Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

RIWAYAT Pakatan Harapan iaitu gabungan beberapa parti politik pembangkang yang belum berdaftar bermula selepas DAP umumkan berakhirnya Pakatan Rakyat pada 16 Jun 2015. Adakah ini gabungan pertama parti pembangkang atau sejarah me­nunjukkan ia pernah dan cuba untuk menghasilkan satu gabungan besar seperti Parti Perikatan (kini Barisan Nasional) tetapi gagal?

Beberapa bentuk gabungan longgar pernah cuba diwujudkan sebelum ini oleh parti pembangkang. Di antara 1945 hingga 1948, gabungan Putera-AMCJA melibatkan hampir 100 pertubuhan cuba untuk melakukan protes ke atas Persekutuan Tanah Melayu 1948 tetapi tidak bertahan lama kerana darurat dan tekanan hebat daripada pelbagai pihak. Pada 1957 sehingga 1966, muncul Socialist Front, melibatkan Parti Rakyat dan Parti Buruh. Ia bertujuan menubuhkan negara demokratik sosialis tetapi akhirnya lumpuh kerana tekanan khususnya ke atas isu bahasa kebangsaan.

Krisis di dalam UMNO dan kegawatan ekonomi membawa kepada kehadiran Gagasan Rak­yat pada 1990-an iaitu gabungan antara parti Semangat 46 (S46), DAP, PRM dan IPF serta PBS manakala Perpaduan Ummah pula adalah gabungan antara S46, Pas dan parti Hamim. Dua gabungan ditubuhkan, satu untuk parti berpegang kepada agama Islam dan satu lagi di sebaliknya. Ia membawa kepada kejatuhan Kelantan tetapi selepas pilihan raya umum 1995, DAP keluar da­ripada gabungan ini. Ia juga melihat bagaimana S46 kembali menyertai UMNO serta isu sekolah vernakular bersama isu Merdeka University banyak memberi impak negatif kepada mereka.

Selepas peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 serta konflik dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, maka muncul gerakan reformasi yang juga membawa kepada gabungan Barisan Alternatif pada 1999; gabungan Pas, DAP, Keadilan dan PRM. Kesannya, BN tewas di Kelantan dan Terengganu. Walaupun begitu, ia juga tidak bertahan lama kerana isu negara Islam yang membawa kepada keluarnya DAP pada September 2001.

Pada 2008, gabungan parti pembangkang bertindak kembali bersama iaitu Pas, DAP dan PKR atas nama Pakatan Rakyat selepas melihat sokongan demonstrasi Bersih dan Hindraf pada November 2007. Ia menang lima negeri dan menggagalkan misi dua pertiga parti BN. Sepanjang tempoh masa mulai 1 April 2008 sehingga 16 Jun 2015, hubungan di antara PKR, DAP dan Pas tidak semesra pada peringkat awal ditubuhkan menyebabkan ia juga roboh walaupun Pas beranggapan PR masih wujud berdasarkan kerjasama Pas dan PKR. Sekali lagi, DAP keluar kerana isu hudud.

Kini lahir sebuah gabungan parti pembangkang yang dinamakan sebagai Pakatan Harapan. Yang jelas, Pas dipinggirkan ketika itu sehingga membuat keputusan untuk turut memutuskan hubu­ngan tahaluf siyasi dengan PKR pada Mei lalu atas sebab PKR tidak menyokong agenda Islam Pas; melanggar adab kerjasama politik dengan merosakkan imej Pas dan bekerjasama dengan pihak yang ingin menjatuhkan Pas.

Kebelakangan ini Pas diburu semula oleh PKR khususnya Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali. Ia mendapat tentangan kepimpinan sendiri yang beranggapan peng­agihan kerusi sudah selesai dan tidak memerlukan Pas walaupun Anwar sendiri menaruh harapan. Strategis DAP pula berpandangan tanpa Pas akan memudahkan kemenangan mereka di PRU Ke-14 nanti. Ini seiring dengan pendirian Pengerusi Pakatan Harapan, Dr. Mahathir yang tidak mahu hubungan dengan Pas menjadi penghalang kepada proses kerjasama parti sedia ada.

Dengan menggunakan kaedah populis semata-mata tidak akan membawa Pakatan Harapan ke mana-mana. Pertama, ia masih belum memerihalkan secara komprehensif untuk memperbaiki kehidupan 40 peratus di bawah paras kemiskinan. Kepimpinannya masih bergantung kepada ke­pimpinan lama dengan kepimpinan masyarakat India, Sabah dan Sarawak tersisih dalam kerangka kepimpinan induk pakatan itu.

Kedua, bagaimanakah isu dasar akan menampakkan keunikannya berbanding dengan BN, walhal yang juga dilakukan adalah untuk menyantuni sifat BN sendiri dengan gabungan besar parti-parti politik. Bezanya, satu berdaftar dan satu masih tercari-cari untuk mendaftar sebagaimana yang berlaku kepada PR sebelum ini.

Ketiga, mampukah mereka perkukuhkan usaha ke arah pertembungan satu lawan satu sedang­kan masing-masing ada syarat dikenakan untuk bersama, baik PAS, PKR, DAP dan Amanah. Keempat, bolehkah DAP dan Pas duduk semeja semula? Siapakah akan mengalah atau kembali kepada dua bentuk kerjasama sebagaimana pada 1990? Atau di beberapa negeri termasuk Selangor akan wujud kerjasama yang berbeza dengan pendirian di peringkat induk?

Kelima, walaupun wujud perbezaan, apakah ia boleh diketepikan begitu sahaja semata-mata mengikut gerak kerja ‘Asalkan Bukan BN’? Keenam, jika permasalahan dalaman berterusan, adakah kita sudah melihat kemuncak prestasi parti pembangkang pada PRU Ke-13 dulu? Percakaran dalaman semakin ketara dan ada pula cuba menyimpan dendam kesumat dengan latarnya oleh penyokong yang hina, aib dan memalukan pemimpin sendiri.

Ketujuh, adakah ini akan membawa kepada sifat apathy dalam kalangan pengundi yang muak dengan politiking berterusan parti pembangkang walaupun tidak dinafikan yang setia pada parti akan kekal seadanya. Kelapan, apakah sebenarnya dimahukan oleh pe­ngundi atas pagar dari PH? Adakah mereka mampu menjadi alternatif atau sekadar mahu menjadi pembangkang yang boleh memberikan ‘check and balance’ kepada BN?

Kini Pas meminta PKR untuk mempertimbangkan cadangan agar keluar dari Pakatan Harapan dan sertai mereka di gabungan Gagasan Sejahtera. Adakah desakan ini akan berterusan atau ini akan menjadi formula kawasan majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis serta Selangor misalnya?

Secara keseluruhan, Pakatan Harapan masih belum kuat secukupnya kerana isu-isu yang dibawa menampakkan tidak lain hanya mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada. Sebahagian pengundi sering beranggapan lebih baik memilih yang memberikan kestabilan dalam keadaan tidak menentu dari membawa perubahan.

PROFESOR DR. P. SIVAMURUGAN dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain