Yang berubah hanyalah slogan Malaysia Baharu daripada 1Malaysia selain perubahan politik dan kepimpinan. Banyak benda lama hanya disalin kulit oleh kerajaan baharu selain yang menjadi punca kemarahan rakyat terbanyak, janji manifesto hanya tinggal janji.

Harga minyak yang begitu diharap oleh rakyat turun di saat-saat akhir tahun baharu, masih di takuk lama. Belum lagi harga tol atau barangan keperluan yang dikatakan turun apabila GST dihapuskan.

Hanya politik negara yang semakin menarik untuk diikuti dan suhunya semakin tinggi dan berubah-ubah selain sentiasa terdedah pada sebarang kemungkinan yang tidak pasti. Ekonomi negara berada antara tahap paling teruk dan pelaburan luar pula pada tahap rendah.

Hampir semua orang mengeluh suasana ekonomi yang suram dan semakin ramai diberhentikan kerja. Waima apa pun sebagai rakyat Malaysia kita perlu ambil tahu dan membantu apa yang dirasakan perlu sebagai penanda sayangkan negara.

Namun dalam banyak-banyak hal yang masih samar, satu harapan jelas sempena tahun baru yang menarik untuk dikupas adalah keazaman tinggi untuk menghapuskan rasuah.

Inilah yang majoriti rakyat Malaysia mahukan apabila berbicara soal politik dan kepimpinan. Memang ia bukan benda baharu apatah lagi kebanyakan pemain politik utama baik dari kerajaan dan pembangkang terpalit dengan rasuah.

Namun kerana bosan dan menyampah, rakyat melihat isu politik hanya “sekadar di pinggiran”. Tetapi impak membenci rasuah begitu tinggi pada pilihan raya lalu. Ini kerana kejayaan pihak Pakatan Harapan (PH) meningkatkan kebencian terhadap isu 1MDB yang dikatakan terpalit rasuah yang sangat teruk.

Maka rakyat majoriti terbanyak turun dengan rasa marah dan benci akan gejala rasuah mengakibatkan Barisan Nasional (BN)tumbang setelah memegang kuasa lebih enam dekad.

Namun apa yang diharapkan orang ramai adalah perjuangan ini bukan sekadar melepaskan batuk di tangga atau bermusim. Isu rasuah perlu ditangani secara konsisten supaya ia menjadi pengajaran kepada semua ahli politik bahawa sekarang bukan zaman untuk sapu projek dan diberi kepada kroni.

Sehingga kini yang jelas dua parti Melayu sudah semakin sedar bahana akibat rasuah. Namun parti Pas tidak perlu dipertikai akan penglibatan tentang rasuah kerana semua maklum bagaimana pandangan mereka dalam hal itu.

Mungkin ada terpalit juga soal rasuah kerana tidak ada manusia maksum sepenuhnya di dunia ini. Namun Pas tetap antara parti paling bersih dan tidak mempunyai banyak masalah melibatkan gejala rasuah.

Malah adalah wajar semua parti politik mengikut langkah mereka kerana penolakan rasuahlah yang menjadikan Pas paling mendapat sokongan orang Melayu. Walaupun ada yang menggelarnya parti kampung, rasis dan terlalu nak menjadi Arab, tetapi ia berjaya meyakinkan penyokong kerana ketegasan dalam hal integriti dan penolakan terhadap salah laku dan salah guna kuasa.

Begitu juga apabila melihat kemelut dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada perhimpunan agung tahunannya baru- baru ini juga perlu dilihat petanda positif.

Walau orang melihatnya sebagai perbalahan dalam parti namun ia juga menunjukkan kematangan kita berpolitik. Orang muda berani menegur supaya jangan dijadikan amalan ketua bahagian dan cawangan diberi projek.

Memang semua sedia maklum ketua bahagian dan cawangan perlu wang untuk kelangsungan politik mereka selain mempertahan kemenangan parti. Tetapi kita juga maklum itu cara politik lama dan punca kenapa orang Melayu dicap malas dan tak nak berusaha bak kata pengerusi parti itu sendiri.

Maka saya sangat berharap peganglah pada janji dan janganlah diberi ruang untuk gejala rasuah berleluasa dalam Bersatu. Eloklah azam sebegini disemat seperti mana Tun Dr. Mahathir begitu membenci UMNO yang dilihat sebagai parti korup dan jijik kerana rasuah. Mereka begitu berazam tidak mahu menjadi seperti UMNO walaupun banyak unsur-unsur ke arah rasuah berlaku semasa di PICC.

Namun ia bukan mudah apatah lagi bagi parti serpihan UMNO seperti Bersatu yang majoritinya ahlinya berasal dari UMNO juga. Bak kata sahabat saya yang juga bekas orang kuat UMNO tetapi tidak sertai mana-mana parti, cubalah elak rasuah ketika di puncak kuasa kalau mampu dan kuat semangat, sindirnya.

Satu perkara yang tidak boleh dipandang enteng sempena tahun baharu 2019 adalah keazaman Timbalan Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden dalam membawa perubahan demi kekal relevan. UMNO perlu menjadi ayam jantan yang berani menyanggah kemungkaran dan ketidakpuasan hati orang Melayu dan Islam dalam mempertahan hak mereka.

UMNO nampaknya sudah sedar bahana rasuah dan politik wang dalam parti. Ini tidak dituju kepada Datuk Seri Najib Tun Razak semata-mata.

Ini kerana zaman perdana menteri sekarang menjadi perdana menteri keempat ketika dalam UMNO mahupun ketika Presiden PKR sekarang masih berada dalam UMNO dahulu pun terbukti ia antara era terburuk gejala politik wang pernah berlaku dalam parti itu.

Menurut Mohamad Hasan atau lebih dikenali Tok Mat lima iltizam baharu UMNO akan menjadi penanda aras tentang hala tuju UMNO sebagai pembangkang dan pembela bangsa dan rakyat pelbagai kaum.

Amaran beliau “saya dan rakan- rakan dalam parti akan membersihkan parti sebersih-bersihnya. Sesiapa yang tidak ingin bersama dalam perang ini berpindahlah ke parti seberang sana atau ke mana-mana pihak yang boleh memberikan anda habuan yang diharapkan”.

Inilah yang dinantikan oleh semua orang Melayu sejak sekian lama. Masih belum terlewat untuk dipulihkan parti itu kerana dalam soal ini UMNO tak salah. Orang di dalamnya yang mencorak dan merosakkan parti itu. Tidak perlulah orang Melayu begitu membenci parti itu sehingga mahu dikuburkan terus tanpa melihat sumbangan dan jasanya.

Berilah peluang untuk ia berubah dan menebus balik kesilapan. Jangan kerana nyamuk habis kelambu dibakar. Tidak ada parti politik yang boleh berlagak suci dan janganlah Bersatu terlalu berdegar-degar memburukkan UMNO.

Buktikan dahulu rasuah ditolak dalam parti. Apatah lagi wujud gerakan ketua bahagian nak menjatuhkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana teguran mahu diberi projek. Pemimpin muda ini harus dipertahan jika Bersatu serius tentang rasuah.

Bagi UMNO pula ini peluang terbaik menyucikan diri walaupun menjadi pembangkang supaya andaikata menang balik nanti mereka tahu betapa peritnya hilang kuasa akibat dituduh mengamal rasuah. Bak kata Tok Mat, politik wang perlu dihentikan sebelum ia menghentikan UMNO.

Dan bagi Bersatu pula berpada-padalah mengata orang kerana DNA parti tidak asalnya dari UMNO. Takut pula nanti jadi paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.