

Kedua-dua pemimpin ini akan menyampaikan ucapan semangat bagi menzahirkan kesepaduan seluruh umat Islam dalam menentang kekejaman yang tidak putus-putus dilakukan oleh rejim Zionis Israel di bumi suci Palestin.

Perdana Menteri kemudian akan mengumumkan resolusi Malaysia berhubung isu tersebut selain menurunkan tandatangan bersama Abdul Hadi yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia di atas kain rentang putih sebagai tanda protes terhadap apa yang berlaku di Palestin ketika ini termasuk keputusan yang dibuat oleh Trump.

Selain Najib dan Abdul Hadi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta barisan kepemimpinan UMNO dan Pas dijangka hadir pada perhimpunan tersebut. Malah barisan kepimpinan PKR dan PPBM juga dijangka hadir.

Bumi Palestin dan Baitulmuqaddis sebenarnya terlalu dekat dengan hati umat Islam kerana di sanalah terletaknya kiblat pertama sebelum Kaabah. Di sana juga lahirnya kebanyakan para nabi dan rasul seperti Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan Nabi Isa. Rasulullah SAW sendiri diberi penghormatan menziarahi Baitulmuqaddis pada malam peristiwa Israk dan Mikraj.