Namun, rakyat melihat pe­ngumuman tersebut sebagai satu adegan drama politik atau gimik politik yang dicipta dan disusun skripnya oleh Dr. Mahathir. Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat, merentasi kaum, masih kurang menerima sepenuhnya pelaksanaan GST kerana mereka masih kurang memahami matlamat sebenar kerajaan melaksanakan GST.

Keadaan ini disambut pihak pembangkang untuk mengelirukan rakyat dengan pelbagai dakyah dan pembohongan terhadap GST, walhal hampir 165 negara di dunia melaksanakan GST. Malah, India sebuah negara yang dianggap model demokrasi tulen, juga melaksanakan GST mulai Julai 2017.

Jadi,pengumuman pemansuhan GST oleh Pakatan Harapan sekiranya mengusai Putrajaya dilihat hanya sebagai satu janji kosong atau retorik politik untuk meraih sokongan rakyat berbilang kaum.

Rakyat Malaysia sudah biasa dengan janji–janji parti politik yang bergabung dalam pakatan pembangkang, terutamanya DAP. Parti itu berjanji akan menghapuskan tol dan mengurangkan kadar cukai yang dikenakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang sekiranya mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN). Tetapi, apabila DAP menerajui kerajaan negeri selepas PRU1-2), tol tidak dimansuhkan malah kadar cukai yang dikenakan oleh kerajaan negeri pula dinaikkan.

Kawasan letak kereta dalam bandar di seluruh Pulau Pinang diluaskan lagi bagi tujuan me­ngenakan fee letak kereta. Jadi, Pakatan Harapan yang diterajui DAP dilihat tidak akan memansuhkan GST, sebaliknya mungkin akan menaikkan kadar GST daripada enam peratus, kadar semasa, kepada kadar yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Pakatan Harapan perlu menang sekurang-kurangnya 112 kerusi parlimen (majoriti mudah) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan ba­gi menguasai Putrajaya. Tetapi, perkembangan politik semasa jelas menunjukkan parti pembangkang tidak mampu mempertahankan 89 kerusi dalam PRU-14, yang dimenangi dalam PRU-13.

Malah, parti-parti pembangkang, terutamanya DAP, dijang­ka hilang sebahagian besar kerusi yang dimenangi dalam PRU-13 kerana hilang sokongan ahli Pas dan pengundi India. ­Memandangkan undi Melayu dijangka pecah antara UMNO (BN) dan PPBM (Pakatan Harapan), maka undi India dilihat sebagai undi penentu dalam keputusan PRU-14.

Sehubungan itu, pengundi India kini didapati menolak parti-parti yang menyertai Pakatan Harapan, terutamanya DAP ke­rana bagi mereka parti pembangkang hanya asyik beretorik politik dalam meraih sokongan kaum India.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Da­tuk Seri Najib Tun Razak didapati bukan sahaja prihatin malah komited membangunkan sosioekonomi kaum India melalui pelancaran pelan tindakan khas untuk pembangunan kaum itu.

Janji merangka Malaysian Indian Blue Print (MIB) sebelum PRU-14 ditunaikan. MIB dilancarkan secara rasminya, pada April 2017. MIB sesungguhnya membuka tirai era baharu kepada 2.8 juta orang warga India. Pelancaran MIB didapati telah mendorong kaum India kembali menyokong BN malah lebih yakin terhadap kepimpinan Najib. MIB menggariskan hala tuju yang jelas untuk memperkasakan ekonomi ma­syarakat India.

Antara syor MIB yang paling menarik dan menyentuh hati kaum India adalah cadangan meningkatkan peratusan jumlah penyertaan kaum India dalam perkhidmatan awam kepada tujuh peratus.

Unit Pembangunan Sosio-Eko­nomi Masyarakat India juga ditubuhkan khas dengan lantikan seorang Ketua Pengarah, untuk melaksanakan, memantau dan melapor kepada Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Najib. Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S Subramaniam telah dipertanggungjawabkan untuk memastikan kejayaan MIB.

Kaum India, terutamanya go­longan muda, merentasi ideologi parti, didapati lebih dekat dengan kepimpinan Najib kerana beliau terbukti membantu kaum ini. Perdana Menteri telah menyediakan peruntukan khas dalam bajet Kerajaan Persekutuan, termasuk peruntukan sebanyak RM900 juta untuk pembangunan sekolah Tamil dan RM 1.3 bilion untuk membantu usahawan kaum India sejak 2012; Seramai 29,115 usahawan India telah manfaat daripada peruntukan tersebut.

Sebanyak 1,500 tempat dikhaskan untuk pelajar kaum India bagi kursus matrikulasi dan politeknik dan meningkatkan peratus kaum India kepada tujuh peratus dalam sektor awam dan institusi tinggi awam.

RM500 juta saham dikhaskan untuk kaum India, terutamanya daripada golongan B40 melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB). Dalam sejarah masyarakat India, kerajaan sebelum ini, khususnya kerajaan kepimpinan Dr. Mahathir didapati tidak pernah meluluskan peruntukan sejumlah besar itu untuk pembangunan kaum India.

Malah Ketrampilan kepimpinan Subramaniam yang bijak bukan sahaja menyelesaikan kekalutan yang melanda MIC, malah me­nyatupadukan ahli-ahli parti dalam satu pasukan dengan slogan ‘single voice, common goal’ meraih soko­ngan hebat kaum India kepada MIC. Peralihan soko­ngan kaum India kepada BN/MIC, malah kekalutan dan kri­sis yang melanda parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan, terutamanya DAP yang kini dilanda krisis keabsahan pemilihan parti dijangka membantu BN terus menguasai Putrajaya selepas PRU-14. Jadi adakah harapan Pakatan Harapan untuk menguasai Putrajaya dalam PRU-14?

DATUK M. PERIASAMY ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Komunikasi 
dan Multimedia.