Terdapat begitu banyak persamaan yang selari mengenai gaya kepimpinan kedua-dua pemim­pin tersebut yang kadang kala amat sukar difahami mengapa sesuatu dasar digubal.

Apabila Trump membuat keputusan menarik AS keluar dari perjanjian perdagangan bebas Perkongsian Trans Pasifik (TPP) dan Perjanjian Paris menge­nai perubahan iklim, keputusan tersebut walaupun dianggap drastik tetapi mempunyai sebab tersendiri yang ada kena me­ngena dengan strategi mendahulukan kepentingan rakyat Amerika. Walaupun dikecam oleh sebahagian besar pemimpin glo­bal lain, Trump tetap tegas de­ngan keputusan tersebut.

Begitu juga dengan Duterte yang melancarkan strategi yang begitu ekstrem dalam usaha menghapuskan gejala dadah yang berleluasa di Filipina, beliau tetap meneruskan usaha tersebut walaupun mendapat kecaman kerana melanggar hak asasi dan membelakangi pro­ses undang-undang.

Tetapi rakyat Filipina menghargai cara Duterte berhadapan masalah dadah kerana isu tersebut sudah sampai ke peringkat kronik yang mana kaedah ala Duterte dilihat sebagai jalan penyelesaian terbaik.

Sebab itu tidak mengejutkan apabila Duterte mengambil inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai usaha untuk merealisasikan pakatan anti keganasan yang sebelum ini telah dipersetujui oleh ketiga-tiga menteri pertahanan Filipina, Indonesia dan Malaysia.

Pakatan anti keganasan ketiga-tiga negara ini dianggap unik kerana Duterte secara dasarnya membenarkan pihak berkuasa keselamatan Indonesia dan Malaysia memasuki perairan Filipina jika operasi mengejar pengganas melampaui sempadan perairan masing-masing.

“Saya akan buka sempadan negara kepada pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia dan saya akan laksanakan dan beri mereka akses,” tegas Duterte yang memberi bayangan hala tuju pakatan anti keganasan tiga negara jiran ini. Peristiwa pengganas menawan bandar Marawi yang mana setakat hari ini Manila masih bergelut dengan isu tersebut adalah manifestasi bagaimana sukarnya untuk membanteras pengganas.

Sebagaimana krisis dadah yang kronik di Filipina telah memaksa Duterte melaksanakan langkah drastik, begitu juga dengan konflik Marawi memaksa beliau memikirkan strategi tambahan yang lebih efektif apabila berhadapan dengan kumpulan pengganas.

Sebenarnya, cadangan mengenai rondaan secara bersama di perairan Laut Sulu yang membabitkan tiga negara jiran ini telah dipanjangkan oleh Malaysia pada Jun 2016. Strategi serupa juga sedang diamalkan di Selat Melaka di antara negara pesisir Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Hasilnya, kegiatan berkaitan jenayah lanun berkurangan dengan drastik sekali. Pada awal perbincangan, Indonesia menyatakan persetujuan tetapi Filipina ketika itu masih belum menyatakan pendirian mereka.

Mengapa dikatakan cadangan membuka sempadan Duterte itu amat signifikan adalah kerana pengganas yang bolos sempadan Indonesia dan Malaysia terutama sekali melalui Laut Sulu berpunca dari Mindanao. Wilayah tersebut yang begitu sukar bagi Manila untuk mentadbir dari aspek keselamatan dianggap sebagai syurga bagi kumpulan militan dan pengganas.

Malah beberapa minggu lalu apabila Bahagian Counter Terrorism E8 Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan tiga sel pengganas yang merancang mencetuskan kekacauan semasa temasya Sukan SEA Ke-29 dan sambutan Hari Kebangsaan 2017, jelas mempamerkan bagaimana keganasan telah merentasi sempadan.

Satu daripada tiga kumpulan sel pengganas itu iaitu Abu Sayyaf terdiri daripada dua warga Filipina dan seperti diketahui, kumpulan ini begitu aktif di Mindanao terutama sekali dalam menjalankan aktiviti penculikan untuk wang tebusan.

Malaysia umpamanya walaupun telah melaksanakan beberapa strategi untuk mengekang kegiatan keganasan terutama sekali membabitkan Sabah masih berhadapan dengan ancaman kerana amat mudah pengganas melarikan diri ke sebelah perairan ­Filipina yang tidak terkawal ter­utama sekali melalui Laut Sulu.

Walaupun sebahagian pantai timur Sabah mempunyai Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dan diperkuatkan lagi dengan kehadiran Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PLTSR) dan Pangkalan Laut Tun Azizan (PLTAZ), tetapi aset pertahanan ini hanya ampuh di sebelah perairan Malaysia. Tetapi di sebelah perairan Filipina, pengganas bebas keluar masuk dan bersembunyi menyebabkan Esszone, PLTSR dan PLTAZ terbatas dalam menyekat pengganas menyusup masuk ke perairan negara.

Tidak dinafikan bahawa sememangnya terdapat kerjasama erat di antara ketiga-tiga negara jiran dalam menghadapi ancaman pengganas terutama sekali dalam hal perkongsian maklumat risikan. Lumpuhnya tiga sel pengganas di Malaysia oleh E8 Cawangan Khas PDRM besar kemungkinan berjaya kerana perkongsian maklumat risikan di antara Malaysia dan beberapa negara lain.